80% nilai projek daripada sasaran hasil FY22 dalam ‘tangan’ Sapura Energy | DagangNews Skip to main content

80% nilai projek daripada sasaran hasil FY22 dalam ‘tangan’ Sapura Energy

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 Julai - Syarikat minyak dan gas, Sapura Energy Berhad telah memperoleh 80% nilai projek daripada sasaran hasilnya bagi tahun kewangan 2022 (FY22) dan kumpulan optimis untuk ‘memenangi’ lebih banyak kontrak pada masa akan datang. 

 

Menerusi sasaran pasaran yang kian meningkat dengan ketara, Pengerusi Sapura Energy, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas melihat situasi ini akan mendatangkan lebih banyak peluang dalam sektor angin lepas pantai. 

 

Shamsul Azhar Abbas
Shamsul Azhar Abbas

 

Katanya lagi, lebih banyak kejayaan dalam segmen yang boleh diperbaharui juga memberi manfaat kepada kumpulan, memandangkan Sapura Energy kini melaksanakan peralihan tenaga.

 

“Sementara itu, segmen penerokaan dan pengeluaran (E&P) kumpulan di bawah usaha sama SapuraOMV terus menumpukan peralihannya ke arah lebih banyak perkembangan gas. Ia sememangnya merupakan pembekal utama dan pengeluar kos unit terendah untuk kilang MLNG di Bintulu, dan kedudukan ini akan diperkukuhkan lagi susulan pelaburan akhir yang diambil di ladang Jerunnya, projek terbesar yang dikendalikan dalam pembangunan gas SK408.

 

“Kesemua indikator ini menunjukkan prospek positif dalam FY22, dan ahli Lembaga Pengarah yakin terhadap prestasi kumpulan yang lebih baik pada tahun hadapan,” jelasnya dalam Laporan Tahunan Kewangan 2021, menerusi makluman di Bursa Malaysia.

 

Katanya, ahli Lembaga Pengarah optimis, namun berhati-hati terhadap pemulihan ekonomi global menjelang FY22. 

 

Sementara itu, di bawah Acceleration Programme yang dilancarkan pada tahun 2019, kumpulan berhasrat untuk menjana simpanan tunai berjumlah RM1.3 bilion menjelang penghujung FY22. 

 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura Energy, Datuk Mohd Anuar Taib, sebanyak 278 inisiatif telah dikenalpasti dan 130 inisiatif berjumlah RM760 juta telah dilaksanakan, setakat April 2021. 

 

Mohd Anuar Taib
Mohd Anuar Taib

 

Daripada kesemua inisiatif berkenaan, kumpulan telah memperoleh simpanan bernilai RM430 juta daripada 48 inisiatif yang telah selesai dilaksanakan, katanya. 

 

“Disokong oleh prospek yang optimis, Sapura Energy yakin bahawa pembidaan projeknya akan kekal kukuh pada FY22 dan beberapa tahun kewangan akan datang. 

 

“Sasaran pasaran bagi minyak dan gas serta projek angin lepas pantai bernilai kira-kira AS$515 juta dalam tempoh lima tahun akan datang. Pada FY22, segmen kejuruteraan dan pembinaan (E&C), operasi dan penyelenggaraan (O&M) serta penggerudian mendatangkan prospek nilai global sebanyak RM123 bilion, pertumbuhan 80% berbanding tahun lalu, menunjukkan pemulihan positif dalam ekonomi dunia. 

 

“Setakat ini, kami telah menghantar bidaan bernilai RM31.5 bilion, sebahagian besarnya terdapat di pasaran baru muncul dan ekonomi membangun. Hampir 60% daripada pembidaan kami terdiri daripada pembangunan gas, sementara bahagian yang kian membangun adalah tenaga boleh diperbaharui, dengan lima tawaran projek sedang dijalankan,” katanya.

 

Kumpulan bagaimanapun menjangkakan cabaran masih lagi wujud pada FY22, namun terdapat keyakinan terhadap harga minyak yang akan kembali pulih kepada paras sebelum pandemik. 

 

Ini dipacu oleh program vaksinasi COVID-19 yang dilihat meraih momentum di peringkat global dan seterusnya melonjakkan permintaan tenaga dan aktiviti ekonomi pada masa akan datang. - DagangNews.com