Minyak sampah jadi Emas Hijau: Bolehkah FUCO selamatkan dunia? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Eksponen - 18 Dec 2024 08:00 AM

Minyak sampah jadi Emas Hijau: Bolehkah FUCO selamatkan dunia?

 

 

 

Eh, siapa sangka minyak masak terpakai pun ada futures contracts? Minyak masak terpakai, yang selama ini kita anggap sebagai sisa buangan, kini muncul sebagai komoditi berharga dalam ekonomi global.

 

Dengan pelancaran USD Used Cooking Oil FOB Straits (Platts) Futures (FUCO) di Bursa Malaysia Derivatives, peluang baharu terbuka luas untuk pedagang dan pemain industri minyak terpakai.

 

FUCO bukan sahaja alat untuk mengurus risiko harga dalam pasaran minyak masak terpakai (UCO) yang semakin berkembang, tetapi juga simbol kebangkitan ekonomi lestari.

 

Minyak masak lama kini bukan lagi sekadar bahan buangan, tetapi pemacu masa depan yang lebih hijau dan mampan.

 

Dari Sisa Menjadi Aset Global Bernilai

Minyak masak terpakai bukan sekadar bahan buangan; ia adalah salah satu bahan mentah penting dalam industri bio-diesel yang semakin berkembang.

 

Penggunaan minyak masak terpakai sebagai bahan mentah untuk bio-diesel membantu mengurangkan pelepasan karbon dan menyokong usaha global untuk mencapai matlamat sifar karbon menjelang 2050.

 

Negara maju, terutamanya di Eropah dan Amerika Syarikat, telah lama mengiktiraf minyak masak terpakai sebagai alternatif kepada diesel konvensional.

 

Walau bagaimanapun, beberapa faktor utama mempengaruhi kestabilan harga minyak masak terpakai di pasaran antarabangsa:

 

  1. Kenaikan harga minyak mentah dunia memberi kesan langsung terhadap kos biodiesel. Pada 2024, harga minyak Brent melonjak kepada AS$85 setong, yang menggalakkan pengeluar mencari alternatif yang lebih murah, termasuk minyak masak terpakai. Permintaan untuk minyak masak terpakai di Eropah juga meningkat kerana kos tenaga yang semakin tinggi.

 

  1. Dasar seperti Renewable Energy Directive II (RED II) di Eropah telah mendorong penggunaan minyak masak terpakai sebagai bahan bio-diesel, dengan peningkatan sebanyak 15% pada 2023. Dengan insentif cukai dan komitmen global terhadap pengurangan pelepasan karbon, negara-negara maju semakin memperluaskan penggunaan bahan api lestari.

 

  1. Asia Tenggara, yang menyumbang kira-kira 35% bekalan minyak masak mentah global, berdepan masalah logistik yang ketara. Proses pengumpulan dan pengangkutan minyak masak terpakai, yang sering kali dilakukan secara manual dari restoran kecil, meningkatkan kos dan mencabar kestabilan bekalan. Ini memberi tekanan tambahan kepada industri, yang berisiko mengalami ketidaktentuan bekalan.

 

FUCO hadir sebagai instrumen berlandaskan harga FOB Straits (Platts), dengan akses global melalui platform elektronik CME GLOBEX®.

 

 Ini menawarkan ketelusan harga dan peluang pengurusan risiko yang lebih cekap dalam pasaran minyak masak terpakai global.

 

Mengapa FUCO Masih Bergelut di Pasaran?

Walaupun potensi FUCO cukup besar, setakat ini prestasi dagangannya masih mengecewakan.

 

Sejarah Bursa Malaysia menunjukkan beberapa kontrak niaga hadapan lain seperti FEPO (East Malaysia Crude Palm Oil Futures) dan FPKO (Palm Kernel Oil Futures) gagal mencapai kejayaan yang diharapkan.

 

Faktor-faktor berikut menjadi penyebab utama:

 

  • FEPO: Dilancarkan pada 2021 sebagai alternatif kepada CPO Futures, tetapi ia gagal menarik minat pedagang kerana ketiadaan perbezaan ketara dan kecairan pasaran yang lemah.

 

  • FPKO: Walaupun berkait rapat dengan industri minyak sawit, kontrak ini gagal bersaing dengan produk antarabangsa yang lebih cair dan mendapat sambutan global.

 

Pada 17 Disember 2024, menurut maklumat Bursa Malaysia, FUCO masih belum mencatatkan sebarang aktiviti dagangan atau minat terbuka.

 

Harga penyelesaian dilaporkan berada dalam julat AS$903.50 hingga AS$971.75, namun ini menunjukkan bahawa keyakinan pasaran terhadap kontrak baru ini masih rendah.

 

Belajar dari Shanghai Futures Exchange: Strategi untuk Kejayaan FUCO

Untuk memastikan kejayaan FUCO, Bursa Malaysia boleh meniru pendekatan Shanghai Futures Exchange (SHFE), yang telah berjaya memacu dagangan kontrak niaga hadapan UCO di peringkat antarabangsa.

 

Strategi utama yang perlu diberi tumpuan adalah:

 

  1. Promosi Global dan Kerjasama Strategik


SHFE berjaya menarik penyertaan pemain antarabangsa melalui kerjasama erat dengan pengeluar, pengeksport, dan pengguna akhir. Bursa Malaysia perlu meningkatkan promosi FUCO di pasaran utama seperti Eropah, Asia Timur, dan Amerika Syarikat. Fokus utama harus diberikan kepada nilai FUCO sebagai instrumen pengurusan risiko yang berkesan dan telus.

 

  1. Menarik Spekulator untuk Meningkatkan Kecairan


Spekulator memainkan peranan kritikal dalam mencipta pasaran yang aktif dan dinamik. SHFE berjaya menarik golongan ini melalui tawaran yuran dagangan rendah dan peluang keuntungan dalam pasaran yang tidak menentu. Bursa Malaysia boleh menawarkan insentif kewangan serupa, selain memastikan harga FUCO cukup menarik dan relevan.

 

  1. Hubungan Rapat dengan Pasaran Fizikal


Kunci kejayaan SHFE terletak pada hubungan kukuh antara kontrak niaga hadapan dengan realiti pasaran fizikal. Bursa Malaysia perlu bekerjasama dengan pemain industri di Asia Tenggara untuk memastikan harga FUCO mencerminkan situasi bekalan dan permintaan sebenar. Langkah ini akan meningkatkan kebolehpercayaan FUCO sebagai penanda aras harga global.

 


Sisa yang Mengubah Dunia!

Dari restoran kecil ke enjin jet, minyak masak terpakai bukan lagi sekadar sisa. FUCO berpotensi menjadi pemangkin perubahan global dalam industri tenaga lestari, mengubah “sampah” menjadi emas hijau.

 

Perubahan ini bukan sahaja memacu perdagangan minyak masak terpakai tetapi juga menyumbang ke arah dunia yang lebih hijau dan lestari.

 

What was once waste can now fuel the future. Dari buangan ke tenaga, minyak masak terpakai mungkin kunci kepada revolusi tenaga global yang kita nantikan. - DagangNews.com

 

 

dagangnews

 

Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL EKSPONEN