64,773 rakan penghantar dilindungi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri | DagangNews Skip to main content

64,773 rakan penghantar dilindungi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri

Gambar hiasan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Julai - Seramai 64,773 pencarum aktif yang terdiri daripada rakan penghantar dalam sektor gig di dalam negara kini berdaftar dan mencarum di bawah  Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) setakat 9 Julai 2021.

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, jumlah tersebut merangkumi 39% daripada jumlah keseluruhan Orang Bekerja Sendiri (OBS) aktif yang mencarum dengan Perkeso iaitu 166,189 orang. 

 

“Walau bagaimanapun, jika dibandingkan dengan 2.72 juta OBS yang direkodkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM), jumlah OBS yang mencarum dengan Perkeso adalah masih rendah iaitu 6.1%.

 

Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz
Tengku Zafrul Abdul Aziz

 

“Bagi memastikan golongan ini dilindungi dan menggalakkan mereka mendaftar, kerajaan melalui Skim Pekerjaan Sendiri (SPS) Lindung, menyediakan bantuan berbentuk pembiayaan penuh caruman SKSPS di bawah Pelan 2 iaitu sebanyak RM232.80 untuk tempoh perlindungan selama setahun,” katanya dalam laporan Laksana Ke-62 yang diterbitkan hari ini.

 

Katanya, lebih 145,000 penghantar barangan dan makanan yang bermotosikal, berbasikal atau berjalan kaki dan juga rakyat yang mencari pendapatan melalui perkhidmatan tersebut di seluruh negara dilindungi Perkeso. 

 

Ini selepas dua platform penyedia perkhidmatan terkemuka Grab Malaysia dan Foodpanda mendaftarkan hampir kesemua rakan penghantar mereka dengan program SPS Lindung di bawah SKSPS Perkeso yang diumumkan oleh kerajaan semasa perbentangan Belanjawan 2021 khas untuk golongan OBS.

 

Sementara itu, bagi permohonan untuk insentif PenjanaKerjaya 3.0, Program KerjayaGig dan SIP Prihatin 2.0 yang dilaksanakan oleh Perkeso di bawah Perlindugan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) telah dibuka dari 15 Julai sehingga 31 Disember 2021. 

 

Ujar Tengku Zafrul, majikan yang menggajikan pekerja bermula 15 Jun 2021 dan seterusnya layak untuk memohon insentif pengambilan pekerja di bawah program-program tersebut. 

 

Bantuan kerajaan ini dilaksanakan untuk merangsang pewujudan pekerjaan baharu dan menggalakkan pengambilan pekerja oleh majikan khasnya, selain memperluaskan jaringan perlindungan sosial kepada pelbagai lapisan masyarakat dan meringankan beban mereka amnya, ketika krisis COVID-19 ini. - DagangNews.com