9M20: Premium bertulis kasar Allianz Malaysia naik 8.7% kepada RM3.99 bilion | DagangNews Skip to main content

9M20: Premium bertulis kasar Allianz Malaysia naik 8.7% kepada RM3.99 bilion

Allianz Malaysia Berhad (Allianz Malaysia)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 27 Nov. - Kumpulan Allianz Malaysia Berhad (Allianz Malaysia) mencatatkan lonjakan dalam premium bertulis kasar (GWP) sebanyak 8.7% kepada RM3.99 bilion bagi tempoh sembilan bulan pertama 2020 (9M20) iaitu Januari hingga September.

 

Jumlah tersebut adalah lebih tinggi berbanding RM3.68 bilion yang diraih pada tempoh yang sama pada 2019. 

 

Keuntungan sebelum cukai meningkat 7.7% kepada RM542.8 juta berbanding RM504.0 juta pada 2019. 

 

Selain itu, jumlah aset kumpulan meningkat 10.9% kepada RM21.33 bilion setakat September 2020 berbanding RM19.24 bilion pada tahun sebelumnya.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zakri Khir berkata, keputusan kumpulan untuk sembilan bulan pertama tahun 2020 adalah seperti yang dijangka dalam keadaan yang tidak menentu.

 

"Sejak pandemik COVID-19 tular di negara kita, perniagaan insurans am kami serta perniagaan hayat kami telah mengutamakan daya tahan disamping memberi perkhidmatan terbaik untuk pelanggan dan pemegang saham kami. 

 

"Selain itu, kami juga kekal berwaspada tentang kesulitan yang dialami rata-rata rakyat Malaysia tahun ini, dan kita belum lagi selamat dengan kenaikan kes baharu COVID-19 dalam negara baru-baru ini. 

 

"Sementara kami kekal optimistik seadanya, COVID-19 telah membawa terlalu banyak ketidaktentuan, kita juga harus bersedia untuk keadaan menjadi semakin sulit tahun depan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Dalam pasaran yang mencabar, operasi insurans am Allianz Malaysia, Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad (Allianz General) meraih GWP RM1.80 bilion untuk sembilan bulan pertama 2020.

 

Jumlah itu meningkat sebanyak 9.2% daripada RM1.65 bilion yang diraih pada tempoh yang sama pada tahun 2019. 

 

Keuntungan sebelum cukai meningkat sebanyak 24.3% kepada RM301.6 juta untuk tempoh sama berbanding RM242.7 juta pada tahun sebelumnya. 

 

Keuntungan pengunderaitan pula meningkat sebanyak 53.2% kepada RM154.1 juta untuk sembilan bulan pertama 2020 berbanding RM100.6 juta pada tempoh yang sama pada tahun 2019. 

 

Nisbah gabungan berada pada 89.7% untuk tempoh berkenaan berbanding 92.6% untuk tempoh yang sama pada 2019. 

 

Aset keseluruhan meningkat 10.5% kepada RM7.14 bilion setakat September 2020 berbanding RM6.46 bilion pada tahun sebelumnya. 

 

Menurut statistik Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), Allianz General menduduki posisi peneraju pasaran dalam industri insurans am dengan bahagian pasaran sebanyak 13.3% untuk Januari hingga September 2020.

 

Zakri yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Allianz General memberitahu, keputusan Allianz General untuk sembilan bulan pertama pada tahun 2020 membuktikan bahawa pihaknya bergerak ke arah yang positif. 

 

"Keuntungan pengunderaitan meningkat kepada RM154.1 juta akibat dari perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pelbagai di seluruh negara yang menyebabkan kurang kenderaan di atas jalanraya (mengurangkan kemungkinan kemalangan) yang mengakibatkan pengurangan nisbah tuntutan motor. 

 

"Kami sedar kami harus teguhkan tekad dan kekal fleksibel dalam strategi kami kerana apa jua yang kami terapkan akan dicerminkan pada suku keempat tahun ini sementara kami bersiap sedia menghadapi sebuah lagi tahun yang mencabar pada 2021,” ujar beliau lagi. - DagangNews.com