500,000 PKS di negeri PKP terima GKP Tambahan RM1,000 | DagangNews Skip to main content

500,000 PKS di negeri PKP terima GKP Tambahan RM1,000

PKS

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 18 Jan. - Bantuan kewangan Geran Khas Prihatin Tambahan (GKP-Tambahan) yang diberikan kepada peniaga dan penjaja di Sabah seperti diumumkan dalam Belanjawan 2021 akan diperluas kepada PKS di negeri lain.

 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bantuan GKP Tambahan tersebut akan diperluas kepada 500,000 PKS di tujuh negeri PKP dengan bayaran RM1,000.

 

"Sukacita ingin saya maklumkan bahawa kerajaan akan memperluaskan bantuan GKP Tambahan ini kepada 500,000 PKS di tujuh negeri PKP dengan bayaran RM1,000 ringgit, manakala 300,000 PKS di negeri yang lain akan menerima RM500.

 

"Perluasan inisiatif GKP Tambahan ini, atau GKP PERMAI, melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM650 juta," jelas beliau  ketika mengumumkan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi & Rakyat Malaysia (Permai) hari ini.

 

Tambah beliau, bantuan pantas dan segera akan disalurkan kepada negeri lain sekiranya berubah menjadi zon merah.

 

"Sekiranya terdapat negeri yang berubah menjadi zon merah dan diisytiharkan PKP, kerajaan sedia membantu dengan menyalurkan bantuan tambahan kepada PKS di negeri tersebut dengan serta merta," ujar beliau lagi. - DagangNews.com