4 petua urus kewangan semasa pandemik COVID-19 | DagangNews Skip to main content

4 petua urus kewangan semasa pandemik COVID-19

Oleh ZARINAH ABU YAZID

 

 

TAHUN kedua pandemik COVID-19 dilihat terus mencabar keadaan ekonomi rakyat Malaysia. Banyak sektor perniagaan terpaksa ditutup dan ramai pekerja terjejas pendapatan akibat daripada hilang pekerjaan atau dipotong sebahagian gaji. Proses pemulihan sedang giat berjalan sekarang dengan pembukaan satu demi satu sektor ekonomi.

 

Atas dasar keprihatinan, kerajaan telah mengumumkan pemberian moratorium kali kedua mulai 7 Julai 2021.  Pemberian ini adalah sebahagian daripada inisiatif Pelan Pemulihan Negara (PPN). 

 

Moratorium selama enam bulan ini ditawarkan kepada semua peminjam individu merangkumi B40, M40, T20 dan usahawan mikro. 

 

Tempoh masa penangguhan balik pinjaman ini memberi ruang kepada peminjam terkesan akibat COVID-19 untuk menguruskan aliran tunai mereka sepanjang tempoh mencabar ini.

 

Mengikut Jabatan Insolvensi Malaysia, jumlah kes kebankrapan pada enam bulan pertama tahun 2021 adalah sebanyak 459 kes bagi Januari dan Februari (445), Mac (960), April (1,090), Mei (601) dan Jun (129). 

 

Rekod pada bulan Januari hingga April menunjukkan pertambahan kes setiap bulan dengan jumlah kes tertinggi dicatatkan sebanyak 1,090 kes dalam bulan April. 

 

Bermula Mei 2021, kes kebankrapan dilihat mula menurun.  Diharap dengan pemberian moratorium kali kedua, kes-kes kebankrapan ini terus menunjukkan penurunan sehingga akhir tahun 2021.

 

Secara umumnya, dari Januari hingga Jun 2021 majoriti kes kebankrapan mengikut golongan umur terdiri daripada golongan umur 35 - 44 tahun iaitu sebanyak 1432 kes. 

 

Diikuti oleh golongan umur 45 – 54 tahun sebanyak 984 kes dan golongan umur 25 - 34 tahun sebanyak 627 kes. 

 

Trend ini amat membimbangkan kerana individu dalam golongan umur 35 - 44 tahun sepatutnya telah berada dalam keadaan stabil dari segi kewangan di mana kebanyakan mereka telah mempunyai keluarga dan komitmen yang tinggi setiap bulan. 

 

Peningkatan kes kebankrapan dalam golongan ini dikhuatiri meningkatkan kes kemurungan dan kegagalan institusi kekeluargaan.

 

Lantaran itu, celik kewangan dilihat sebagai elemen teras yang perlu diterapkan dalam diri setiap individu untuk mengharungi zaman pandemik ini. 

 

 

Photo by <a href="https://unsplash.com/@blekbierd?utm_source=unsplash&utm_medium=referral&utm_content=creditCopyText">Danial H</a> on <a href="https://unsplash.com/s/photos/hawkers-in-kuala-lumpur?utm_source=unsplash&utm_medium=referral&utm_content=creditCopyText">Unsplash</a>
Rezeki halal boleh dicari di mana sahaja. Gambar - Danial H 

 

 

Maklumat berkaitan pengurusan kewangan peribadi boleh didapati secara formal ataupun tidak formal, bersemuka ataupun secara maya. 

 

Bagi meningkatkan kesedaran terhadap pengurusan kewangan peribadi, dikongsikan petua atau kaedah sebagai panduan untuk semua. 

 

 

  1. Nilai Situasi Kewangan Semasa

Senaraikan semua aset, liabiliti, pendapatan dan perbelanjaan yang ada.  Senarai ini membantu anda mendapat gambaran yang jelas tentang kedudukan kewangan semasa dan seterusnya memudahkan anda untuk membuat keputusan.

 

  1. Belanja mengikut Kemampuan

Hentikan pembelian barangan yang tidak perlu.  Jauhi online shopping sekiranya anda tidak boleh menahan godaan jualan murah atau diskaun yang sering diiklankan dalam Shoppee atau Lazada.   Gunakan wang tunai untuk pembelian barangan dan hanya guna kad kredit jika anda boleh selesaikan jumlah keseluruhan bayaran.  Dalam erti kata lain, ukur baju di badan sendiri.
 

  1. Libatkan Ahli Keluarga

Terangkan situasi semasa kepada pasangan dan anak-anak.  Senaraikan pendapatan dan perbelanjaan semasa untuk dibincangkan bersama.  Ini penting supaya sama-sama dapat berjimat contohnya penggunaan elektrik dan pembelian makanan.  Minta pandangan anak yang lebih dewasa bagaimana untuk menambah pendapatan keluarga atau galakkan mereka belajar kemahiran baru secara maya (contoh: Youtube) sebagai ikhtiar untuk menambah pendapatan.
 

  1. Menabung

Bagi golongan bergaji tetap yang tidak begitu terkesan akibat COVID-19, pengambilan moratorium membuka peluang untuk mendapatkan aliran tunai tambahan. Lebihan tunai ini boleh digunakan untuk meningkatkan tabungan atau memulakan tabungan sekiranya belum ada.  Bagi yang tidak mengambil moratorium, disiplinkan diri untuk menolak sekurang-kurangnya 5%daripada gaji anda sebagai simpanan untuk kegunaan pada masa kecemasan.  Tingkatkan simpanan dana kecemasan ini dari semasa ke semasa sehingga 30% daripada jumlah gaji.

 

Selain daripada itu, langsaikan hutang sedia ada dan jangan menambah hutang atau komitmen kewangan yang tidak penting.   

 

Selepas tempoh moratorium tamat, peminjam yang ingin membayar dengan jumlah yang lebih rendah dan memanjangkan tempoh bayaran balik, mereka perlu berunding dengan bank masing-masing. 

 

Sekiranya peminjam menghadapi kesukaran dengan pihak bank, mereka boleh menghubungi BNMTELELINK di http://bnm.my/RAsurvey

 

Peminjam perlu proaktif, celik kewangan dan tidak berdiam diri atau melarikan diri daripada pihak bank kerana ia hanya akan menjerat diri kita dan akhirnya diisytiharkan muflis.  – DagangNews.com

 

ZARINAH ABU YAZID adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka