55 usahawan lonjak RM1.56 juta hasil jualan melalui program bimbingan INSKEN | DagangNews Skip to main content

55 usahawan lonjak RM1.56 juta hasil jualan melalui program bimbingan INSKEN


KOTA BHARU 7 MAC – Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) telah berjaya mempersiapkan usahawan dengan ilmu dan kemahiran yang relevan serta bersesuaian untuk usahawan bersaing di dalam industri perniagaan yang semakin mencabar melalui 2 program iaitu INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC) Homestay dan Bumiputera Business Enhancement Programme (BBEP).

 

Ilmu keusahawanan dan kemahiran perniagaan yang diberi melalui kaedah bimbingan selama empat (4) bulan bermula September hingga Disember 2020 ini telah membantu 55 usahawan meningkatkan hasil jualan keseluruhan sebanyak RM1.56 juta.

 

Menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, program handholding seperti IBBC dan BBEP ini dilengkapi dengan latihan dan bimbingan secara holistik serta dipantau bagi
memastikan skala kemahiran perniagaan dapat ditingkatkan untuk berdepan dengan pelbagai
cabaran yang bakal mendatang.

 

Oleh itu, beliau menyeru supaya para usahawan untuk terus menuntut ilmu keusahawanan agar dapat memajukan perniagaan serta bersaing di peringkat yang lebih tinggi.

 

IBBC dan BBEP telah berjaya mencapai KPI yang ditetapkan apabila 50% daripada peserta IBBC Homestay serta 52% daripada peserta BBEP Kohort 7 tahun 2020 dapat meningkatkan hasil jualan perniagaan masing-masing di antara 20% hingga melebihi 100%, dan seterusnya 52 pekerjaan baharu telah dicipta melalui program ini, katanya selepas menyempurnakan perasmian Majlis Penyerahan Sijil Program IBBC Homestay dan BBEP Kohort 7 2020 bertempat di Kota Bharu, Kelantan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Muhd Firdaus Azharuddin berkata, peserta program IBBC dan BBEP sangat komited dan bersungguh-sungguh ketika mengikuti program ini menjadikan faktor utama kepada kejayaan peningkatan hasil jualan mereka.

 

Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Muhd Firdaus Azharuddin 
Muhd Firdaus Azharuddin 

 

Hasilnya, usahawan bukan sahaja dapat melonjakkan perniagaan mereka malah masih kekal bertahan dan dapat meneruskan operasi perniagaan seperti biasa.

 

Sementara itu, Mohammad Azmir Zahir bin Abu Bakar merupakan antara usahawan yang cemerlang melalui program IBBC Homestay. Beliau telah mencatatkan RM5,642.63 purata hasil jualan atau 242% peningkatan selepas menyertai program IBBC.

 

Purata hasil jualan tertinggi bagi peserta program BBEP adalah sebanyak RM55,040.45 atau 194% peningkatan oleh Nur Aini Binti Abdul Wahab iaitu usahawan dalam industri pembuatan perabot.

 

IBBC & BBEP 2020 merupakan program pembangunan usahawan bagi meningkatkan skala perniagaan mengikut industri yang berkaitan. Ia bertujuan memberikan panduan kepada usahawan tempatan untuk mengembang dan melonjakkan prestasi perniagaan. Selain itu, usahawan juga dapat mempelajari dan menguasai teknik menguruskan perniagaan dengan berkesan.

 

Antara pengisian program IBBC dan BBEP adalah Sesi Bersama Industry Coach, Sesi Pementoran (one-on-one dan group coaching), Sesi Business Improvement: INSKEN Business Training dan Benchmark Visit. Coach bagi program-program ini adalah merupakan pakar dalam industri masing-masing dan juga BisKaunselor INSKEN.

 

Program IBBC dan BBEP masih diteruskan sehingga hari ini dan 2021 merupakan tahun kelima ia dianjurkan. Maklumat lanjut mengenai program-program IBBC dan BBEP serta pendaftaran program lain boleh diperoleh melalui laman web rasmi INSKEN di www.insken.gov.my   - DagangNews.com