8 kluster manusia yang anda patut remove dari grup wasap | DagangNews Skip to main content

8 kluster manusia yang anda patut remove dari grup wasap

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

 

SEORANG cendekiawan pernah memberi nasihat: ``Bila berkawan dan mahu berkawan lama, elakkan daripada melibatkan wang’’.

 

Huraian nasihat cendekiawan yang nama tak perlu sebut ini sebenarnya cukup mudah. Bila berkawan, maka berkawanlah seikhlas hati. Perkara wang yang dimaksudkannya ialah berhutang atau melakukan perniagaan.

 

Kita pun cuba mencabar cendekiawan tersebut berhujah. Kalau sudah kawan, memang tanggungjawab kawanlah memberi pinjaman kepada yang memerlukan, betul? Dengan kawan jugalah kita lebih selesa membuat perniagaan kerana tahu serba serbi sikap dan alamat rumahnya.

 

Itu perkara ideal dalam persahabatan. Cuma cendekiawan ini lebih berupa kepada memperkatakan aspek risiko-risiko yang boleh merosakkan persahabatan. Bila susah, kita beri pinjam. Dengan harapan, akan dibayar balik bila berkemampuan. Lebih-lebih lagi semasa PKP Diperketatkan ini. Ramai berdepan kesulitan hidup.

 

Masa susah ini, kita memang ikhlas menolong. Harapnya bila keadaan kembali pulih nanti, janganlah buat-buat tak ingat sehingga memaksa kita pula kena memberi peringatan.

 

Begitu juga hal perniagaan. Jika melabur RM10,000 dan dijanjikan pulangan tahunan 10%, ia haruslah dihormati dan dilaksanakan. Tetapi atas nama kawan, ada kes bukan sahaja dividen tidak diperoleh, malah terseret pula ke mahkamah kerana perniagaan menimbulkan kecurigaan pihak berkuasa. Rumit, bukan?

 

Jadi jalan paling mudah ialah bila berkawan, kita jaga nilai-nilai persahabatan dan elakkan daripada berdepan dengan risiko putus kawanSatu daripadanya ialah wang. Satu per tiga pula mulut lancang. Satu per empat lagi WhatsApp.

 

Jadi apakah kluster manusia yang anda patut remove dari grup wasap anda? Berikut adalah senarai Merrepak:

 

  1. Tak dendam tak juga lupa

Dalam kebanyakan kes bermulanya perselisihan ialah disebabkan salah faham. Bila sebut `salah faham’ benda yang paling mudah dibuat ialah perbetulkanlah kefahaman. Itu saja. Dah diterangkan, maka faham dan bolehlah hulur tangan bersalaman (atau letak tangan di dada ikut SOP).

Malangnya, atas faktor diri lebih tua, atau lebih kanan jawatan atau pesara berjawatan tinggi, lazimnya ego dipertahankan berbanding perdamaian.

Lebih merumitkan, benda gaduh ini berulang-ulang disebabkan masing-masing berdendam. Kita walaupun sesama kawan tapi menengok perlakuan mereka, rasa meluat. Nak ditegur, nanti kita pula terpalit sama. Tunggu 1 pagi, remove dua-dua.

 

merrepak

 

 

2.      Sentiasa mahu menang

Sifat ini menyerupai babun-alfa di Afrika. Dengan bontot merah terdedah dan suara menakutkan, babun-alfa akan mengarah-arah semua di dalam puaknya. Jangan ada sesiapa berani makan lebih daripadanya. Kalau ahli kata anak dia baharu masuk kolej, babun-alfa pantas menceritakan anak dia sudah semester kedua di Universiti Papua. Jauh tu.

merrepak

 

3.      Kaki provokasi

Apa sahaja isu dia mesti mahu beri ulasan. Dan dia mewakili `suara intelektual’ dan `suara demokrasi’. Maka diletakkan pernyataan yang jelas bernada provokasi #kaugagal #diagagal #semuagagal #akuseorangbetul

Masalahnya setelah lima jam terpampang di dada Facebooknya, hanya ada empat orang masuk. Lalu dia masukkan pula dalam grup WhatsApp kejiranan, alumni sekolah, surau dan apa sahaja dia di dalamnya.

Bila orang beri reaksi, bukan sahaja diajak berdebat tetapi dicemuh sebagai `kurang membaca’ dan `tak sama tahap akal fikiran’.

Ada juga yang berani lawan balik, pandai pula dia melenting. Ditulisnya kepada orang itu `Noob’. Siapa sebenarnya bersikap Noob?

 

merrepak

 

4.      Peduli apa hati keluarga

Benarlah sesetengah pendapat mengatakan media sosial seeloknya, jangan dibawa sama ahli keluarga. Jadi bila nak cakap apa sahaja, tidak perlu fikir sensitiviti keluarga.

Dan tiada ahli keluarga akan rasa malu bila membaca pernyataan anda yang `hipster’, anti pegawai agama atau sebagainya. Anda pun tidak risau disindir ahli keluarga semasa beraya di kampung.

 

merrepak

 

5.      Tidak perlu Tabayyun

Berulang-kali sudah dipesan, bila menerima apa-apa kiriman atau pernyataan dalam media sosial, sila ambil sedikit masa untuk menyiasat kesahihan sumber berita.

Menyebar berita palsu sama seperti memfitnah yang hukumnya amat serius di sisi agama. Tapi siapa ada masa nak siasat, itu kerja orang lain. Dapat saja, kita pos balik dalam grup lain.

Bila ada sesiapa menyanggah menyatakan ia berita palsu, jangan takut. Cakap `sorry’ selesailah. Esok buat lagi dan lagi.

 

merrepak

 

6.      Kaki sanggah

Dalam mana-mana peradaban manusia, mesti wujud spesies manusia berhaluan kiri atau bertentangan. Biasanya, kita akan terima dan menghormati mereka yang menyanggah dengan hujah ilmiah dan cukup fakta.

Yang kita tidak tahan ialah spesies manusia yang kerjanya sanggah semata-mata kerana tidak mahu dilihat bersetuju dengan orang lain. Seolah-olah jika setuju, ia merendahkan martabat dirinya. Menyanggah dengan hujah emosi dan tong kosong pun tergolong dalam kategori merendah martabat. Bab ini dia tak tahu pula.

 

merrepak

 

 

7.      Hanyut dengan kemahsyuran

Selain WhatsApp, era Facebook dan Instagram ini, ramai beranggapan populariti diri disukat daripada berapa banyak mendapat Like atau Share. Soal kandungan tulisan itu sendiri, adalah soal kedua. Yang penting tulisan hal-hal jelek, sindiran, cacian dan ketawa pasti menarik perhatian ramai. Video gempar termasuk isteri sendiri pun disiar. Serba-serbi nak tayang. Itu formula menjadikan diri popular. Halal haram? Esok minta maaf saja.

 

merrepak

 

8.      Asyik merungut

Semalam jumpa muka kelat. Hari ini pun masam. Cerita yang keluar dari mulut ialah hal tidak puas hati terhadap orang. Tidak puas hati lockdown lama sangat. Tidak puas hati kes positif COVID-19 terus naik walhal ramai dah kena vaksin. Tidak puas hati tidak boleh kayuh basikal. Tak puas hati pendingin hawa tak sejuk.

 

merrepak

 

Jika anda tidak boleh remove kluster seperti disebut di atas, ikut petua ini:

  • Bentangkan kes kepada admin supaya tindakan diambil.

  • Minta admin beri kuasa Admin kepada anda

  • Sesudah dapat kuasa admin, remove target terang-terangan atau 1 pagi, ikut ketahanan mata anda berjaga malam.

  • Kalau semua di atas gagal, sila remove diri anda sendiri. - DagangNews.com

 

 

 

MERREPAK adalah ruangan pojok setiap Ahad oleh Johardy Ibrahim sebagai Pengarang Urusan DagangNews.com - menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu iLe - Vienen A Verme berulang-ulang kali. 

 

*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud `membebel'.