Pentingnya kita menitikberatkan kepatuhan Syariah di dalam urusan perancangan harta | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 25 Dec 2024 07:00 AM

PENTINGNYA KITA MENITIKBERATKAN KEPATUHAN SYARIAH DI DALAM URUSAN PERANCANGAN HARTA

 

 

 

SAYA sudah bercakap tentang subjek ini semenjak 20 tahun yang lepas.

 

Saya bukan sahaja bermusafir ke seluruh Malaysia malah ke seluruh dunia dengan perbelanjaan sendiri semata-mata untuk menyebarkan ilmu ini dan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang peri pentingnya memastikan perancangan harta kita dibuat mengikut kaedah Syariah tanpa kompromi. 

 

Pengalaman saya menunjukkan bahawa ada orang Islam yang tidak kisahpun sama ada perancangan harta yang mereka buat semasa hidup ini patuh Syariah ataupun tidak. Kepada mereka, asalkan ia dibuat maka selesailah tanggungjawab mereka.   

 

Apabila kita merancang harta, sebagai orang Islam kita WAJIB memastikan apa sahaja yang kita buat itu adalah perkara-perkara yang patuh Syariah. Ini kerana urusan harta pusaka ini sangat terkait dengan akhirat dan bukan urusan dunia semata-mata.

 

Bagaimana mungkin kita mahu mencapai redha Allah di akhirat sekiranya segala unsur-unsur tidak patuh Syariah seperti gharar, riba’ dan maisir bercampur baur di dalam urusan penghartaan kita.

 

Namun saya akui di mata masyarakat awam ukuran sama ada perancangan harta yang kita buat itu  patuh Syariah ataupun tidak memang sukar untuk ditentukan.

 

 

wasiyyah

 

 

Ini kerana tidak seperti industri kewangan Islam yang mempunyai Bank Negara Malaysia (BNM) sebagai pengawal selia dan pihak berkuasa yang menetapkan segala dasar, polisi dan standard operasinya, industri perancangan harta di Malaysia tiada regulator khusus dari sudut kepatuhan Syariah. 

 

Memang Suruhanjaya Syarikat Malaysia yang mengeluarkan lesen syarikat amanah  seperti Wasiyyah Shoppe Berhad namun daripada sudut kepatuhan Syariah, terserahlah kepada syarikat amanah masing-masing untuk menentukannya.

 

Untuk mengenal pasti institusi kewangan Islam sangat mudah hanya berdasarkan namanya sahaja. Contohnya, Bank Islam, Maybank Islamic, CIMB Islamic dan sebagainya. Namun bagi institusi perancangan harta, sama ada ia patuh Syariah ataupun tidak, kita tidak dapat mengenalpastinya daripada nama.

 

Jika masyarakat ingin tahu sama ada sesuatu organisasi perancangan harta itu patuh Syariah ataupun tidak, mereka perlu membuat penyelidikan terlebih dahulu.

 

Lihat siapa Panel Syariah organisasi itu serta apakah pengalaman dan tahap pengetahuan mereka. Kenal pasti apakah bentuk tadbirurus korporat dari sudut Syariah yang diaplikasi dan bagaimana trek rekod mereka. Memang ia agak rumit namun itulah yang perlu dibuat.  

 

Sama ada sesuatu organisasi perancangan harta itu patuh Syariah atau pun tidak, ia bergantung kuat kepada iltizam organisasi itu sendiri bagaimana dia akan ‘self-govern’ standard Syariahnya serta sejauh mana ia bersedia mengikat dirinya mengikut standard itu.  

 

Apabila Wasiyyah Shoppe Berhad ditubuhkan pada 2004, ia telah pun menjadi visi kami untuk membantu umat Islam merancang harta mereka mengikut kaedah patuh Syariah sepenuhnya tanpa kompromi.

 

 

wasiyyah

 

 

Kami faham bahawa ia menjadi tanggungjawab kami bagi memastikan standard Syariah semua dokumen dan operasi kami adalah pada tahap yang terbaik.

 

Kerana itulah semenjak 2004 lagi, Wasiyyah Shoppe Berhad telahpun menubuhkan Panel Syariahnya sendiri yang terdiri daripada pakar-pakar Syariah yang berpengalaman dan berpengetahuan luas.

 

Panel Syariah ini diberikan kuasa autonomi yang jelas melalui had kuasa (limit of authority) yang telah dilulus dan diterima oleh Lembaga Pengarah.

 

Segala keputusan berkaitan Syariah merupakan kuasa mutlak Panel Syariah yang mesti dipatuhi sepenuhnya oleh pengurusan Wasiyyah Shoppe Berhad dan keputusan-keputusan ini tidak boleh diubah oleh mana-mana pihak walaupun oleh Lembaga Pengarah.    

 

Pengerusi Panel Syariah kami ketika awal penubuhan itu ialah Dato’ As-Sheikh Nooh Gadut (Mufti Johor ketika itu), Allahyarham Prof Madya Ridzuan Awang (Pensyarah kanan Fakulti Pengajian Islam UKM), Allahyarham Dato’ Dr Ali Baharum (bekas pensyarah UKM), Allahyarham Prof Madya Dr Hailani Muji Tahir (Pensyarah kanan Fakulti Pengajian Islam UKM) dan Prof Dr Halim El-Muhammady (Pensyarah Fakulti Undang-undang UKM).

 

Selepas tamat tempoh pelantikan Panel Syariah pertama, barisan Panel Syariah kedua Wasiyyah Shoppe Berhad pula dibentuk pada tahun 2008 dengan dipengerusikan oleh Allahyarham Prof Madya Ridzuan Awang dengan ahli-ahlinya, Dr Mohd Zamro Muda (Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Islam UKM), Dr Nasrul Hisyam Noor Muhammad (Pensyarah Fakulti Tamadun Islam UKM) dan Dr Noor Lizza Mohammed Said (Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Islam UKM).

 

 

wasiyyah

 

 

Kini Wasiyyah Shoppe Berhad mempunyai 7 orang Panel Syariah, dipengerusikan oleh Dato’ Seri Dr Hj Md Yusup Che Teh dengan ahlinya, Dr Mohd Zamro Muda, Dr Noor Lizza Mohammed Said, Prof Madya Dr Nasrul Hisyam Nor Muhammad, Dr Nik Abdul Rahim Nik Abdul Ghani (Pensyarah kanan Fakulti Pengajian Islam UKM), Tn Seh Nilamuddin Hassan (bekas Pengarah Pejabat Pusaka Kecil Persekutuan) dan Tn Hj Sulaiman Kadimi (bekas Ketua Penolong Pengarah Pejabat Pusaka Kecil Pahang).  

 

Standard dan disiplin Wasiyyah Shoppe Berhad dari sudut Syariah ini sentiasa ditambahbaik dan diperketatkan dari semasa ke semasa. Kami mengguna pakai standard yang berkuatkuasa ke atas institusi kewangan Islam Malaysia.

 

Proses pembangunan perkhidmatan dan operasi kami bukan sahaja dipastikan sentiasa berada di dalam ruang lingkup hukum Syarak malah kami juga patuh kepada Policy Document (PD) Bank Negara Malaysia untuk institusi kewangan walau pun kami sebenarnya tidak terikat dengan PD itu. 

 

Kami mengikat diri kami dengan ketat kepada disiplin ini kerana kami faham bahawa apa yang kami lakukan ini bukanlah di atas prinsip perniagaan semata-mata.

 

 

wasiyyah

 

 

Ia adalah ibadat fardu kifayah yang ada neraca pahala dan dosanya. Dilaksanakan dengan tepat mengikut hukum Syarak, insya-Allah pahala terhidang.

 

Dilaksanakan dengan motif keuntungan semata-mata dan dilanggar semua batas Syaraknya, maka dosa dan nerakalah balasannya, wa naudzubillahi minzalik.    

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

 

 

 

 

 

 

 

Ariffin Sabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas, Presiden Kumpulan dan CEO Wasiyyah Shoppe Bhd

 

 

dagangnews