Dinamik Pasaran Minyak Sawit Mentah: Kemenangan Trump, Kelestarian dan Unjuran Ekonomi Global 2024 (Bahagian 2) | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Eksponen - 04 Dec 2024 08:00 AM

Dinamik Pasaran Minyak Sawit Mentah: Kemenangan Trump, Kelestarian dan Unjuran Ekonomi Global 2024 (Bahagian 2)

 

 

Makluman: Ini adalah sambungan artikel minggu lepas yang meneruskan perbincangan mengenai perkembangan pasaran minyak sawit, dengan tumpuan kepada ramalan harga, risiko global, dan cabaran pengeluaran yang dihadapi oleh negara pengeluar utama.

 

Kesan Kemerosotan Ringgit terhadap Eksport

Kemerosotan nilai ringgit Malaysia memberi kesan bercampur kepada eksport.

 

Secara teori, mata wang yang lemah sepatutnya meningkatkan daya saing eksport dengan menjadikannya lebih murah di pasaran global.

 

Sebaliknya, kelemahan ringgit turut meningkatkan kos import bahan mentah dan bahan api, yang boleh mengurangkan faedah kepada pengeksport.

 

Jadual 5: Kesan Mata Wang pada Harga Minyak Sawit Mentah

 

Mata Wang

Kesan terhadap Harga Minyak Sawit Mentah

Perubahan yang Diharapkan pada 2025

Ringgit Malaysia (RM)

Keuntungan eksport

Kelemahan 2%-3% terhadap USD

Dolar AS (USD)

Menekan kos pengeluaran

Pengaruh langsung pada harga minyak sawit mentah

Sumber: BNM, US Federal Reserve

 

 

Bank Negara Malaysia (BNM) menjangka kelemahan ringgit akan terus memberi tekanan kepada pengeluar tempatan, terutama yang bergantung kepada bahan api dan input import.

 

Bagi sektor minyak sawit mentah, pengimbangan kos dan keuntungan eksport akan menjadi cabaran utama dalam memastikan daya saing pasaran global.

 

Cuaca, Ketahanan, dan Krisis Ekonomi

Fenomena cuaca La Niña dijangka terus mempengaruhi hasil pengeluaran minyak sawit global, dengan US Department of Agriculture (USDA) melaporkan bahawa La Niña akan membawa hujan lebat ke beberapa kawasan utama pengeluar minyak sawit pada 2024 dan 2025.

 

Keadaan cuaca yang ekstrem boleh menyebabkan penurunan hasil dan kekurangan bekalan, yang seterusnya memberi kesan langsung terhadap harga minyak sawit mentah global.

 

Jadual 6: Kesan Cuaca terhadap Harga Minyak Sawit Mentah

Faktor Cuaca

Kesan pada

Harga Minyak Sawit Mentah  2024

Kesan pada

Harga Minyak Sawit Mentah 2025

La Niña

+RM200-RM250 per tan

+RM150-RM200 per tan

El Niño

-RM100-RM150 per tan

-RM200 per tan

Sumber: Met Office, USDA

 

Apa yang kita lihat di sini adalah bagaimana cuaca telah menjadi 'pasaran kedua'—sebuah faktor penentu harga secara semula jadi yang kesannya tidak boleh diabaikan.

 

Jika hasil berkurangan, pemain utama pasaran seperti Malaysia mungkin perlu menilai semula strategi mereka, termasuk mempercepatkan penerapan teknologi automasi bagi mengurangkan impak kekurangan buruh.

 

Afrika: Pemain Baru dalam Pasaran Lama

Dalam ekonomi global yang semakin pelbagai, negara-negara Afrika mula menjadi perhatian sebagai pengeluar minyak sawit mentah yang kompetitif.

 

Dengan pertumbuhan tahunan dua digit, Ghana, Nigeria, dan Ivory Coast adalah bukti bahawa pasaran minyak sawit mentah  bukan lagi monopoli Asia Tenggara.

 

 

Jadual 7: Pengeluaran Minyak Sawit Mentah Afrika pada 2024-2025

Negara

Pengeluaran (juta tan)

Kadar Pertumbuhan (%)

Ghana

0.5

+15%

Nigeria

0.8

+10%

Ivory Coast

0.3

+12%

Sumber: POIG, African Development Bank

 

Walaupun demikian, negara-negara Afrika masih berdepan cabaran infrastruktur dan pelaburan teknologi yang rendah.

 

Jika negara-negara ini berjaya mengatasi halangan ini, kita mungkin akan melihat keseimbangan kuasa dalam pasaran minyak sawit global berubah.

 

Masa Hadapan Pasaran Minyak Sawit Mentah

Pasaran minyak sawit mentah kini berada di titik perubahan. Harga pada 2024 mungkin akan terus meningkat, tetapi risiko – dari inflasi hingga “Trumponomics 2.0”– tidak boleh diketepikan.

 

Kontrak Niaga Hadapan Minyak Sawit Mentah (FCPO), bukan sekadar instrumen kewangan yang didagangkan di Bursa Malaysia Derivatif (BMD).

 

FCPO berfungsi bukan hanya sebagai instrumen perdagangan untuk melakukan spekulasi mengenai harga masa depan minyak sawit mentah dan pengurusan risiko, tetapi turut berperanan sebagai mekanisme penemuan harga, yang mencerminkan sentimen global terhadap minyak sawit.

 

Harga kontrak niaga hadapan FCPO dijangka meningkat sekitar 7%-8% berbanding Disember 2024.

 

Jadual 8: Model Harga FCPO 2025

Bulan

Harga FCPO (Ramalan)

Kenaikan (%)

Disember 2024

RM3,950 per tan

-

Januari 2025

RM4,100 per tan

+3.8%

Jun 2025

RM4,200 per tan

+6.3%

Disember 2025

RM4,300 per tan

+8.3%

 

Meskipun harga minyak sawit mentah dijangka kekal tidak menentu, FCPO menjadi instrumen yang sangat penting untuk menilai kebarangkalian harga masa depan.

 

Aktiviti “open interest” dalam kontrak FCPO memberikan petunjuk tentang sentimen pelabur terhadap harga masa depan.

 

Jika terdapat peningkatan dalam “open interest” ketika pasaran mengalami ketidaktentuan ekonomi, ini mungkin mencerminkan harapan pelabur terhadap kenaikan harga minyak sawit mentah

 

Sebagai contoh, pelabur yang lebih aktif dalam membeli kontrak niaga hadapan apabila pasaran global tidak stabil dapat memberi isyarat mengenai potensi kenaikan harga.

 

Ini menjadikannya alat strategik bagi pelabur, pedagang, dan pengeluar yang ingin memanfaatkan pergerakan pasaran atau melindungi nilai terhadap ketidaktentuan.

 

Perbandingan dengan Firma Penyelidikan Lain

Ramalan harga minyak sawit mentah bagi 2024-2025 menunjukkan pendekatan berbeza antara model penulis (FWZ) dan firma penyelidikan utama seperti UOB Kay Hian (UOBKH) dan Hong Leong Investment Bank (HLIB).

 

 

Jadual 9: Ramalan Harga Minyak Sawit Mentah 2024-2025

Firma Penyelidikan

Harga Minyak Sawit Mentah 2024 (RM per tan)

Harga Minyak Sawit Mentah 2025 (RM per tan)

FWZ

3,850 - RM4,000

4,100 - 4,300

UOBKH

4,500 - RM5,000

-

HLIB

4,150

4,000

 

UOBKH mengambil pendekatan optimis dengan meramalkan harga minyak sawit mentah akan mencecah RM4,500 hingga RM5,000 pada akhir 2024, mencerminkan keyakinan terhadap permintaan global yang kukuh.

 

Sebaliknya, HLIB memberikan ramalan lebih sederhana pada RM4,150 untuk 2024 dan RM4,000 untuk 2025. Ramalan ini mengambil kira tekanan terhadap bekalan minyak sawit, termasuk faktor cuaca dan turun naik bekalan.

 

Model penulis, yang lebih konservatif, mengambil kira risiko ketidaktentuan cuaca dan cabaran pengeluaran, dengan unjuran harga RM3,850 hingga RM4,000 pada 2024 dan peningkatan kepada RM4,100 hingga RM4,300 pada 2025. Perbezaan ini menggambarkan pelbagai perspektif terhadap daya tahan pasaran minyak sawit di tengah-tengah cabaran global dan peluang pertumbuhan.

 

Menjadi Pemenang dalam Ketidaktentuan Pasaran Minyak Sawit Mentah

Pasaran minyak sawit mentah mencerminkan mikrokosmos ekonomi global – kompleks, tidak stabil, tetapi sarat peluang. Dalam persekitaran ini, pengeluar, pelabur, dan kerajaan yang mengamalkan strategi berhati-hati mampu memanfaatkan ketidaktentuan sebagai pemangkin daya tahan ekonomi.

 

Risiko dalam pasaran bukan sekadar cabaran, tetapi juga peluang untuk mencipta kelebihan strategik, sejajar dengan pandangan ahli ekonomi bahawa peluang terbaik sering muncul di tengah-tengah ketidaktentuan. - DagangNews.com

 

 

dagangnews

 

Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL EKSPONEN