60 kluster perayaan dikesan hingga semalam - KKM | DagangNews Skip to main content

60 kluster perayaan dikesan hingga semalam - KKM

COVID-19

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 11 Jun - Sebanyak 60 kluster perayaan dikesan berpunca daripada sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Gawai bagi tempoh 13 Mei hingga 10 Jun 2021.

 

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, daripada jumlah yang dilaporkan kepada CPRC itu, sebanyak 58 kluster adalah berkaitan perayaan Aidilfitri dan dua daripadanya adalah Hari Gawai.

 

"Sebanyak 13,023 individu telah disaring dalam kluster ini, di mana terdapat 3,511 kes COVID-19 telah dikenalpasti seterusnya menjadikan kadar positif adalah sebanyak 27.0%.

 

"Daripada jumlah 3,511 kes tersebut, 20 kematian telah dilaporkan. Sehingga kini 11 kes masih dalam rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU)," jelas KKM dalam satu hantaran di laman Facebooknya.

 

.

 

Negeri yang mencatatkan bilangan kluster perayaan yang tertinggi adalah Sabah dengan 11 kluster (18.3%), Sarawak dengan lapan kluster (13.3%), serta Kedah dengan 7 kluster (11.7%).

 

Tambah KKM, peningkatan kes dan kematian yang dilaporkan bagi kluster perayaan itu dianggap serius dan membimbangkan.

 

"Lebih merisaukan kerana ia berlaku dalam tempoh masa yang singkat dan perayaan-perayaan ini berlaku dalam tempoh PKP! Ianya melambangkan sikap tidak acuh masyarakat.

 

"Sekiranya kita terus leka dan tidak mengambil iktibar serta pengajaran dari aktiviti kunjung-mengunjung dan rentas negeri semasa musim perayaan baru-baru ini, tidak mustahil peningkatan kes secara mendadak berterusan dan berulang lagi di negara kita apabila kelak terdapat perayaan lain.

 

"Adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk melindungi golongan rentan, khususnya ibu bapa yang uzur di kampung halaman dengan tidak mendedahkan mereka dengan jangkitan virus SARS-CoV-2 ini," kata KKM.

 

Dalam hantaran sama, KKM turut menyeru orang ramai untuk mencontohi negara-negara jiran yang telah berjaya mengawal situasi pandemik COVID-19 dengan baik. - DagangNews.com