4 sebab Serba Dinamik mendakwa KPMG cuai | DagangNews Skip to main content

4 sebab Serba Dinamik mendakwa KPMG cuai

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Jun - Serba Dinamik Holdings Berhad tampil menjelaskan empat sebab KPMG didakwa cuai dalam pengauditan firma berkenaan ke atas syarikat. 

 

Menurut kenyataan Serba Dinamik, KPMG dalam proses audit mereka menimbulkan beberapa masalah, antaranya dalam mendapatkan pelbagai pengesahan daripada pelanggan dan vendor syarikat mengenai hutang dan piutang termasuk membuktikan keberadaan pelanggan dan pembekal tersebut.

 

Berikut adalah beberapa isu yang dibangkitkan KPMG dan penjelasan segera yang diberikan oleh Serba Dinamik:

 

1) KPMG telah membuat kesimpulan bahawa beberapa individu yang menandatangani permintaan ke atas pengesahan audit bagi pihak syarikat mereka - pelanggan dan pembekal Serba Dinamik - tidak wujud, hanya berdasarkan panggilan yang dibuat kepada penyambut tetamu syarikat-syarikat ini untuk mengesahkan identiti berkenaan. 

 

Ini walaupun setelah pihak kakitangan kanan syarikat tersebut mengesahkan kewujudan individu terbabit, namun tiada tindakan selanjutnya yang diambil oleh KPMG.

 

2) Dalam contoh lain yang melibatkan vendor asing dari Timur Tengah, KPMG telah menjalankan lawatan ke lokasi untuk mengesahkan keberadaan pejabat mereka dan menyimpulkan bahawa pejabat berkenaan tidak wujud. 

 

Setelah pemeriksaan dilakukan ke atas perkara itu, Serba Dinamik segera memaklumkan KPMG bahawa alamat berkenaan mempunyai gabungan angka dan huruf Arab yang disalah tafsir juruaudit tersebut yang seterusnya membawa mereka ke alamat yang salah.

 

Serba Dinamik mendedahkan bahawa bukti alamat sebenar dan pejabat itu telah dikemukakan oleh syarikat, namun KPMG enggan mengesahkannya.

 

3) Dalam isu pengesahan nombor telefon vendor Serba Dinamik, syarikat mendakwa bahawa KPMG bergantung kepada aplikasi buku telefon dari sumber terbuka iaitu ‘TrueCaller’ di mana dilihat menyediakan hasil carian tidak tepat ke atas pemilikan nombor tersebut. 

 

Setelah pengesahan dibuat, Serba Dinamik berjaya memperoleh bil telefon rasmi yang didaftarkan di bawah nama vendor berkenaan, namun tiada tindakan diambil oleh KPMG bagi mengesahkannya.

 

4)  KPMG juga telah menimbulkan isu percanggahan kontrak IT yang melibatkan vendor asing di mana dalam kontrak tersebut nama syarikat yang terlibat ditetapkan sebagai L.L.P,  sedangkan dakwa Serba Dinamik, dalam invois syarikat berkenaan yang seterusnya merujuk diri mereka dengan LLP.

 

Ujar Serba Dinamik, perbezaan kedua-dua singkatan ini serupa dengan isu syarikat yang mempunyai "Sdn. Bhd." dan "Sdn Bhd" di mana perkara-perkara ini tidak bersifat substantif dan mudah diselesaikan dengan ketekunan.

 

Sekitar penghujung bulan Mei, Serba Dinamik telah menggantung saham syarikat di Bursa Malaysia yang selepas itu difahamkan ada kaitan dengan beberapa isu audit yang dibangkitkan oleh KPMG menjelang penyiapan audit berkanun bagi tahun kewangan 2020 (FY20) syarikat.

 

Disebabkan situasi itu berlarutan sehingga hari ini, pelbagai spekulasi tercetus di ruangan pasaran ekuiti tempatan sehingga menyebabkan harga saham dan nilai pasaran Serba Dinamik merudum dengan ketara.

 

Susulan itu, Serba Dinamik menerusi satu sidang media khas pada petang ini mengumumkan bahawa syarikat telah mengemukakan writ saman ke atas KPMG di Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini.

 

Baca : Serba Dinamik saman KPMG atas dakwaan cuai

 

Syarikat menuntut pampasan daripada KPMG susulan kerugian yang ditanggung segi permodalan ; para pemegang saham, pelabur dan institusi kewangan hilang keyakinan terhadap syarikat, serta pelanggan Serba Dinamik. - DagangNews.com