6 penyelesaian digital Kota Kinabalu tamatkan jelajah MYHackathon 2020 | DagangNews Skip to main content

6 penyelesaian digital Kota Kinabalu tamatkan jelajah MYHackathon 2020

 Enam pemenang penyelesaian digital MYHackathon 2020 pusingan Kota Kinabalu.

Enam pemenang penyelesaian digital MYHackathon 2020 pusingan Kota Kinabalu.

 

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 14 Dis. - Sebanyak enam idea penyelesaian digital dinobatkan sebagai pemenang bagi pusingan Kota Kinabalu sekali gus mengakhiri jelajah MYHackathon 2020.

 

Penyelesaian digital berkenaan menyediakan inovasi yang mempermudah dan menyelaras perkhidmatan kerajaan untuk meningkatkan produktiviti negara.

 

Penyelesaian dari rakyat untuk rakyat itu bakal memberi manfaat kepada pencari kerja, tenaga kerja, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), industri pertanian dan industri pembuatan.

 

Sebanyak tiga daripada idea penyelesaian terbaik itu dijadualkan akan dilancarkan pada tahun 2021.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle, Rafiza Ghazali berkata, penyelesaian digital berkenaan akan turut membantu mereka yang sumber pendapatannya terjejas akibat COVID-19.

 

"Kota Kinabalu adalah lokasi terakhir untuk MYHackathon 2020. Ia merupakan sebuah penghormatan bagi Cradle untuk menerajui program ini di bawah MOSTI, bersama dengan rakan strategik dan pelaksana untuk mencari penyelesaian kepada masalah harian rakyat, menggalakkan gerakan STI (Sains, Teknologi dan Inovasi) negara, dan memperkayakan ekosistem para usahawan teknologi (technopreneurs).

 

"Hari ini kami melihat 20 pasukan dari seluruh negara membuat pembentangan dalam talian untuk menangani pernyataan masalah yang berkaitan dengan penilaian dan analisis jurang pencari kerja, pensijilan pengurus dan auditor halal, menganalisis program latihan yang bertepatan dengan keperluan industri, dan penggunaan Data Besar (Big Data) untuk meramalkan bekalan dan permintaan sektor pertanian.

 

"Kami yakin bahawa apabila penyelesaian-penyelesaian digital ini dapat dilaksanakan, mereka akan menjadi penggubah permainan dalam peningkatan produktiviti negara – kerana ia juga dapat membantu masyarakat yang terjejas sumber pendapatannya akibat COVID-19," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Pemenang di bawah kategori SPRINT ialah Yee Li Yan dengan Kejar Kerja, Hoh Jia Da dengan Hirelah dan Toh Sirn Loong dengan myGAP. 

 

Di bawah kategori MARATHON pula, pemenangnya adalah Ng Kok Kwan dengan eLancar, Lizawati @ Rosclaritha Maidom dengan CoreHalal, dan Matthew Johnny Kulai dengan Agridata.

 

Keputusan tersebut diumumkan oleh Naib Presiden ‘Stakeholders Engagement’ Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle), Azman Hood yang dijalankan secara maya hari ini.

 

Pemenang di bawah kategori MARATHON masing-masing akan menerima geran bersyarat sebanyak RM250,000 untuk melancarkan projek rinitis dalam 12 bulan akan datang, dengan kerjasama kementerian dan agensi berkaitan.

 

Di bawah kategori SPRINT pula, pemenang pertama, kedua dan ketiga masing-masing akan menerima hadiah wang tunai
RM10,000, RM7,500 dan RM5,000 serta hadiah menarik lain. - DagangNews.com