Ar-Rahnu penyelamat umat Islam | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 07 Jan 2025 07:00 AM

AR-RAHNU PENYELAMAT UMAT ISLAM

Oleh Dr Razli Ramli

 

 

Selamat Tahun Baharu 2025 kepada seluruh pembaca DagangNews.com! Semoga tahun yang baharu ini membawa keberkatan dan kejayaan dalam setiap langkah kita.

 

Penulis juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada DagangNews.com kerana terus memberi ruang untuk berkongsi pandangan dan ilmu di ruangan Iktisad ini.

 

Harapan penulis, setiap perkongsian menjadi manfaat kepada semua pembaca, khususnya dalam memperkukuhkan kefahaman tentang ekonomi Islam sebagai asas kehidupan yang lebih sejahtera.

 

Menginjak ke tahun baharu ini, penulis ingin menyeru umat Islam agar segera sedar dan bertindak terhadap isu-isu pengurusan kewangan yang selama ini banyak dipengaruhi oleh sistem bertuhankan riba.

 

Sistem ini bukan sahaja bertentangan dengan prinsip Syariah, malah membebankan umat dengan ketidakadilan dan ketidakstabilan. Inilah masanya untuk beralih kepada sistem kewangan yang berlandaskan Syariah, seperti Ar-Rahnu, yang bukan sahaja menawarkan penyelesaian kewangan yang adil tetapi juga menjamin kesejahteraan hidup tanpa terikat dengan unsur-unsur yang dilarang.

 

Ar-Rahnu, sebagai sistem gadaian Islam, muncul sebagai alternatif kepada kedai pajak gadai konvensional yang sering dikaitkan dengan ketidakadilan dan penindasan terhadap golongan yang memerlukan.

 

Artikel ini bertujuan untuk menyoroti peranan Ar-Rahnu dalam menyelamatkan umat Islam daripada cengkaman sistem gadaian konvensional serta bagaimana ia mendukung maqasid syariah.

 

 

iktisad

 

 

Kezaliman Sistem Pajak Gadai Konvensional

Sistem pajak gadai konvensional yang bertaburan di setiap pelosok kota dan pekan sering dilihat sebagai lubuk keuntungan bagi pemiliknya.

 

Mereka menyasarkan keuntungan utama daripada jualan barang kemas yang gagal ditebus oleh pelanggan. Semakin banyak pelanggan gagal menebus barang kemas mereka, semakin besar keuntungan yang diraih.

 

Malangnya, golongan pelanggan yang sering menjadi sasaran sistem ini ialah mereka yang kesempitan wang dan memiliki barang kemas, dan kebanyakan daripada mereka adalah orang Melayu.

 

Apabila pelanggan gagal menebus barang kemas mereka, hasil daripada lelongan atau penjualan barang tersebut sepenuhnya menjadi milik kedai pajak gadai. Tidak ada satu sen pun yang dipulangkan kepada pelanggan.

 

Akibatnya, pelanggan bukan sahaja kehilangan barang berharga mereka tetapi juga terjerumus dalam kitaran kemiskinan yang sukar dipecahkan.

 

Situasi ini mencerminkan penindasan yang berterusan, menjadikan kedai pajak gadai sebagai ‘lintah darat’ moden yang memerah hasil titik peluh pelanggan tanpa belas kasihan.

 

 

iktisad

 

 

Alternatif Berteraskan Maqasid Syariah

Dalam konteks ini, Ar-Rahnu diperkenalkan sebagai penyelesaian yang adil dan berteraskan prinsip Islam.

 

Konsep Ar-Rahnu bertujuan untuk menyelamatkan pelanggan daripada cengkaman lintah darat dan memberikan mereka ruang untuk bernafas dalam menghadapi cabaran kewangan. Ia bukanlah sekadar sebuah sistem gadaian, tetapi satu inisiatif untuk membantu golongan yang memerlukan dengan cara yang selaras dengan maqasid syariah.

 

Tujuan utama Ar-Rahnu adalah untuk membantu, bukan untuk menindas. Melalui sistem ini, golongan yang menghadapi kesempitan wang diberi peluang untuk mendapatkan modal jangka pendek, menjalankan perniagaan, atau memenuhi keperluan mendesak tanpa perlu berhadapan dengan risiko kehilangan sepenuhnya barang berharga mereka.

 

Ar-Rahnu memastikan pelanggan hanya membayar jumlah pinjaman dan caj perkhidmatan yang berpatutan, tanpa sebarang unsur riba atau penindasan.

 

Kelebihan Ar-Rahnu

Ar-Rahnu memastikan pelanggan tidak kehilangan sepenuhnya barang berharga mereka. Jika barang gadaian perlu dilelong, lebihan hasil jualan selepas menolak pinjaman dan caj akan dipulangkan kepada pelanggan.

 

Ini berbeza sama sekali dengan sistem pajak gadai konvensional. Ar-Rahnu menyediakan peluang kepada mereka yang memerlukan untuk mendapatkan bantuan kewangan tanpa menanggung beban yang tidak adil. Ia membantu golongan yang ingin memulakan perniagaan kecil atau memenuhi keperluan asas kehidupan.

 

Dengan adanya Ar-Rahnu, masyarakat, khususnya umat Islam, dapat mengelakkan diri daripada bergantung kepada sistem pajak gadai konvensional yang sering menindas.

 

Ar-Rahnu juga berfungsi sebagai medium untuk mendidik masyarakat tentang prinsip kewangan Islam, yang menekankan keadilan dan kesejahteraan untuk semua pihak.

 

 

iktisad

 

 

Mengubah Persepsi Terhadap Ar-Rahnu

Walaupun Ar-Rahnu jelas membawa manfaat yang besar, masih ada segelintir masyarakat yang memandang serong terhadap sistem ini. Persepsi negatif ini mungkin berpunca daripada kurangnya pemahaman tentang tujuan dan mekanisme Ar-Rahnu. Oleh itu, adalah penting untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang bagaimana Ar-Rahnu berfungsi dan peranannya dalam membantu umat Islam mencapai kestabilan kewangan.

 

Sokongan Terhadap Ar-Rahnu

Sebagai umat Islam, kita harus menyokong dan memanfaatkan sistem Ar-Rahnu. Ia bukan sahaja tempat untuk mendapatkan bantuan kewangan, tetapi juga perisai yang melindungi kita daripada terjerumus ke dalam cengkaman pajak gadai konvensional. Dengan menyokong Ar-Rahnu, kita bukan sahaja membantu diri sendiri tetapi juga menyumbang kepada pembangunan ekonomi yang lebih adil dan selaras dengan prinsip Islam.

 

Peranan YaPEIM dan Permodalan Kelantan Berhad dalam Mempelopori Ar-Rahnu

Selain kejayaan yang dicapai oleh Bank Rakyat dan 83 rangkaian francaisi Ar-Rahnu X'Change (ARX) mereka di seluruh negara, dalam usaha memartabatkan sistem Ar-Rahnu, YaPEIM (Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia) juga telah memainkan peranan penting sebagai perintis dalam memperkenalkan sistem ini di Malaysia.

 

 

iktisad

 

 

YaPEIM bukan sahaja menyediakan perkhidmatan Ar-Rahnu kepada masyarakat, tetapi juga memastikan prinsip syariah diterapkan dengan penuh amanah.

 

Melalui rangkaian pusat gadaian Islam di seluruh negara, YaPEIM telah membantu ribuan rakyat Malaysia, khususnya golongan berpendapatan rendah, mendapatkan akses kepada pembiayaan mikro secara adil dan beretika.

 

Inisiatif ini turut menyumbang kepada peningkatan taraf hidup masyarakat Islam di negara ini.

 

Permodalan Kelantan Berhad (PKB) juga tidak ketinggalan dalam memainkan peranan besar dalam mempelopori Ar-Rahnu, khususnya di Pantai Timur Malaysia.

 

Sebagai sebuah institusi kewangan yang berakar umbi di negeri Kelantan, PKB telah berjaya memperluas perkhidmatan Ar-Rahnu kepada komuniti setempat.

 

 

iktisad

 

 

Kejayaan PKB dalam mengendalikan sistem ini bukan sahaja menunjukkan keberkesanan Ar-Rahnu sebagai alternatif kepada pajak gadai konvensional, tetapi juga membuktikan potensi besar sistem ini dalam membantu umat Islam mencapai kestabilan ekonomi.

 

Usaha mereka menjadi inspirasi kepada institusi lain untuk terus memperkasakan Ar-Rahnu di seluruh negara.

 

Kesimpulan

Ar-Rahnu bukan sekadar sistem gadaian, tetapi sebuah institusi yang bertujuan menyelamatkan umat Islam daripada penindasan kewangan dan mencapai maqasid syariah.

 

 

iktisad

 

 

Ia membantu golongan yang memerlukan, melindungi mereka daripada ketidakadilan, dan memastikan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan.

 

Oleh itu, penulis mengajak kita semua, marilah sama-sama menyokong dan memperkasakan Ar-Rahnu sebagai salah satu usaha untuk meningkatkan kualiti kehidupan umat Islam dan mencapai matlamat syariah yang sebenar.

 

Kita mulakan tahun 2025 ini. Jom! - DagangNews.com

 

Dr Razli Ramli adalah Ketua Strategi dan Pengurusan Risiko yang juga Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) UTM dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di UIAM

 


utm

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IKTISAD

 

dagangnews