Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Anekdot Mawarith - 18 April 2022

Wasiyyah

5 FORMULA MUDAH ELAK MASALAH HARTA PUSAKA BERLAKU KE ATAS ANDA

 

 

 

RAMADAN Kareem untuk semua pembaca dan pengikut artikel saya. Ramai tanya di mana artikel saya minggu lepas di Dagang News. Ya, saya mengaku tiada artikel yang saya hantar ke Dagang News minggu lepas kerana kekangan waktu.

 

Seperti bulan Ramadan yang lalu, Ramadan ini juga saya merancang supaya jadual saya  akan lebih ‘longgar’ supaya lebih banyak masa dapat diluangkan untuk perkara-perkara lain yang sukar dibuat di luar bulan Ramadan.

 

Namun kita hanya merancang, Allah yang menentukan. TakdirNya di awal Ramadan ini, tanggungjawab saya di Wasiyyah Shoppe Berhad tiba-tiba bertambah berat.

 

Saya terpaksa duduk sehingga 5 mesyuarat sehari baik secara fizikal mahupun zoom. Alhamdulillah dengan izin Allah semua tanggungjawab ini berjaya diselesaikan dan objektifnya  tercapai. Jadi sekarang dah lega sedikit, dapatlah menulis semula.  

 

Minggu ini saya mahu menulis tentang 5 formula mudah untuk kita mengelakkan masalah dari berlaku ke atas harta pusaka kita. Soalan ini pun ramai orang tanya kepada saya.

 

Rasanya semua orang termasuk saya sendiri mahukan supaya harta pusaka yang kita tinggalkan ini tidak direbutkan sehingga terputus hubungan silaturahim sesama waris.

 

Kita juga mahukan harta pusaka ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh waris-waris serta diterima mereka dengan cepat dan mudah. 

 

Namun dari pemerhatian, semua orang tahu pelbagai masalah berpotensi muncul dalam urusan  pusaka. Masalah yang paling banyak dan kerap berlaku ialah perbalahan waris.

 

 

anekdot

 

 

Pelbagai faktor membawa kepada perbalahan ini dan kes pusaka akhirnya terbengkalai kerana waris tidak boleh bersemuka dan bermuafakat.

 

Masalah waris tidak faham proses perundangan yang terlibat juga menyebabkan kes pusaka ditangguhkan pengurusannya sehingga waris yang berhak menjadi beratus-ratus orang ramainya.

 

Ini belum cerita lagi tentang kos beribu-ribu ringgit yang terpaksa ditanggung untuk pelbagai perbelanjaan yang berkaitan. Semua ini merupakan masalah yang suka ataupun tidak perlu ditanggung oleh waris.

 

Jadi persoalannya bagaimana nak elakkan masalah ini dari berlaku? Saya ada formulanya. Boleh ikuti formula ini, Insya-Allah harta pusaka pembaca sekalian akan terelak dari berdepan cabaran ini.

 

Formula pertama ialah pastikan anda mendidik anak-anak anda sebaik-baiknya dari mereka kecil supaya mereka tidak ‘hubuddunya’ iaitu tidak mencintai dunia.

 

Pastikan anak-anak anda langsung tidak mempunyai kehendak ke atas harta, wang ringgit dan apa sahaja material dunia. Jadikan mereka orang-orang yang zuhud.

 

Pastikan anak-anak anda tidak terpengaruh dengan media sosial atau persekitaran kita yang setiap hari mempromosikan keseronokan memiliki harta dunia seperti tinggal di rumah banglo, memandu kereta sport mewah, bercuti ke luar negara main salji dan lain-lain.

 

Jika anda berjaya mengekang mereka dari bernafsu terhadap elemen-elemen ini, Insya-Allah mereka boleh bermuafakat dengan baik dan harta pusaka anda akan dapat diuruskan dengan cepat dan mudah kerana tiada perbalahan akan wujud.

 

Formula kedua ialah pastikan anda telah mendidik mereka supaya faham memahami sepenuhnya hukum yang berkaitan harta pusaka.

 

Mereka mestilah faham sebelum diagih, harta pusaka mestilah ditolak terlebih dahulu dari segala hutang dan obligasi.

 

 

anekdot

 

 

Mereka juga perlu patuh bahawa bahagian hak mereka hanyalah seperti ditetapkan hukum faraid dan tidak lebih dari itu.

 

Walaupun waris mengikut Hukum Faraid yang berhak ke atas rumah anda mungkin ada antaranya langsung tidak mereka kenali, anda mesti didik mereka untuk reda dan serahkan sahaja bahagian yang berhak oleh waris itu tanpa sebarang perasaan negatif.

 

Sekiranya mereka ingin bermuafakat pula, anda perlu didik mereka bagaimana ‘takharruj’ atau penolakan/muafakat boleh dilakukan mengikut Hukum Syarak.

 

Mereka mesti dididik supaya takut kepada termakan harta batil dan faham perbuatan ini akan membawa mereka ke neraka jahanam.

 

Jika ini boleh dilakukan Insya-Allah waris anda tidak akan bertelagah dan pengurusan harta pusaka berjalan lancar.

 

Formula ketiga. Bagi memastikan formula pertama dan kedua dapat dicapai, anda perlu pula pastikan formula ketiga ini dapat diaplikasi dengan jayanya.

 

Anda perlu menyaring seketatnya bakal menantu anda di masa hadapan. Ini kerana dalam pemerhatian saya, peranan dimainkan menantu juga merupakan faktor penentu urusan pusaka berjalan lancar ataupun penuh berlaku.

 

Sebagai ‘consultant’ dan ‘sleeping partner’ kepada anak-anak anda, mereka akan mempengaruhi setiap tindakan dan keputusan termasuk yang berkaitan dengan harta pusaka anda.  

 

Pastikan menantu yang anda restui itu zuhud juga dan tidak bernafsu langsung terhadap harta anda sejak hari ini lagi iaitu ketika anda masih hidup.

 

Kalau semasa anda masih hidup pun mereka sudah ‘aim’ harta anda, susah formula ini ingin dilaksanakan.  

 

 

anekdot

 

 

Formula keempat ialah pastikan anda mendidik anak-anak anda sebaiknya untuk mereka faham proses perundangan harta pusaka yang berlaku.

 

Mereka perlu tahu secara tepat bidang kuasa  Pejabat Pusaka Kecil, Mahkamah Tinggi Sivil, Amanah Raya Berhad dan Mahkamah Syariah.

 

Pastikan semua akta dan enakmen yang berkenaan dihadam mereka supaya mereka tahu ke mana harus mereka pergi untuk menuntut harta pusaka anda.

 

Mereka juga perlu diberi kefahaman sepenuhnya tentang borang yang perlu diisi, dokumen yang perlu disertakan dan prosedur yang perlu dilalui sehingga Surat Kuasa Mentadbir, Perintah Pembahagian, Letter of Administration, Grant of Probate, Distribution Order dan semua perintah berkaitan dari Mahkamah Syariah  (sekiranya perlu) seperti sijil faraid, perintah pengesahan hibah, perintah pengesahan wasiat, perintah harta sepencarian dikeluarkan.

 

Pastikan juga mereka komited untuk bekerjasama dan bersedia meluangkan masa bila diperlukan untuk melalui semua proses ini. Mereka mesti tahu proses ini perlu disegerakan supaya jumlah waris tidak bertambah.   

 

Formula kelima. Anda perlu pastikan semua anak-anak anda diberi pendidikan terbaik dan mereka berjaya di dalam kerjaya masing-masing.

 

Pastikan jangan ada anak anda yang lebih miskin atau lebih kaya dari yang lainnya. Semua mesti sama taraf kehidupannya. Dari pemerhatian saya selama 24 tahun, isu ini juga berpotensi menjadikan kes pusaka bermasalah.

 

Waris yang kaya dan berharta mungkin merasakan harta pusaka arwah ibubapa tidak penting kepada mereka kerana nilainya tidak signifikan.

 

Kerana kesibukan mereka berkebarangkalian tidak akan memberikan kerjasama untuk menyerahkan dokumen peribadi mereka, mengisi borang tertentu atau tidak hadir perbicaraan jika diperlukan. Ini menyebabkan proses pusaka tertangguh.

 

Sebaliknya waris yang miskin pula akan berkecenderungan untuk mahukan urusan pusaka disegerakan kerana mereka amat memerlukan harta itu untuk meneruskan kehidupan. Suasana ini berpotensi menimbulkan banyak masalah.

 

 

anekdot

 

 

Apabila semua waris sama taraf kehidupannya, mereka juga tiada masalah untuk membayar berapa banyak pun kos pengurusan harta pusaka seperti fi syarikat amanah, fi peguam, fi perintah dan lain-lain fi.

 

Senangkan formula saya ?

Jadi jika anda boleh mengaplikasi 5 formula mudah ini, hampir pasti selepas meninggal dunia kelak, pengurusan harta pusaka anda tidak akan menimbulkan sebarang masalah.  

 

Perkhidmatan syarikat amanah atau peguam juga tidak diperlukan langsung oleh waris anda. Segala-galanya akan berjalan lancar.

 

Waris-waris anda akan menerima harta pusaka anda dengan cepat dan mudah, Insya-Allah.

 

Kes pusaka tertunggak di Malaysia yang dikatakan nilainya mencecah RM70 bilion itu, semua pemiliknya lupa atau tidak tahu untuk mengaplikasi 5 formula mudah ini.

 

Kalau mereka tahu, pasti harta pusaka mereka tidak akan menjadi sebahagian statistik RM70 bilion itu. OK selamat mencuba.

 

 

anekdot

      

 

ariffinsabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin merupakan Pengasas dan CEO Wasiyyah Shoppe Bhd

 

Wasiyyah

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

Portfolio Tags