ASEAN 2025: Ikatan Komuniti ASEAN melalui Penghayatan Seni, Sastera dan Sejarah Bersama
Pada tahun 2025, Malaysia mempengerusikan ASEAN 2025, dan fokus utama tentulah pemerkasaan Komuniti ASEAN.
Satu naratif utama yang sering terlepas pandang dari dimanfaat untuk mengeratkan kebersamaan dan hala tuju adalah melalui seni, sastera dan sejarah bersama yang telah diwarisi sejak berzaman di seluruh Asia Tenggara.
Sastera lama dari Manuskrip Melayu seperti Sejarah Melayu, Hikayat Merong Mahawangsa dan Hikayat Seri Kelantan serta Kakawin Jawa seperti Negarakertagama, sebagai contoh, menawarkan pemahaman dan cinta terhadap sejarah, sastera, dan seni budaya unik.
Dengan menggalakkan kerjasama dalam penerbitan, filem, dan persembahan teater, kita boleh mendorong pemahaman bersama, penyelidikan, dan saling menghormati keunikan budaya dalam kalangan negara-negara ASEAN.
Inisiatif seumpama ini tidak hanya meningkatkan kerjasama budaya tetapi juga menyemarakkan identiti bersama di Asia Tenggara.
Di seluruh Kepulauan Melayu dan serantau Asia Tenggara, terdapat teks-teks dalam aksara lama pada batu bersurat, manuskrip lama, daun lontar, dan kepingan logam. Kesemuanya merupakan warisan yang tidak ternilai.
Di seluruh dunia, legenda dalam teks sebegini disajikan dalam bentuk cerita rakyat, filem dan lain lain karya kreatif untuk membudayakan warisan dań merangsang pelancongan. Ini menjadikan khazanah sebegini begitu bernilai.
Sastera dari legenda dan cerita rakyat juga mempunyai impak ekonomi yang besar melalui industri pelancongan dan kreatif. Melalui penceritaan menarik, pelawat dan pelancong dapat menjiwai pengalaman mereka dengan lebih mendalam.
Pelawat ke negara kita akan lebih mengingati saat-saat manis apabila ada cerita yang dikaitkan dengan lawatan mereka. Ini akan menjadikan destinasi kita unik, dengan detik-detik yang tidak dapat dilupakan.
Seni budaya, Sastera dan Sejarah Memperkukuh Ikatan ASEAN
Hikayat Merong Mahawangsa salah satu hikayat dihidupkan melalui berbagai medium seperti adaptasi filem dan persembahan teater (yang terbaru, Sakti Merong Mahawangsa oleh Alumni ASWARA), menggambarkan nilai-nilai kepimpinan, keberanian, semangat tinggi peneroka dunia, dan diplomasi yang berkekalan zaman berzaman.
Perlu diingatkan, hikayat lama kita sangat kosmopolitan. Kepulauan Melayu sangat peka tentang peranannya sebagai satu jejambat antara dunia timur dan barat.
Dalam Merong Mahawangsa sebagai contoh, Hikayat ini dengan sangat bijak meletakkan Kedah dalam penceritaannya bersama Tamadun Rom dan China, antara dua tamadun tertua di dunia, dan terserlahlah kepentingan Kedah sejak zaman purba.
Apabila kita melihat perkara ini disokong dalam penemuan arkeologi, sebagai contoh penemuan Sg Batu oleh Prof Datuk Dr Mokhtar Saidin, dan penemuan di Bukit Choras baru-baru ini oleh Dr Nasha Rodziadi Khaw, maka ini memperkuatkan pentingnya warisan ini dipelihara.
Pengajaran dari Manuskrip Melayu dan Puisi Kakawin Jawa
Manuskrip Melayu seperti Sulalatus Salatin (The Malay Annals) diiktiraf UNESCO kerana gambarannya mengenai sejarah abad ke-15 dan ke-16 di rantau ini.
Sulalatus Salatin menceritakan kebangkitan dan kejatuhan Kesultanan Melaka, serta menawarkan pelbagai pengajaran dalam kepimpinan dan pemerintahan yang masih relevan.
Melalui kisah antara kerajaan silam, ikatan dan pengkhianatan, serta kebangkitan dan kejatuhan banyak kerajaan lain seperti Gangga Nagara, Samudera Pasai dan Cham di rantau ini, teks ini berfungsi sebagai pengajaran penting dari sudut sejarah dan tata susila serta budaya untuk generasi akan datang.
Antara tiga kakawin Jawa yang paling penting adalah Negarakertagama, Pararaton dan Kakawin Sutasoma, semuanya melampaui kira-kira 1000 tahun.
Indonesia dengan tegas menggunakan teks asli silam untuk mengukuhkan identiti sehingga hari ini. Motto Indonesia misalnya, Bhinneka Tunggal Ika berasal daripada Kakawin Sutasoma oleh Mpu Tantular dan termaktub dalam perlembagaan Indonesia.
Sumpah Palapa Gadjah Mada dari Kakawin Pararaton pula merupakan saranan jelas betapa pentingnya untuk menyatukan Nusantara padaq zaman itu dari Sunda ke Bali, Pahang ke Tumasik, Tanjungpura ke Haru.
Memulihara, Memelihara serta Mempromosi Warisan Budaya
Meneroka dan menkaji manuskrip silam boleh membuka kunci khazanah bangsa yang dapat memperkaya pemahaman kita tentang warisan Asia Tenggara.
Kini, kita patut sedar betapa pentingnya mengekalkan aksara seperti Jawi, Kawi, Rencong dan Pallava, serta Thai, Lao, Cham dan sebagainya supaya teks-teks kuno ini tidak hilang untuk dikaji ilmu daripadanya.
Bayangkan, jika Jean Francois Champollion tidak menerbitkan penemuan pertamanya dalam pentafsiran hieroglif Rosetta pada tahun 1822 pada abad ke-19.
Legenda dan sejarah Tamadun Mesir akan hilang buat selama-lamanya kerana sehingga abad ke-18, tiada siapa yang tahu tentang sejarah Mesir kerana bahasa itu telah dilupakan.
Kita tidak boleh membiarkan ini berlaku kepada warisan bahasa dan sastera kita sendiri.
Asia Tenggara mempunyai pelbagai tamadun lama dan kini rantau ini sedang bangkit memenuhi potensi sepenuhnya.
Dalam dunia di mana kepelbagaian diraikan, sastera dan budaya kita berfungsi sebagai jambatan yang menghubungkan kita dengan masa lampau dan memberi kekuatan identiti.
Sastera lama dan sejarah, serta seni budaya membantu dalam pemahaman serantau dan menghormati antara satu sama lain.
Sama seperti Indonesia memperoleh kekuatan daripada teks kakawin purbanya untuk menjadi asas identiti kebangsaannya, negara-negara ASEAN boleh memanfaatkan naratif silam untuk memupuk perpaduan dan kekuatan.
Dengan menyelami tradisi, kita bukan sahaja menghormati sejarah bersama tetapi juga membuka jalan ke arah masa depan serantau yang lebih cerah bagi ASEAN yang berbangga dengan kekuatan sastera dan budaya sendiri.
KEPULAUAN MELAYU Ensiklopedia Berilustrasi Tamadun Dunia Silam dan tidak lama lagi BEYOND THE MALAY ARCHIPELAGO An Illustrated Encyclopedia of Ancient Southeast Asia diterbitkan Hikayat Fandom dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
Kedua-duanya merupakan buku terbaharu menggambarkan sejarah seni dan sastera serantau Asia Tenggara. Dimuatkan dengan artikel dan sumbangan daripada 19 ahli akademik dan pakar dunia dari enam buah negara, buku yang disajikan dalam Bahasa Melayu dan Inggeris merupakan bacaan dan penghayatan bernilai untuk rakyat Malaysia dan keseluruhan Asia Tenggara.
Marilah kita terus menghayati legenda dan sejarah agung, serantau, sehati dan sejiwa.
Nota:
- KEPULAUAN MELAYU, Ensiklopedia Berilustrasi Tamadun Dunia Silam boleh didapati di Kinokuniya dan di Galeri Buku Hikayat Fandom GMBB.
- BEYOND THE MALAY ARCHIPELAGO An Illustrated Encyclopedia of Ancient Southeast Asia akan berada dalam pasaran pada Februari 2025.
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA