4 agensi terima peruntukan terbesar rancakkan ekonomi Bumiputera | DagangNews Skip to main content

4 agensi terima peruntukan terbesar rancakkan ekonomi Bumiputera

Malaysia

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 2 Dis. - Empat agensi kerajaan menerima peruntukan dana terbesar bagi menggalas tanggungjawab untuk memacu perkembangan ekonomi Bumiputera di negara ini.

 

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Arthur Joseph Kurup berkata, agensi berkenaan adalah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Ekuiti Nasional Berhad (EKUINAS), Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dan Pelaburan Hartanah Berhad (PHB).

 

Jelas beliau, sejumlah dana telah diperuntukkan kepada agensi berkenaan untuk meningkatkan taraf ekonomi Bumiputera khususnya dalam bidang pendidikan dan modal insan, keusahawanan dan perniagaan, pemilikan kekayaan serta pemilikan ekuiti korporat.

 

Arthur Joseph Kurup
Arthur Joseph Kurup 


 

Majlis Amanah Rakyat (MARA)

  • Sejak ditubuhkan, MARA telah diperuntukkan sejumlah RM20 bilion dalam bentuk Perbelanjaan Pembangunan atau Development Expenditure (DE).
  • Sehingga kini, RM1.15 juta Bumiputera telah menerima manfaat daripada pelbagai inisiatif MARA dalam bidang keusahawanan, perniagaan dan pelaburan. 
  • Manakala, seramai 1.02 juta Bumiputera telah menerima manfaat dalam bidang pendidikan dan pembangunan modal insan. 

 


Ekuiti Nasional Berhad (EKUINAS)

  • Kerajaan melalui EKUINAS telah menyediakan peruntukan pembangunan (development expenditure) sebanyak RM4 bilion
  • menerusi Dana Ekuiti Nasional. 
  • Daripada peruntukan tersebut, sehingga kini EKUINAS telah menghasilkan pulangan pelaburan sebanyak RM3.2 bilion dalam 41 syarikat. 
  • EKUINAS juga telah berjaya meningkatkan bilangan tenaga kerja Bumiputera dalam syarikat yang dilabur dengan mencatatkan
  • penyertaan 23.5% Bumiputera di peringkat pengurusan tinggi dan 14.1% di lain-lain peringkat.

 

 


Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU)

  • Melalui Dana Mudahcara, TERAJU dengan kerjasama Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) telah meluluskan peruntukan sebanyak RM781.1 juta kepada syarikat Bumiputera. 
  • Dana ini telah memanfaatkan 252 syarikat untuk melaksana 276 projek yang menjana pelaburan bernilai RM6.4 bilion dan mewujudkan lebih daripada 15,000 pekerjaan baharu.

 

 

Pelaburan Hartanah Berhad (PHB)

  • Dalam meningkatkan pemilikan kekayaan Bumiputera, kerajaan melalui Dana Pelaburan Hartanah di bawah PHB telah meluluskan peruntukan pembangunan sebanyak RM1.145 bilion bagi pembelian dan pembangunan hartanah komersial.
  • Nilai hartanah tersebut telah disuntik ke dalam Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) yang memberi manfaat kepada lebih 75,000 pelabur Bumiputera.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) di Dewan Rakyat hari ini.

 

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan

 

Jawapan tersebut diberikan setelah Ahmad Maslan meminta kerajaan menyatakan semua jumlah dan nama dana meningkatkan ekonomi Bumiputera yang disediakan kepada semua kementerian. 
Ahmad Maslan juga mahukan kepastian sejauh manakah itu digunakan dan jumlah Bumiputera yang mendapat manfaat tersebut.

 

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, kerajaan komited untuk meneruskan agenda pemerkasaan sosioekonomi Bumiputera. 

 

"Dasar, strategi dan inisiatif baharu yang lebih strategik akan terus diperkukuh untuk mencapai kesaksamaan keberhasilan Bumiputera. 

 

"Usaha ini akan diperincikan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) yang dijadual untuk dibentangkan di Dewan Rakyat pada tahun hadapan," tambah beliau. - DagangNews.com