KUALA LUMPUR 16 Mac - Kementerian Kewangan (MoF) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) memutuskan untuk mengekalkan pelaksanaan rangkaian 5G secara Rangkaian Borong Tunggal (SWN), dengan membuka ruang untuk syarikat-syarikat telekomunikasi memegang ekuiti dalam Digital Nasional Bhd. (DNB).
Dalam sidang akhbar bersama hari ini, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan akan menawarkan sehingga 70% daripada ekuiti DNB kepada Pengendali Rangkaian Mudah Alih (MNO) yang komited kepada Perjanjian Akses untuk perkhidmatan borong.
Jelasnya, dengan struktur pemilikan baharu, kerajaan akan memegang 30% ekuiti dengan DNB akan dikawal selia oleh KKMM, selaku kementerian yang bertanggungjawab ke atas industri telekomunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).
MoF pula, katanya, akan terus memantau DNB dari segi tadbir urus dan sebagai pemegang saham.
"Pemilikan, nilai ekuiti dan aspek lain berkaitan cadangan penyertaan ekuiti ini adalah tertakluk kepada rundingan antara DNB dan syarikat-syarikat telekomunikasi, di mana perjanjian disasarkan untuk dimuktamadkan dalam masa terdekat," katanya dalam sidang akhbar tersebut yang turut dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.
Keputusan itu dibuat susulan pelbagai sesi libat urus bersama Ahli Parlimen Kerajaan, Ahli Parlimen Pembangkang, syarikat-syarikat telekomunikasi, dan juga masyarakat sivil.
Dalam hal ini, kerajaan telah memutuskan bahawa model SWN yang diterajui oleh DNB berdasarkan model 'pemulihan kos' dan 'berpandukan penawaran', bersekali dengan penyertaan ekuiti oleh syarikat-syarikat telekomunikasi merupakan penyelesaian terbaik untuk mempercepatkan pelaksanaan rangkaian 5G dengan objektif untuk menggalakkan penggunaan 5G oleh rakyat.
Penyertaan syarikat-syarikat telekomunikasi dalam DNB membolehkan mereka terlibat dalam pelaksanaan rangkaian 5G negara.
Pengalaman syarikat telekomunikasi dalam membangunkan rangkaian 3G dan 4G di Malaysia juga boleh membantu dalam melancarkan pelaksanaan rangkaian 5G di Malaysia.
BERITA BERKAITAN: DNB alu-alukan keputusan kerajaan kekalkan SWN untuk 5G kebangsaan
Jelas Tengku Zafrul, pelaksanaan model SWN ini adalah bagi memastikan tiada implikasi kewangan tambahan ke atas kontrak yang telah termeterai dengan penyedia perkakasan rangkaian yang dilantik iaitu Ericcsson (Malaysia) Sdn. Bhd.
Ini kerana katanya, Ericcson telah merangka pelan pelaksanaan dengan mengoptimumkan kerja kontrak dan perkhidmatan bagi vendor tempatan, dengan anggaran 61% daripadanya dapat memanfaatkan kepentingan bumiputera.
Tegasnya, mengekalkan model SWN merupakan pendirian tegas kerajaan terhadap kesinambungan dasar di Malaysia dan juga melambangkan model perkongsian awam-swasta yang kukuh.
Malah, ia juga mencerminkan ekosistem pembiayaan sektor swasta yang mantap, yang semuanya akan meningkatkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia.
Beliau memetik Laporan EY bertajuk 'Anggaran impak ekonomi Rangkaian Borong Tunggal 5G di Malaysia' yang diterbitkan pada November 2021, penggunaan Rangkaian dan ekosistem 5G di negara ini akan menghasilkan peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terkumpul sebanyak RM650 bilion dalam tempoh 10 tahun sehingga 2030.
"Ia juga akan mewujudkan kira-kira 750,000 peluang pekerjaan berpendapatan tinggi baharu dan mengelakkan 600,000 pekerjaan berkemahiran rendah, yang bakal mencipta penambahan bersih sebanyak 150,000 peluang pekerjaan hasil daripada 5G.
Mengulas lebih lanjut, beliau berkata, DNB diunjurkan untuk mengekalkan harga borong semasa 5G kurang daripada 20 sen setiap Gigabait (GB).
"Ini dijangka menjadikan kos 5G lebih berpatutan, menggalakkan penggunaan dalam kalangan para pengguna dan perusahaan, serta mengurangkan kos sara hidup dan kos menjalankan perniagaan di Malaysia," jelasnya. - DagangNews.com