92.80% ekuiti CCM 'dalam tangan’ Batu Kawan | DagangNews Skip to main content

92.80% ekuiti CCM 'dalam tangan’ Batu Kawan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 Jan. - Batu Kawan Berhad (BKB) berjaya memperoleh penerimaan tawaran yang sah mewakili 92.80% atau 155.62 juta daripada pemegang kepentingan dan pihak bertindak (PAC) Chemical Company of Malaysia Berhad (CCM) setakat 5 petang semalam. 

 

Dalam sebuah makluman di Bursa Malaysia, BKB turut melanjutkan tarikh tutup penghantaran penerimaan tawaran pengambilalihan itu daripada 18 Januari 2021 kepada 2 Februari 2021 pada pukul 5 petang.

 

“Lanjutan tarikh tutup itu bagi memberi lebih masa kepada pemegang saham CCM untuk menerima tawaran berkenaan setelah mengambil kira beberapa bentuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan Malaysia.

 

“Notis lanjutan tempoh itu akan diserahkan kepada pemegang ekuiti,” jelas CIMB Investment Bank Berhad bagi pihak BKB dalam makluman itu. 

 

Terdahulu, CCM pada asalnya merupakan anak syarikat Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang memegang kepentingan majoriti. 

 

Namun, pada 17 November 2020, PNB  mencapai persetujuan dengan BKB untuk melupuskan keseluruhan pegangan sahamnya sebanyak 56.3% dalam CCM dan dana unit amanahnya berjumlah RM292.8 juta.

 

Baca : Apabila PNB pula mula jual aset 

 

Harga itu mewakili premium sebanyak 69% daripada harga saham purata berwajaran 3 bulan. 

 

Penjualan tersebut akan mencetuskan tawaran umum wajib oleh BKB untuk baki saham dalam CCM.

  

BKB kemudiannya membuat tawaran rasmi untuk membeli kesemua saham CCM yang tidak dimilikinya pada harga RM3.10 sesaham bernilai RM292.79 juta. 

 

Apabila pengambilalihan itu lengkap, ini bermakna pegangan BKB dalam CCM meningkat kepada 59.73% daripada 3.41% sebelum ini. 

 

Susulan itu, BKB meletakkan 18 Januari 2021 sebagai tarikh tutup pertama kepada pemegang ekuiti untuk menerima tawaran pembelian saham dalam CCM.

 

Dalam pekeliling nasihat (IAC) dikeluarkan CCM  pada 7 Januari lalu, pengarah tidak berkepentingannya melihat nilai tawaran itu tidak adil kerana harganya lebih rendah dan menunjukkan pengurangan kira-kira 6.50% hingga 11.08% daripada nilai anggaran saham CCM. 

 

Baca : Harga saham RM3.10 tidak adil, tapi berpatutan - CCM

 

“Seperti yang dinyatakan dalam Dokumen Tawaran, sekiranya BKB memperoleh penerimaan sah sekali gus menjadikannya dan pihak berkaitan memegang 90% atau lebih kepentingan, BKB tidak berniat untuk mengekalkan status penyenaraian CCM. 

 

“BKB akan meminta CCM untuk mengambil langkah-langkah yang diperlukan untuk menarik kembali status penyenaraiannya dari Senarai Rasmi sesuai dengan Perenggan 16.07 dalam Syarat-Syarat Penyenaraian,” tambah makluman itu.

 

Setakat 2.43 petang, nilai saham CCM menyusut RM0.01 kepada RM3.08, sementara BKB menyaksikan nilai sahamnya tidak berubah kepada RM18. - DagangNews.com