5 konsortium raih lesen bank digital BNM, gandingan Boost-RHB tepati ramalan | DagangNews Skip to main content

5 konsortium raih lesen bank digital BNM, gandingan Boost-RHB tepati ramalan

KUALA LUMPUR 29 April - Bank Negara Malaysia (BNM) menganugerahkan lesen bank digital kepada 5 konsortium yang dibentuk syarikat berkaitan kewangan.

 

Dalam kenyataan hari ini, bank pusat berkata, 3 daripada penerima iaitu konsortium Boost Holdings Sdn Bhd dan RHB Bank Bhd; konsortium yang diterajui oleh GXS Bank Pte Ltd dan Kuok Brothers Sdn Bhd; dan konsortium yang diterajui Sea Limited dan YTL Digital Capital akna dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (APK).

 

Bagi 2 lagi penerima, ia adalah konsortium AEON Financial Service Co Ltd, AEON Credit Service (M) Bhd dan MoneyLion Inc; serta konsortium yang diterajui oleh KAF Investment Bank Sdn Bhd yang akan dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (APKI).

 

Menurut BNM, 3 daripada 5 konsortium ini dimiliki secara majoriti oleh warga Malaysia iaitu Boost Holdings dan RHB Bank Berhad, Sea Limited dan YTL Digital Capital Sdn. Bhd. dan KAF Investment Sdn. Bhd.

 

Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, bank digital dijangka dapat meningkatkan lagi rangkuman kewangan. 

 

Katanya, melalui penerapan teknologi digital secara lebih meluas untuk transaksi harian, kami dapat
memberikan lebih banyak peluang kepada masyarakat untuk mengambil  bahagian dalam kegiatan ekonomi dengan mengatasi halangan geografi, mengurangkan kos transaksi dan menggalakkan pengurusan kewangan yang lebih baik.

 

“Bank digital boleh membantu individu dan perniagaan mendapatkan akses yang lebih baik kepada penyelesaian yang lebih khusus berteraskan analisis data. 

 

"Apabila perniagaan dilakukan secara dalam talian, perbankan digital turut menyediakan cara membuat transaksi yang lebih selamat dan mudah,” katanya.

 

BNM
Sumber : BNM

 

 

Berikutan pengumuman ini, pemohon yang berjaya akan melalui tempoh persediaan dari segi operasi yang akan disahkan oleh BNM melalui audit sebelum pemohon boleh memulakan operasi. Proses ini mungkin mengambil masa antara 12 hingga 24 bulan.

 

Kesemua 29 pemohonan yang diterima telah dinilai secara menyeluruh mengikut seksyen 10 (1) APK dan APKI1 yang menghendaki BNM mengambil kira semua faktor dalam Jadual 5 Akta-akta tersebut dan keperluan dasar lain yang berkaitan. 

 

Kriteria penilaian merangkumi kewibawaan dan integriti pemohon, bentuk dan kecukupan sumber kewangan, kekukuhan dan kebolehlaksanaan pelan perniagaan dan teknologi serta keupayaan untuk menangani jurang rangkuman kewangan secara berkesan. 

 

Permohonan dinilai mengikut merit pemohon serta perbandingan yang dibuat dengan permohonan lain berdasarkan penilaian yang konsisten bagi setiap kriteria penilaian.

 

Semakan mendatar dilaksanakan berdasarkan kriteria penilaian yang digunakan terhadap semua pemohon bagi menentukan kekukuhan relatif setiap permohonan dan mengenal pasti pemohon yang berjaya. - DagangNews.com