79.9 juta dos vaksin telah ditempah setakat ini - PM | DagangNews Skip to main content

79.9 juta dos vaksin telah ditempah setakat ini - PM

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 26 Julai - Setakat ini, kerajaan telah menempah 79.9 juta dos vaksin dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 25.2 juta dos telah diterima. 

 

Menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Malaysia dijangka menerima jumlah keseluruhan 37.3 juta dos pada bulan Ogos. 

 

“Sebanyak 21.9 juta dos lagi akan diterima pada suku keempat 2021 (4Q21) dan baki selebihnya akan diterima pada suku pertama 2022 (1Q22). 

 

“Mengikut perancangan asal, dijangkakan 80% penduduk dewasa di Malaysia akan menerima dos lengkap vaksin menjelang 1Q22. InsyaAllah, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) akan terus diperhebat supaya sasaran 100% penduduk dewasa menerima dos lengkap vaksin dapat dicapai lebih awal, iaitu pada bulan Oktober tahun ini. 

 

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin

 

“Malah ketika ini, kerajaan telah mencapai kapasiti kadar suntikan sebanyak lebih 500,000 dos sehari,” katanya ketika membentangkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam Sidang Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini.

 

Setakat ini, melalui pelaksanaan PICK, lebih 16 juta dos telah berjaya dibekalkan kepada rakyat Malaysia iaitu merangkumi 11 juta orang telah menerima dos pertama dan lima juta telah menerima dua dos lengkap suntikan vaksin. 

 

Muhyiddin yang merujuk kepada data global berkata, purata kadar kematian berpunca daripada jangkitan COVID-19 adalah sebanyak 2.2% daripada keseluruhan kes manakala kadar bagi Malaysia ialah sebanyak 0.7%. 

 

Berdasarkan laporan Ketua Pengarah Kesihatan, kata beliau lagi, didapati lebih 98% daripada pesakit COVID-19 di Malaysia tidak bergejala atau hanya bergejala ringan. 

 

Ini bermakna, kadar pemulihan di dalam negara pada masa ini agak tinggi iaitu sebanyak 87%, ujar beliau lanjut. - DagangNews.com