Cukupkah RM50 juta untuk melawan “Goliath” AI global?
KETIKA dunia bergegas menuju era kecerdasan buatan (AI), di mana pelaburan negara-negara luar mencapai angka berbilion, Malaysia mengangkat tangan dengan cadangan peruntukan RM50 juta dalam Belanjawan 2025.
Mari kita berterus-terang: dalam konteks pelaburan, angka ini adalah cerminan bukan hanya kecil tetapi juga menggambarkan ketidakberdayaan Malaysia untuk bersaing dalam perlumbaan global yang semakin sengit.
Adakah kita benar-benar bersedia untuk turut serta dalam arus kecerdasan buatan ini, atau kita terperangkap dalam ketakutan ditinggalkan, dibayangi sindrom “fear of missing out” (FOMO)?
Atau, kita betul-betul yakin langkah ini akan meletakkan nama Malaysia di pentas global AI?
Kerangka Pemikiran dan Realiti
Meninjau negara jiran terdekat, Singapura, yang melabur S$1 bilion (RM3.2 bilion) dalam AI, dengan cita-cita untuk menjadi pusat inovasi di Asia, dan Amerika Syarikat pula merancang pelaburan melebihi AS$200 bilion menjelang 2025, menunjukkan keberanian ekonomi yang sejati.
Memang tidak dinafikan, negara-negara seperti Singapura dan Amerika Syarikat menunjukkan keberanian dan komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam pelaburan teknologi. Manakala, kita? Malaysia? RM50 juta?
Menilai Realiti AI Global
Kecerdasan buatan telah menjadi nadi transformasi global, merentasi pelbagai sektor daripada pertanian hingga penjagaan kesihatan.
Peruntukan RM50 juta ini tidak lebih dari sekadar formaliti simbolik, melainkan langkah yang mencerminkan ketidakpahaman kita terhadap keperluan mendesak untuk meningkatkan daya saing.
Kita perlu menilai dengan serius: apakah langkah ini cukup untuk mempercepatkan kemajuan Malaysia dalam sektor AI, atau sekadar langkah yang akan kita sesali di masa depan?
Kita boleh mengambil contoh negara-negara seperti China, yang telah mengubah ekosistem perindustriannya melalui pelaburan berbilion dalam teknologi AI.
Syarikat seperti Baidu dan Alibaba, yang melabur dalam penyelidikan dan pembangunan, menunjukkan betapa pentingnya konsistensi dan visi yang jelas dalam mencapai kecemerlangan teknologi.
China telah melangkah jauh dari menjadi pengeksport murah kepada pusat penyelidikan berteknologi tinggi, dan ini semua hasil pelaburan yang komprehensif dalam pendidikan STEM serta infrastruktur teknologi yang kukuh.
Menghadapi Goliath
Melawan gergasi seperti China dan Amerika Syarikat memerlukan lebih dari sekadar peruntukan kecil.
Malaysia perlu mengembangkan strategi holistik yang melibatkan pendidikan teknikal, infrastruktur digital, dan kerjasama antara sektor swasta dan kerajaan.
Kegagalan untuk melakukannya akan menjadikan peruntukan ini hanya langkah kecil dalam perjalanan yang panjang dan penuh cabaran.
Sebagai perbandingan, Korea Selatan telah melabur sebanyak AS$527 juta (kira-kira RM2.4 bilion) untuk mempercepatkan pembangunan teknologi AI.
Mereka memahami bahawa pelaburan dalam inovasi adalah langkah yang wajib diambil untuk mencapai kecemerlangan ekonomi dan bersaing di peringkat antarabangsa.
Apakah RM50 Juta Ini Realiti atau Ilusi?
Pelaburan dalam AI perlu dilihat sebagai satu keperluan, bukan pilihan.
Setiap ringgit yang tidak dilaburkan dalam penyelidikan dan pembangunan akan menciptakan jurang yang semakin besar antara kita dan negara-negara yang lebih maju.
Lebih-lebih lagi, dengan peruntukan ini, kita perlu menyedari bahawa kita tidak boleh berangan-angan bahawa angka ini akan memadai untuk mengubah ekonomi kita secara dramatik.
Kita perlu memikirkan pelaburan yang lebih substantif. Tanpa pendidikan dan inovasi yang berterusan, kita akan ketinggalan dalam perlumbaan teknologi yang semakin pantas.
Membangun Ekosistem Teknologi
Pembangunan ekosistem teknologi adalah kunci untuk memaksimumkan pelaburan AI di Malaysia. Untuk mencapai matlamat ini, kerjasama yang kukuh antara kerajaan, institusi pendidikan, dan industri perlu segera direalisasikan
Jika kita tidak mengambil pendekatan holistik, kita berisiko untuk melahirkan bakat yang mediocre dan tidak relevan dengan cabaran global.
Oleh itu, program latihan dan penyelidikan dalam AI harus menjadi keutamaan. Kita tidak boleh berpura-pura bahawa perjalanan ini akan mudah. Ketidakpastian politik dan ekonomi yang berterusan dapat menghalang kemajuan, menjadikan peruntukan yang ada sekadar langkah kecil dalam perjalanan yang panjang.
Meskipun terdapat peruntukan yang diberikan kepada Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dan Universiti Putra Malaysia (UPM), jumlah tersebut jelas tidak memadai untuk memenuhi keperluan industri yang semakin rumit dan kompetitif.
Keperluan akan dana yang mencukupi adalah penting untuk menjalankan penyelidikan yang relevan dan menghasilkan inovasi berkualiti.
Pelaburan yang Sekadar untuk Memuaskan Hati?
Cukupkah RM50 juta ini untuk AI?
Bukan tidak optimistik, tetapi siapakah yang benar-benar percaya pelaburan ini dapat mengubah wajah industri kita?
Atau, adakah ia hanya menjadi tambahan satu lagi lapisan cat pada bangunan ekonomi yang sudah pun retak? - DagangNews.com
Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat