7-Eleven mahu tambah 100-150 kedai 7CAFé tahun ini | DagangNews Skip to main content

7-Eleven mahu tambah 100-150 kedai 7CAFé tahun ini

Kedai dua tingkat 7CAFé adalah seluas kira-kira 6,000 kaki persegi.

KUALA LUMPUR 23 Jun - Pengendali rangkaian kedai serbaneka 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd (7-Eleven) menyasarkan untuk mengembangkan bilangan kedai kafenya sendiri kepada antara 100 dan 150 menjelang tahun ini, meningkat daripada 28 pada masa ini.

 

Dikenali sebagai 7CAFé, kumpulan itu telah menganggarkan pelaburan antara RM450,000 dan RM550,000 bagi setiap pembukaan kafe baharu dalam usaha mencapai sasaran, kata ketua pegawai eksekutif bersamanya Wong Wai Keong kepada The Edge berikutan pelancaran perdananya 7CAFé di Puchong, Selangor.

 

Kedai 7CAFé bernilai RM1.8 juta di Bandar Puteri Puchong di sini, merupakan yang terbesar setakat ini.

 

Menurut Wong, kedai dua tingkat berkeluasan kira-kira 6,000 kaki persegi itu adalah empat kali ganda saiz kedai 7- Eleven biasa.

 

“Mengenai jangkaan jualan, saya tidak dapat berkongsi jumlah yang sebenar berikutan setiap kedai adalah berbeza, namun secara umumnya, membandingkan 7CAFé baharu ini dengan kedai yang biasa, ia mampu memperoleh jualan enam hingga tujuh kali ganda lebih banyak," katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

 

Wong berkata  memandangkan kumpulan itu memasuki segmen baharu dalam makanan dan minuman, ia mahu menumpukan pada penyempurnaan standard operasi semua 7CAFé dengan penambahan penyediaan makanan dan pendekatan berorientasikan perkhidmatan.

 

“Kami mempunyai kaunter untuk makanan, serta makanan yang baru disediakan yang biasanya tidak kelihatan di kedai serbaneka 7-Eleven terdekat anda.

 

"Kami mahu pembukaan ini menjadi kesinambungan kepada semua 28 kedai 7CAFé setakat ini,” tambahnya.

 

Wong berkata kedai 7CAFé juga dibuka dengan perkongsian dengan BookXcess yang menyediakan kedai buku mini manakala bahagian makanan dan minuman dilengkapi dengan pencuci mulut dan kek daripada jenama matcha artisan kontemporari  Niko Neko Matcha.  - DagangNews.com