7 pakej rangsangan bukti kerajaan komited urus ekonomi - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

7 pakej rangsangan bukti kerajaan komited urus ekonomi - Penganalisis

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 3 Jun - Kekerapan pengumuman pakej rangsangan sejak Mac 2020 hingga 31 Mei lalu membuktikan bahawa kerajaan komited untuk menguruskan ekonomi negara ketika penularan COVID-19 masih lagi berisiko. 

 

Sehubungan itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid tidak menolak kemungkinan bahawa terdapat potensi pakej-pakej rangsangan lain bakal menyusul berikutan krisis kesihatan di Malaysia belum selesai dan memakan masa untuk dipulihkan. 

 

“Persoalan cukup (bantuan pakej rangsangan) atau sebaliknya adalah sesuatu yang subjektif. 

 

Mohd Afzanizam Abdul Rashid
Mohd Afzanizam Abdul Rashid

 

“Kerajaan sememangnya mempunyai kemampuan untuk terus menyokong ekonomi melalui pakej rangsangan. 

 

“Namun, sebaiknya setiap pakej rangsangan itu perlu dinilai dari sudut keberkesanannya kepada ekonomi negara,” katanya kepada DagangNews.com hari ini. 

 

Katanya lagi, ini bermakna setiap pakej rangsangan perlu diteliti bagi memastikan pelaksanaan itu memberi impak positif serta ini merupakan proses dan usaha yang berterusan. 

 

Mengimbas kembali pada 27 Mac 2020, kerajaan pertama kalinya mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) bernilai RM250 bilion, semasa gelombang kedua COVID-19 menular di dalam negara.

 

Ini seterusnya diikuti oleh Prihatin Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Tambahan (Prihatin PKS Tambahan) bernilai RM10 bilion yang disasarkan buat golongan usahawan dan perniagaan. 

 

Semasa penularan pandemik COVID-19 di dalam negara hampir berjaya dikawal, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan satu lagi pakej rangsangan iaitu Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) pada 5 Jun 2020 dengan nilai peruntukan sebanyak RM35 bilion. 

 

Pakej rangsangan
JUMLAH pakej rangsangan yang diperuntukkan kerajaan sejak Mac 2020 hingga 31 Mei lalu. - Sumber nota kajian CGS-CIMB Research

 

Apabila krisis pandemik itu memasuki gelombang ketiga, Muhyiddin mengumumkan pula Kerangka Inisiatif Tambahan Prihatin (Kita Prihatin) pada 23 September 2020 yang bernilai RM10 bilion. 

 

Seterusnya, Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) menjadi pembuka ‘tirai’ tahun 2021 dengan nilai peruntukan sebanyak RM15 bilion.

 

Susulan kes COVID-19 yang masih lagi meningkat dan sempena ‘ulang tahun’ Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama, kerajaan mengumumkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) pada 17 Mac 2020, bernilai RM20 bilion. 

 

Terkini, Pemerkasa Plus bernilai RM40 bilion diumumkan pada 31 Mei lalu sebagai langkah sokongan buat rakyat ketika kerajaan terpaksa menguatkuasakan semula ‘lockdown’  bermula 1 hingga 14 Jun depan. 

 

Ketujuh-tujuh pakej rangsangan itu menelan perbelanjaan berjumlah RM380 bilion dengan anggaran RM73 bilion daripadanya merupakan suntikan fiskal langsung. 

 

Sementara itu, 22 kumpulan pemikir menerusi satu kenyataan menyambut baik pengumuman Pemerkasa Plus oleh kerajaan, namun mereka melihat langkah-langkah berkenaan bersifat reaktif terhadap situasi semasa, dan bukannya tindak balas menyeluruh terhadap krisis COVID-19.

 

Think Tank
SEBANYAK 22 kumpulan pemikir menggesa kerajaan untuk mewujudkan strategi yang jelas dan diselaraskan bagi membendung penularan COVID-19.

 

“Peningkatan dalam perbelanjaan kerajaan perlu seiring dengan perancangan fiskal jangka panjang. Kami menyokong peningkatan pinjaman kerajaan untuk mempertahankan perancangan tersebut,” jelas kenyataan itu. 

 

Tambah kumpulan berkenaan, semakin cepat strategi pelbagai aspek dilancarkan, lebih cepat Malaysia boleh kembali ke tahap pemulihan ekonomi yang serius.

 

Ini termasuklah menangani masalah komunikasi kerajaan, pengurusan pandemik yang berkesan, koordinasi antara kementerian serta antara kerajaan persekutuan dan negeri, selain pengurusan vaksinasi yang cepat, seterusnya memastikan penyediaan bantuan ekonomi yang diperlukan. - DagangNews.com