6 syarikat telekomunikasi bersetuju pegangan sama rata dalam DNB | DagangNews Skip to main content

6 syarikat telekomunikasi bersetuju pegangan sama rata dalam DNB

PUTRAJAYA 30 Jun - Sejumlah enam syarikat telekomunikasi bersetuju untuk mengambil pegangan sama rata dalam Digital Nasional Berhad (DNB) iaitu sebuah badan yang ditubuhkan khas untuk pembangunan rangkaian 5G di seluruh negara.

 

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, pengumuman rasmi mengenainya akan diumumkan dalam masa tujuh ke lapan hari lagi.

 

"Buat masa sekarang semuanya berjalan lancar mengikut perancangan.

 

"Rundingan mengenainya sedang berlangsung dan sebahagian daripada persetujuan sudah dicapai. Semuanya akan dimuktamadkan pada 8 Julai 2022," katanya selepas majlis jalinan kerjasama strategik antara Telekom Malaysia Berhad (TM) dan Cisco, hari ini.

 

Pada majlis itu, kedua-dua pihak menandatangani perjanjian kerjasama untuk membuka jalan bagi projek-projek utama yang memberi tumpuan untuk membantu negara membangunkan platform inovasi 5G serta mempercepatkan penggunaan dan transformasi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Malaysia.

 

Sebelum ini terdapat laporan memetik sumber industri sebagai berkata, sejumlah enam syarikat telekomunikasi telah bersetuju dengan terma yang ditetapkan menjelang tarikh akhir pada 30 Jun 2022.

 

Ia turut melibatkan perjanjian bersama pemegang saham untuk mengambil pegangan dalam DNB yang akan ditandatangani awal bulan hadapan.

 

Berdasarkan kepada perancangan, sejumlah RM500 juta akan disuntik oleh Kementerian Kewangan untuk 30% pegangan kerajaan dalam DNB dan ia memberikan gambaran bahawa setiap daripada enam syarikat terlibat membelanjakan kira-kira RM200 juta untuk 12% saham.- DagangNews.com