GST: Instrumen fiskal atau perompak poket rakyat? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Eksponen - 09 Oct 2024 08:00 AM

GST: Instrumen fiskal atau perompak poket rakyat?

 

 

BILA menyebut tentang Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), ia bukan sekadar satu akronim yang mengingatkan kita kepada tempoh antara 2015 hingga 2018, tetapi simbol kepada bagaimana dasar ekonomi sering membebani golongan marhaen.

 

 

parafrasa

 

 

GST menjadi isu panas dan tidak lama dahulu menjadi bahan ejekan pembangkang, dilagukan dengan sinis:
 

“ABCD-GST,
harga makin tinggi,
gaji tetap tak naik,
maggi lagi murah,
semua kena GST,
bayar hutang 1MDB.”

 

Setelah GST dihapuskan pada tahun 2018, Malaysia berdepan pelbagai cabaran kewangan yang semakin meruncing.

 

Pendapatan kerajaan merosot secara mendadak, manakala pengganti GST, iaitu Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), yang dicanang kononnya lebih ‘mesra rakyat’, gagal untuk mengimbangi kekurangan hasil yang ditinggalkan.

 

Kini, kita menyaksikan defisit fiskal yang semakin melebar dan hutang negara yang melonjak dengan pantas.

 

Keadaan ini menimbulkan pertanyaan: Bolehkah negara ini terus bertahan tanpa perubahan fiskal yang lebih mampan? Atau, adakah kita sekadar menangguhkan krisis yang bakal meletus?

 

 

Inflasi, Hutang, dan Kegawatan Fiskal

Setakat April 2024, jumlah hutang negara Malaysia mencapai RM1.22 trilion, bersamaan dengan 64% daripada KDNK.

 

Angka ini mendedahkan ketidakseimbangan fiskal yang serius, yang boleh mengganggu keupayaan kerajaan untuk menampung perbelanjaan dan memenuhi komitmen kewangannya di masa depan.

 

Kebergantungan terhadap hutang dan pinjaman luar menambah tekanan kepada kestabilan fiskal, dan keadaan ekonomi yang tidak menentu ini semakin menguatkan desakan untuk menghidupkan semula GST.

 

SST, yang hanya mampu mengumpul RM26 bilion setahun, jelas tidak dapat menandingi RM44 bilion yang diperoleh melalui GST sebelum ini.

 

Jurang ini menyerlahkan kelemahan struktur fiskal negara, di mana kerajaan terus bergantung kepada pinjaman untuk menampung perbelanjaan yang semakin meningkat.

 

Peningkatan hutang awam sebanyak lebih RM90 bilion sejak 2018 membuktikan dengan jelas bahawa SST tidak mampu memenuhi keperluan fiskal negara.

 

 

wasiyyah

 

 

GST dan Golongan Berpendapatan Rendah

Meskipun GST sering dianggap sebagai sistem percukaian yang lebih luas dan menyeluruh, kesannya terhadap golongan berpendapatan rendah tidak boleh dipandang ringan.

 

Dari perspektif ekonomi, cukai penggunaan seperti GST bersifat regresif, di mana ia memberi beban yang lebih berat kepada golongan miskin berbanding golongan kaya.

 

Bagi isi rumah yang hidup di bawah garis kemiskinan negara, dengan pendapatan bulanan RM2,208 atau kurang, pengenalan semula GST hanya akan menambah beban kewangan mereka.

 

Pemerintah mungkin berhujah bahawa GST lebih cekap dan sukar untuk dielakkan berbanding cukai langsung, tetapi hakikatnya, cukai ini cenderung menambah jurang ketidaksamaan pendapatan.

 

Golongan kaya lebih mudah memanfaatkan mekanisme pelepasan cukai atau insentif, sementara golongan berpendapatan rendah terpaksa memikul beban yang lebih berat.

 

Inilah sebabnya mengapa GST, meskipun berkesan dari segi pungutan hasil, tetap dianggap tidak adil dalam pembahagian beban cukai.

 

 

Reformasi Cukai dan Pengurusan Fiskal

Malaysia sebenarnya tidak terikat untuk hanya bergantung kepada GST sebagai sumber pendapatan utama.

 

Terdapat pelbagai pilihan lain yang boleh dipertimbangkan, termasuk reformasi cukai korporat serta pengukuhan penguatkuasaan undang-undang cukai.

 

Kadar cukai korporat kini berada pada tahap 24%. Walau bagaimanapun, ketirisan hasil akibat kelonggaran undang-undang dan amalan pengelakan cukai masih menjadi masalah utama.

 

Memperketat penguatkuasaan undang-undang cukai terhadap syarikat multinasional dapat meningkatkan hasil tanpa membebankan rakyat biasa.

 

Di samping itu, idea untuk melaksanakan cukai kekayaan dan cukai keuntungan modal juga perlu dipertimbangkan.

 

Golongan elit ekonomi, yang memperoleh keuntungan besar daripada pertumbuhan ekonomi negara, seharusnya dikenakan cukai yang lebih progresif.

 

Cukai-cukai ini bukan sahaja dapat mengurangkan ketidaksamaan pendapatan, tetapi juga memastikan bahawa beban fiskal diagihkan dengan lebih adil.

 

 

wasiyyah

 

 

Alternatif Progresif dari Negara Serantau

‘Mengintai’ negara jiran, kita dapat belajar bahawa GST bukanlah satu-satunya jalan untuk mengatasi masalah fiskal.

 

Contohnya, Indonesia telah berjaya meningkatkan hasil cukainya tanpa memperkenalkan cukai penggunaan yang luas seperti GST, dengan memperluas asas cukai dan memperkukuh penguatkuasaan terhadap syarikat korporat.

 

Thailand pula berjaya mengekalkan sistem cukai nilai tambah (VAT) pada kadar yang lebih rendah sambil memberikan sokongan sosial yang lebih menyeluruh kepada golongan miskin.

 

Sebaliknya, Malaysia kelihatan terlalu bergantung kepada idea bahawa GST adalah penyelesaian tunggal kepada masalah kewangan negara.

 

Negara-negara serantau juga telah menunjukkan bahawa alternatif progresif bukan sahaja boleh dilaksanakan, tetapi juga boleh membantu memastikan kesejahteraan rakyat tanpa mengorbankan kestabilan fiskal.

 

 

Pilih GST atau Reformasi?

Persoalan utama kini adalah: Adakah GST akan memberi kesejahteraan ekonomi atau sekadar menambah tekanan kepada rakyat?

 

Tanpa reformasi fiskal yang menyeluruh, negara mungkin terperangkap dalam kitaran hutang dan ketidaksamaan yang semakin mendalam.

 

Keputusan kini berada di tangan pembuat dasar – adakah mereka akan memilih penyelesaian segera dengan GST, atau berani melakukan reformasi yang lebih progresif untuk jangka masa panjang? - DagangNews.com

 

 

dagangnews

 

Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL EKSPONEN