5 Strategi Utama Pulihkan Negara Pada 2021 | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 13 January 2021

5 Strategi  Utama Pulihkan Negara Pada 2021

 

TAHUN 2020 telah meninggalkan kita semua. Pastinya tahun 2020 meninggalkan kesan yang pasti diingati oleh setiap segenap masyarakat dunia umumnya dan Malaysia khususnya. Negara diisytihar “darurat” pada 18 Mac 2021 akibat pandemik COVID-19.

 

Semua golongan masyarakat agak panik ketika itu memandangkan kita belum pernah mengalami situasi sedemikian sebelum ini.  Dalam negara berperang melawan COVID-19, yang lebih terkesan golongan masyarakat yang hilang pekerjaan dan sumber pendapatan.

 

Keadaan ekonomi yang tidak menentu menyebabkan banyak pihak yang terkesan demi kelangsungan hidup.  Hal ini pastinya menjadi satu “tragedi hitam” bagi keluarga yang biasa memperoleh pendapatan harian atau bulanan, hilang punca pendapatan mereka sekelip mata akibat diberhentikan kerja. Kerajaan telah mengambil langkah yang drastik bagi membantu golongan masyarakat yang terkesan dengan melancarkan pelbagai pelan tindakan, geran dan inisiatif.

 

Sebagai contoh Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) memperlihatkan komitmen jitu kerajaan dalam memulihkan ekonomi negara dan menjamin kesejahteraan rakyat. Menurut Ketua Ahli Ekonomi Juwai IQI, Shan Saeed pelan pemulihan ini mampu memberi rangsangan kepada penggunaan domestik, yang mana ia penting untuk usaha pemulihan ekonomi di tengah-tengah persekitaran yang mencabar.

 

Insentif ini mampu meningkatkan keyakinan pengguna dan penggunaan, sekali gus meletakkan ekonomi negara ini berada dalam landasan untuk pulih. Suntikan RM10 bilion menerusi PENJANA dilihat mampu mewujudkan momentum pemulihan dalam jangka pendek dan memastikan permintaan agregat kukuh. Selain itu, keyakinan pengguna dan penggunaan adalah penting untuk merangsang semula  ekonomi.

 

Berakhirnya tahun 2020, kira-kira 2 minggu yang lalu dengan pandemik COVID-19 yang semakin meningkat dan ditambah dengan keadaan banjir yang teruk melanda 5 buah negeri di Malaysia iaitu Pahang, Terengganu, Kelantan, Johor dan Perak. Ini adalah cabaran buat negara untuk menghadapi situasi ini.

 

Namun dalam masa yang sama, kerajaan perlu memikirkan apakah proses pemulihan negara bagi tahun 2021 ini setelah mengambil kira situasi semasa negara. Dalam Perutusan Khas sempena sambutan Tahun Baharu 2021, Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin  berkata, 2020 adalah tahun yang amat sukar dan mencabar namun beliau percaya sebagai insan dan rakyat bumi bertuah Malaysia ini, masih banyak nikmat yang boleh kita syukuri.

 

Justeru itu beliau menyeru agar semua rakyat Malaysia sama-sama menggembleng kekuatan dan kecekalan yang ditunjukkan sepanjang tahun 2020 untuk melangkah ke tahun baharu 2021 dengan semangat yang lebih kental.  Dengan bermatlamat mahu melihat Malaysia yang lebih bersatu-padu, bebas dari ancaman COVID-19, rakyat yang  makmur dan sejahtera, ekonominya pulih dan rancak berkembang serta namanya yang megah di persada antarabangsa. 

 

Selari dengan ini, kerajaan telah menggariskan lima strategi utama yang akan diambil oleh pihak Kerajaan dalam memacu proses pemulihan negara bagi tahun 2021.

 

Antara lima strategi utama itu ialah tumpuan kepada sektor kesihatan awam, ekonomi, kestabilan politik, kedaulatan negara dan memperkukuh hubungan antara kaum. Kesemua lima strategi ini adalah selari dengan visi jangka panjang kerajaan seperti yang terangkum dalam dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

 

Bagi strategi pertama yang negara sasarkan pada 2021 iaitu tumpuan kepada sektor kesihatan awam. Seperti yang semua sedia maklum, negara masih lagi “berperang” dengan virus COVID-19 ini dan kita masih belum menang.

 

PKP

 

Kerajaan Malaysia akan terus  berusaha untuk meningkatkan tahap kesihatan awam di negara ini berasaskan prinsip ‘mencegah adalah lebih baik daripada mengubati’ kerana pencegahan awal adalah penting dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan perlu terus dipatuhi, bersesuaian dengan perintah kawalan pergerakan yang dikuatkuasakan. 

 

Kerajaan Malaysia akan memastikan bekalan vaksin yang berkesan, selamat dan mencukupi untuk sekurang-kurangnya 80 peratus rakyat di negara ini secara percuma melalui Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang akan dilaksanakan Kementerian Kesihatan melalui tiga fasa bermula seawal Februari 2021. Inilah tumpuan pertama negara bagi tahun 2021 ini.

 

Selain itu, fokus dalam pemulihan ekonomi juga merupakan satu agenda besar negara yang diletakkan di bawah strategi kedua bagi tahun 2021.  Belanjawan Negara yang diumumkan November tahun lalu merupakan belanjawan yang terbesar dalam sejarah negara. Ini adalah bertujuan bagi memulihkan ekonomi negara.

 

Kesan pemulihan ekonomi ini sangat besar bagi kesejahteraan rakyat. Kerajaan sedia mempertimbang suntikan fiskal strategik jika keadaan memerlukan sepertimana pakej rangsangan ekonomi sebelum ini demi meringankan beban rakyat, membasmi kemiskinan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.  

 

Melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), satu strategi komprehensif akan diumumkan pada tahun 2021 bagi memulih dan merancakkan semula ekonomi negara dengan tumpuan kepada pemacu baharu ekonomi negara seperti ekonomi digital dan ekonomi hijau. 

 

Selain itu, Kerajaan terus membangunkan jaringan keselamatan sosial seperti bantuan tunai secara langsung seperti Bantuan Prihatin Rakyat, skim perlindungan insurans khusus untuk B40 dan memperkukuh sistem kebajikan negara untuk memastikan nasib golongan rentan termasuk B40, warga emas dan Orang Kurang Upaya sentiasa terbela.

 

Menurut Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid,  Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad. tanda-tanda pemulihan ekonomi sudah mula kelihatan. Jualan kenderaan pada awalnya merudum kepada 141 unit pada bulan April, kini ia telah mencecah 56,670 unit pada bulan Oktober yang lalu.

 

Kebanyakannya disumbang oleh kenaikan jualan kenderaan penumpang. Begitu juga data dari PERKESO yang menunjukkan Loss of Employment (LOE) yang pada awalnya melonjak ke paras 18,579 orang bagi bulan Jun, kini telah merosot kepada 8,563 orang pada bulan November. Penempatan pekerjaan juga naik kepada 20,490 pada bulan November.

 

Selain dua fokus utama negara iaitu tumpuan kepada sektor kesihatan awam dan proses pemulihan ekonomi negara, Kerajaan juga menekankan kestabilan politik, kedaulatan negara dan memperkukuh hubungan antara kaum. Seperti yang kita sedia maklum, tahun 2020 juga merupakan tahun ketidakstabilan politik negara yang mana kerajaan Pakatan Harapan (PH) ditukar dengan kerajaan Pakatan Nasional (PN).

 

Kerajaan hari ini, PN mahukan semua ahli politik supaya ketepikan dulu soal politik dan semua ahli politik perlu bersatu demi memelihara kebajikan rakyat dengan memahami keluh-kesah, dan mendengar denyut nadi kemahuan rakyat yang perlu diutamakan pada tahun 2021 ini.b

 

Terlalu ramai rakyat yang terjejas akibat COVID-19 ini, rakyat mahukan semua ahli politik untuk menggembleng tenaga membantu rakyat dan tidak mencetuskan kemelut politik yang merugikan rakyat.  

 

Di samping itu, kedaulatan negara dan hubungan antara kaum perlu diperkukuhkan bagi menjamin sebuah negara yang maju pulih kembali pada tahun 2021 ini. Tuntasnya, jika semua strategi ini mampu dilaksanakan dengan baik bagi tahun 2021 ini, pastinya negara yang kita sayangi ini pasti akan bangkit pulihkan wabak COVID-19 dan memperkukuhkan semula ekonomi negara. - DagangNews.com

 

 

SYAMSYUL SAMSUDIN adalah seorang pensyarah kanan dan pelabur tegar di  Bursa Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam menganalisis kewangan syarikat dan juga banyak menulis di akhbar-akhbar utama di Malaysia berkaitan pelaburan, kewangan dan ekonomi. Kini merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.

 

 

 

Portfolio Tags