Skip to main content

7 hal yang kita harap ada dalam Bajet 2021

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

PADA 6 November ini, kerajaan dijadual membentangkan Bajet 2021 di Parlimen. Sebelum ini bajet diumumkan pada Jumaat terakhir Oktober setiap tahun. Tahun ini dianjak ke November disebabkan pandemik COVID-19. Tetapi dengan perkembangan Jumaat lepas juga bila negara heboh dengan `darurat', tidak pasti 6 November ini diteruskan atau tidak. Harap tiada penangguhan. 

 

Lanjutan daripada heboh darurat itu juga, sekarang negara menanti Majlis Raja-Raja Melayu bersidang. Merrepak tidak akan mengulas lanjut hal darurat ini setelah difahamkan darurat yang dimaksudkan itu lebih kepada aspek pentadbiran kerajaan semata-mata, bukan `darurat' zaman komunis atau konfrontasi bila kereta kebal diletakkan berkawal di simpang jalan.

 

aaa
TENTERA berkawal di jalan raya, lengkap dengan kereta perisai ini berlaku di Tibet, BUKAN di Malaysia. -Gambar Hiasan

 

Bila kurangnya maklumat, itulah punca ada sesetengah orang menjadi panik sehingga melakukan pembelian makanan besar-besaran. Sebenarnya ada maklumat, soalnya anda mencari maklumat itu di mana?

 

Walhal berdasarkan pemerhatian umum, maklumat atau berita mengenai definisi `darurat' yang berkumandang Jumaat lepas boleh didapati pada semua media massa bonafide, termasuk DagangNews.com ini, iaitu "Darurat, apa kesan kepada kita semua?"

 

Jadi anda yang panik, baca di mana? Baca tajuk saja? 

 

Hari ini Merrepak lebih cenderung untuk membawa pembaca memikirkan benda yang lebih berfaedah daripada melakukan pembelian panik. Mari kita bincangkan apa benda yang boleh kita harapkan daripada kerajaan untuk sediakan atau tawarkan kepada rakyat di dalam Bajet 2021 akan datang ini.

 

Berikut adalah 7 perkara yang kita rakyat harap ada dalam Bajet 2021 :

 

1. Moratorium Diperluaskan 

Moratorium diperkenalkan selepas PKP pertama pada Mac hingga Jun lepas dan tamat akhir September lalu. Kini gelombang ketiga COVID-19 memukul negara sebegitu teruk dengan semalam 24 Oktober mencatat 1,228 kes baharu dan PKP diperketatkan di Sabah, Kedah dan Lembah Klang, wujud keperluan moratorium diperkenalkan semula. Walaupun kegiatan ekonomi dibenar terus beroperasi, impak tetap dirasai oleh pekedai. 

Selain golongan peruncit, pekedai dan sebagainya, moratorium wajar juga diperluaskan kepada banyak lagi segmen perniagaan. Bank-bank akan merungut tetapi kerajaan boleh sediakan pakej khas untuk mereka.

 

aaa

 

2. Subsidi Ujian COVID-19

Kos menyediakan bukti ujian COVID-19 di hospital terutama swasta adalah antara RM350 hingga RM600. Kenapa dan mengapa tiada dikenakan had oleh Kementerian Kesihatan dalam konteks ini, terus menjadi tanda-tanya kita yang terkena arahan supaya menyediakan bukti itu untuk pergi ke tempat kerja. Mahal nan teramat. Yang negatif COVID-19, pasti menderita poket selepas itu.

 

aaa

 

3. Pengecualian cukai jualan kereta

Langkah ini dianggap penting dan bergeliga kerana ia membantu sektor automotif mencatat jualan memberangsangkan pada September. Selain model-model baru lagi segar diperkenalkan, syarikat pengeluar kereta pun bijaksana memberi tawaran menarik untuk bakal pembeli. Di sebalik hakikat beli kereta pun bukan boleh pergi jauh semasa PKPD ini, orang ramai mahu merebut peluang harga yang sedikit rendah berbanding kebiasaan. Dan ini wajar diteruskan lagi sehingga Jun 2021.

 

aaa
SELAIN model baru, syarikat pengeluar kereta juga menawarkan tarikan tersendiri kepada pelanggan.

 

4. Cukai Komputer juga

Disebabkan ramai yang terpaksa bekerja di rumah, pelajar berhubung dengan guru menerusi maya, cukai jualan komputer atau apa sahaja gajet elektronik pun wajar dikecualikan. Ini bukan sahaja membantu rakyat yang bekerja di rumah tetapi juga membantu meningkatkan jualan bagi penjual barangan tersebut.
 

aaa

 

5. Turunkan lagi caj internet

Sama seperti alasan di atas iaitu semakin ramai terpaksa bekerja di rumah, maka mereka memerlukan talian sambungan internet. Syarikat penyedia internet akan kata bahawa mereka sudah pun menyediakan internet pada kadar yang rendah. Minta maaf ya. Kadarnya boleh diturunkan lagi. Bagi percuma itu, rakyat suka dan bersyukur tetapi turunkan caj akan menjadikan mereka pelanggan yang setia.

 

aaa
Harga caj jalur lebar yang diumumkan pada 2018.

 

6. Cukai rokok

Bab ini akan ada yang mencebik mulut. Sabar. Izinkan saya huraikan : cukai rokok dinaikkan pada 2015 dan sejak itu menyaksikan harga sekotak rokok menjadi RM17.50. Matlamatnya adalah untuk mengurangkan hasrat rakyat membeli, merokok dan memelihara kesihatan. Tetapi golongan perokok tegar beralih kepada rokok murah termasuk rokok seludup. Dan rokok seludup meragut hasil cukai RM5 bilion setahun, menurut industri rokok. Malaysia juga dilabel sebagai syurga nombor satu penyeludup rokok di Asia Tenggara. Kerajaan ada pilihan untuk naikkan lagi harga rokok yang memastikan Malaysia kekal sebagai syurga penyeludup atau susun strategi dengan menurunkan cukai supaya jurang harga rokok sah dengan yang diseludup tidak lagi seperti langit dengan bumi.

 

aaa
Jabatan Kastam DiRaja Malaysia menunjukkan hasil rampasan rokok seludup.

 

7. Turunkan cukai basikal

Mujurlah semasa PKPP ini, pergerakan bagi riadah dan sukan dibenarkan. Jadi aktiviti berbasikal terus dilakukan, kurang daripada 10 orang pada satu-satu masa oleh sesuatu kumpulan. Bagi pengayuh konsisten, mereka bertukar maklumat mengenai harga basikal yang sedia ada di pasaran. Ada yang murah, datang dari China. Tetapi kualitinya dipertikaikan. Ada yang jenama sudah dikenali tetapi harganya antara RM3,000 hingga RM5,000 yang dianggap masih mampu dibeli secara ansurans. Hanya golongan T20 sahaja yang mampu membeli basikal berbelas ribu ringgit. Mohon Menteri Kewangan yang diketahui ramai sebagai pengayuh tegar mempertimbangkan perkara ini. Turunkan cukai jualan basikal. Tolonglah.

 

aaa

 
 
 
MERREPAK adalah ruangan pojok Johardy Ibrahim, yang merupakan Editor DagangNews.com dan bekas Pengarang Berita Ekonomi Utusan Malaysia, pada setiap Ahad yang menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau hal-hal yang menyebabkannya mendengar lagu Semangat Yang Hilang oleh XPDC berulang-ulang kali. Merrepak kini adalah ruangan tetap di dalam portal berita DagangNews.com.  Sebarang cadangan topik untuk bahan Merrepak, sila emel johardy@dagangnews.com

*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud dengan `membebel'.