5,027 jualan harian tertinggi dalam sejarah Perodua | DagangNews Skip to main content

5,027 jualan harian tertinggi dalam sejarah Perodua

 

KUALA LUMPUR 2 Dis. - Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) memecah rekod jualan harian tertinggi dalam sejarah sehingga 5,027 yang diraih pada hari terakhir bulan November 2020.  

 

“Berdasarkan momentum jualan, Perodua berada di landasan betul untuk mencapai 210,000 sasaran unit pada penghujung tahun ini,” kata Perodua dalam satu kenyataan hari ini. 

 

Pada bulan lalu, Perodua telah menjual sehingga 23,119 unit kenderaan.

 

Ini melibatkan sejumlah 6,295 unit model Myvi, Axia (6,318), Bezza (6,224), Aruz (2,617) dan Alza (1,665).


 

Termasuk angka itu, Perodua mencatatkan jualan kenderaan sehingga 195,000 setakat ini bagi tahun 2020.

 

Dalam kenyataan sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, jumlah jualan yang dicatatkan pada bulan lalu menghampiri paras normal berbanding dua bulan sebelumnya. 

 

Datuk Zainal Abidin Ahmad
Zainal Abidin Ahmad

 

Bulan September dan Oktober masing-masing menyaksikan jualan kenderaan Perodua sebanyak 25,035 dan 26,852 unit.

 

“Namun pencapaian itu mengagumkan memandangkan keadaan ekonomi mencabar dan prosedur operasi kebiasaan baharu disebabkan oleh COVID-19. 

 

“Dan rekod jualan harian 5,027 unit menunjukkan ketahanan, kegigihan dan kemampuan untuk menyesuaikan diri,” katanya. 

 

Ketika ini, syarikat itu menumpukan dua keutamaan penting iaitu, yang pertama, bagi memastikan ramai pelanggan boleh memiliki kenderaan mereka sebelum akhir tahun untuk menikmati harga bebas cukai. 

 

Kedua, bagi meningkatkan lagi ekosistem automotif Malaysia dengan skala ekonomi syarikat ketika waktu mencabar ini. 

 

Jelas Zainal Abidin, lebih 90% komponen kenderaannya diperoleh daripada sumber tempatan dan dengan jumlah jualan yang dicatatkan, ia menawarkan perniagaan signifikan buat pembekal komponen untuk mengekalkan pekerjaan. - DagangNews.com