6 usaha MITI rancakkan pelaburan asing | DagangNews Skip to main content

6 usaha MITI rancakkan pelaburan asing

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 Dis. - Bagi meningkatkan keyakinan pelabur asing untuk melabur di Malaysia, kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menerapkan inisiatif berani dan berkesan.

 

Timbalan Menteri MITI, Datuk Lim Ban Hong berkata, inisiatif itu juga bagi memastikan syarikat sedia ada tidak berpindah keluar ke negara lain dan pada masa yang sama menarik pelaburan baharu yang berkualiti ke Malaysia.

 

Sehubungan itu, MITI mengambil enam langkah bagi meningkatkan keyakinan pelabur asing.

 

Ini termasuk memudahkan urusan para pelabur melalui pengenalan inisiatif dan kemudahan seperti penubuhan  Project Acceleration and Coordination Unit (PACU) di Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk mempercepat kelulusan permohonan dan pelaksanaan projek pelaburan di Malaysia. 

 

Kedua, MITI menawarkan pakej pengecualian cukai istimewa bagi menggalakkan syarikat asing memindah (relocate) operasi mereka ke Malaysia dan menjadikan negara sebagai pusat rangkaian bekalan antarabangsa.

 

“Kadar cukai 0% selama 10 tahun untuk pelaburan baharu dalam sektor pembuatan dengan pelaburan modal antara RM300 juta hingga RM500 juta; kadar cukai 0% selama 15 tahun untuk pelaburan baharu dalam sektor pembuatan dengan pelaburan modal melebihi RM500 juta. 

 

“100% Elaun Cukai Pelaburan (Investment Tax Allowance) selama lima tahun untuk pelaburan modal melebihi RM300 juta bagi syarikat sedia ada di Malaysia yang bercadang untuk memindahkan operasinya di luar negara ke Malaysia; dan Reinvestment Allowance (RA) tambahan sebanyak 60% untuk syarikat sedia ada,” kata Ban Hong di Dewan Rakyat hari ini. 

 

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin) yang bertanyakan apakah langkah untuk meningkatkan keyakinan pelabur asing untuk melabur di Malaysia. 

 

Dalam pada itu, MITI turut membina ekosistem dan rantaian bekalan tempatan yang mampan, berdaya tahan, merangkumi industri huluan dan hiliran yang diperlukan oleh pelabur asing untuk menghasilkan produk yang berkualiti tinggi, tambah Ban Hong.

 

“.....Di mana dalam Belanjawan 2021 peruntukan sebanyak RM1.4 bilion telah diperuntukkan melalui Skim Pembangunan Nasional untuk pembangunan rantaian bekalan domestik. 

 

“(Keempat) Memastikan sumber tenaga kerja yang mahir, berkualiti, mencukupi dan menepati keperluan pasaran melalui kerjasama dengan pelbagai kementerian.

 

“(Kelima) Membina hubungan perdagangan yang baik dengan rakan-rakan perdagangan untuk memudahcarakan produk dan perkhidmatan Malaysia dieksport ke pasaran dunia,” jelas Ban Hong. 

 

Bagi usaha keenam, MITI juga melaksanakan program penggalakan pelaburan secara fizikal serta maya menerusi kerjasama bersama dewan perniagaan, institusi perbankan dan komuniti perniagaan antarabangsa.

 

Ini juga termasuk menerusi tandatangan Perjanjian Persefahaman (Memorandum of Understanding - MoU) dengan pelbagai pihak berkepentingan, Misi Pelaburan Khusus (Specific Project Mission - SPM) bersama pelabur berpotensi di luar dan dalam negara secara maya selain menyediakan media blitz bagi mempromosikan peluang-peluang pelaburan di Malaysia.

 

Mengulas mengenai jumlah pelaburan sektor pembuatan di Malaysia, Ban Hong berkata, kerajaan telah meluluskan sebanyak 988 projek yang menyumbang kepada pelaburan bernilai RM82.7 bilion pada tahun 2019 dan 721 projek pada tahun 2018 yang bernilai RM87.4 bilion. 

 

“Daripada jumlah keseluruhan pelaburan yang diluluskan dalam sektor pembuatan pada tahun 2019, pelaburan langsung asing menyumbang sebanyak RM53.9 bilion atau 65.2%, manakala bakinya sebanyak RM28.8 bilion atau 34.8% merupakan pelaburan domestik. 

 

“Manakala, bagi tahun 2018, RM58.0 bilion atau 66.4% merupakan pelaburan langsung asing dan RM29.4 bilion atau 33.6% merupakan pelaburan domestik,” ujar beliau. - DagangNews.com