Skip to main content

5 perkara kasi spoil raya - MERREPAK

Kesesakan menuju Pantai timur di Genting Sempah pada pukul 3.16 pagi 30 April 2022.

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

 

 

BENARLAH seperti ramai orang kata, raya kali ini istimewa sebab diraikan selepas dua tahun terkurung di rumah akibat perintah kawalan pergerakan disebabkan penularan pandemik COVID-19.

 

Malah bermula 1 Mei, lebih banyak kelonggaran diisytiharkan oleh kerajaan termasuk tidak diwajibkan lagi memakai pelitup muka melainkan di kawasan tertutup atau sesak dan semasa menggunakan pengangkutan awam.

 

“Pemakaian pelitup muka terutamanya di dalam bangunan dan pengangkutan awam masih lagi penting untuk melindungi diri serta orang di sekeliling kita, terutamanya mereka yang berisiko tinggi seperti warga emas, kanak-kanak dan individu immunocompromised,” kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

 

Saja cut & paste kenyataan rasmi menteri, supaya jangan ada antara kita beranggapan menyerong bahawa pelitup muka tidak perlu dipakai sama sekali pula.

 

Kita masih memegang hak di sisi undang-undang untuk menegur orang yang tidak memakai pelitup muka dan jika rasa keberatan menegur, cepat-cepatlah beredar dari kawasan orang tidak memakai pelitup muka.

 

Untuk orang yang malas hendak tahu atau sengaja buat-buat tidak tahu, virus COVID-19 masih ada dan boleh menjangkiti sesiapa sahaja. Vaksin 3 kali yang disuntik ke badan berperanan sebagai pengurang impak virus daripada melarat teruk berbanding tiada vaksin langsung.

 

merrepak

 

 

Sama-samalah kita berdoa agar angka kes jangkitan COVID-19 tidak kembali mencanak selepas Aidilfitri ini. Sebab ini akan pasti `kasi spoil’ raya.

 

Selain perkara di atas, ada empat lagi perkara yang nyaris-nyaris atau berpotensi `kasi spoil’ raya:

 

2. Sibuk kata 1 Syawal jatuh pada 2 Mei

Tiba-tiba, tidak semena-mena minggu lalu tersebar menerusi WhatsApp kononnya tulisan seorang berpangkat doktor bahawa `data diperoleh daripada Her Majesty’s Nautical Almanac Office (UK) menunjukkan bahawa bagi Kuala Lumpur, altitude dan pemajangan bagi anak bulan ialah masing-masingnya 5 darjah dan 7 darjah.

 

“Ini bermakna bahawa mengikut kaedah Rukyah Imkanur, anak bulan akan kenampakan walaupun tidak dapat dilihat akibat cuaca buruk.

 

“Maka itu, proses selepas proses melihat anak bulan, Pemegang Mohor Raja-Raja akan mengisytiharkan 1 Syawal jatuh pada 2 Mei 2022 (Isnin), sehari lebih awal daripada dinyatakan di dalam kalendar rasmi’’.

 

merrepak

 

 

Pertamanya, jarang sekali kita merujuk kepada pejabat astronomi United Kingdom. Yang selalu tengok ialah carta Liga Perdana Inggeris, siapa bakal juara Manchester City atau Liverpool musim ini. Bab anak bulan kita rujuk Arab Saudi.

 

Kedua, bab astronomi ini adalah sains yang lebih rumit berbanding sains roket, jadi bila dinyatakan altitude dan alongation, ini ilmu baharu yang bagus.

 

Yang tak bagusnya iaitu perkara ketiga, pernyataan WhatsApp ini terus buat ramalan dia .... dan mengetahui sifat WhatsApp yang ‘percaya dulu, selidik kemudian’, lalu bertebaranlah kepercayaan bahawa raya jatuh pada Isnin.
 

3. Antara penyebab ramai balik kampung awal

Selain didorong oleh tol percuma yang diisytiharkan oleh kerajaan, dakwaan raya Isnin jugalah antara pendorong orang Semenanjung berpusu-pusu pulang ke kampung seawal Jumaat malam.

 

Walhal tol percuma adalah dari 12 tengah malam 30 April 2022 (Sabtu) hingga 11:59 malam 1 Mei 2022 (Ahad). Banyak masa tetapi semua hendak gerak Jumaat malam juga.

 

 

merrepak

 

 

`Meriah’ juga menengok kenalan melaporkan kesesakan lebuh raya di facebook. Satu video menunjukkan pemandu berdiri di luar kereta disebabkan kereta langsung tidak bergerak dalam the worst traffic jam post-pandemic.

 

“Pergi awal, tidak mahu kalut,” kata mereka. Melekat dalam kesesakan lalu lintas sampai 10 jam, tidak kalut sebab waktu malam. Dalam kereta boleh makan-makan, katanya.

 

4. Kelam-kabut balik kampung, lupa tutup suis elektrik

Bila lupa, balik dari kampung nanti bersedialah menatap bil elektrik tinggi.

 

Secara teknikal, kita disaran membiarkan lampu anjung (porch) dinyalakan sebagai usaha menghindar cubaan perompak datang beraya semasa kita di kampung halaman. Itu tidak apa.

 

Yang ditekankan di sini ialah suis-suis televisyen, komputer, pemanas pancuran air mandi dan sebagainya.

 

Semua tahu bagi yang memiliki meter digital, elektrik tetap berjalan bila alat elektrik dibiar dalam suis ON.

 

merrepak

Jadi bagi anda yang belum bergerak ke mana-mana, silalah jenguk dan pastikan peralatan elektrik anda dimatikan suis terlebih dahulu.

 

Pesanan ini sebenarnya diberikan kepada semua. Pandemik COVID-19 dan perang Rusia ke atas Ukraine merupakan pencetus kenaikan kos bahan api untuk menjana elektrik.

 

Kos arang batu yang diguna di kebanyakan stesen penjana elektrik TNB berlegar pada harga RM660 ke atas pada masa ini.

 

Seharusnya amalan bersederhana yang diamalkan semasa bulan Ramadan diteruskan selepas Ramadan. Penggunaan elektrik memerlukan praktis amalan berjimat cermat tetapi juga mengelak pembaziran.

 

Ikuti perkembangan penggunaan elektrik bulanan anda dengan menyediakan Belanjawan Tenaga Saya dengan akaun Meter Pintar anda melalui apps myTNB.

 

merrepak

 

Untuk bermula, klik pada ikon Belanjawan Tenaga Saya (My Energy Budget) pada Skrin Utama.

 

5. Isnin kerja, khamis pun kerja

Sektor-sektor perkhidmatan terutamanya, tidak sama dengan sektor lain yang akan bercuti pada 2 Mei sebagai lanjutan sambutan Hari Pekerja 1 Mei yang jatuh pada Ahad.

 

Begitu juga sektor media dan keselamatan. Percayalah, malam menjelang raya Isnin ini, masih ramai bakal kerumun pusat jualan untuk `last minute shopping’ atau cubaan menikmati diskaun penghabisan raya,

 

Penjual yang bersemangat waja tidak boleh bercuti. Tidak apa janji jualan laris. Bagi sektor keselamatan, tidaklah nampak ketara pulangan sedemikian kerana sudah sememangnya tugas mereka menjaga keselamatan baik di perbatasan negara atau menjaga keluar-masuk apartmen.

 

Jadi bagi anda yang diwajibkan bekerja sehingga ke hari terakhir Ramadan dan kena pula kembali bertugas pada Khamis, usahlah merungut. Usahlah merintih. Ada orang lagi perit. Cuti selepas anda semua cuti. Atau cuti bulan depan.

 

Bersyukurlah dapat juga beraya mengikut waktu sebenar 1 dan 2 Syawal bersama sanak saudara.

 

merrepak

 

Titipkan doa kepada sahabat handai yang tidak berapa bernasib baik yang kena bekerja semasa 1 Syawal demi menjaga keselamatan negara kita seperti Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, petugas bantuan kecemasan dan hospital, petugas PLUS yang membantu melancarkan perjalanan dan sebagainya.

 

Akhirul kalam, sama-samalah kita bersyukur kepada Tuhan atas apa yang kita nikmati hari ini.

 

Jadikan perkara yang kita kawal baik sepanjang Ramadan sebagai perkara yang kita akan jadikan amalan sepanjang hayat: `Bersyukur, beribadah’.

 

Mewakili Sidang Editorial DagangNews.com mengucapkan Salam Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin diucapkan kepada anda semua pembaca dan penyokong DagangNews.com yang dicetuskan kelahirannya semasa Ramadan 2020. – DagangNews.com

 

MERREPAK adalah ruangan pojok Johardy Ibrahim, Pengarang DagangNews.com yang menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu ITIK GEMBO GEMBO oleh A to Z berulang-ulang kali.
 
*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud `membebel'.