IMPLIKASI KETIDAKSEPADANAN MAKLUMAT PERKONGSIAN KEUNTUNGAN DALAM PERBANKAN ISLAM
Isu kadar perkongsian keuntungan telah dibincang penulis dua minggu lepas. Pandangan mengenai isu kadar perkongsian keuntungan 70:30 dan bukan 80:20, walaupun dinyatakan sebaliknya di resit ATM, apabila pelanggan membuat pelaburan, adalah penting demi menjaga aspek ketepatan dan kepatuhan terhadap syarat-syarat utama hukum muamalat yang telah ditetapkan.
Percanggahan antara apa yang tercatat di ATM dengan terma umum produk perlu dilihat sebagai satu kecuaian operasi yang serius, yang hampir kepada ketidakpatuhan syariah atau peraturan yang seharusnya dipatuhi.
Dalam konteks produk akaun pelaburan, jika syarat am produk menetapkan 70:30, tetapi yang tertulis di ATM adalah 80:20, mungkin ia hanya kesilapan teknikal atau proses. Namun, kesilapan ini tetap membawa kesan besar kepada persepsi pelanggan dan mencetuskan isu ketelusan operasi institusi kewangan tersebut.
Dari segi ketelusan dan kepatuhan, amat penting bagi jabatan produk di institusi kewangan untuk memastikan setiap maklumat yang diberikan kepada pelanggan, sama ada melalui ATM, resit, atau platform lain, adalah selaras dengan terma am produk.
Maklumat yang mengelirukan bukan sahaja menimbulkan keraguan dalam kalangan pelanggan, tetapi juga boleh dilihat sebagai tidak memenuhi prinsip akad dalam urus niaga Islam yang memerlukan kejelasan dalam syarat dan pembahagian keuntungan.
Penulis berpendapat bahawa walaupun apa yang tercatat di resit ATM tertakluk kepada syarat-syarat umum produk akaun pelaburan, ini tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan kesilapan operasi atau maklumat yang mengelirukan di sisi pelanggan. Institusi kewangan perlu mengambil langkah segera untuk memperbetulkan perkara ini agar mematuhi piawaian syariah dan menjaga ketelusan operasi.
Isu risiko operasi yang timbul akibat kegagalan sistem atau kecuaian pihak bertanggungjawab, seperti dalam kes perbezaan kadar perkongsian keuntungan (70:30 dan 80:20), perlu diberikan perhatian serius. Hal ini berpotensi menjejaskan reputasi institusi kewangan serta mengurangkan keyakinan pelanggan terhadap ketelusan dan kepatuhan syariah.
Institusi kewangan yang terlibat perlu melaksanakan audit dalaman dan pengawasan yang lebih ketat untuk mengenal pasti dan membetulkan kelemahan dalam proses operasi yang mungkin menyebabkan percanggahan ini berlaku. Langkah proaktif ini bukan sahaja membantu memelihara integriti institusi kewangan, tetapi juga memastikan segala amalan perniagaan selaras dengan undang-undang dan syariah.
Tambahan pula, komunikasi yang jelas dan tepat kepada pelanggan perlu ditingkatkan. Pelanggan harus diberi jaminan bahawa institusi kewangan komited untuk memastikan setiap transaksi dan maklumat yang disampaikan memenuhi prinsip ketelusan, kepatuhan, dan keadilan.
Pihak pengurusan perlu sentiasa berwaspada terhadap implikasi kegagalan operasi dan kesilapan teknikal seperti ini, kerana ia bukan sahaja mencemar imej institusi, tetapi juga boleh menimbulkan persoalan mengenai komitmen institusi tersebut dalam mematuhi prinsip-prinsip syariah yang menjadi teras kepada produk kewangan Islam.
Apabila terdapat ketidaksepadanan antara maklumat di ATM atau resit dan terma sebenar produk, ia menandakan kegagalan dalam sistem maklumat atau pengekodan. Sistem maklumat yang lemah atau proses kemas kini yang tidak telus boleh menyebabkan maklumat salah disampaikan kepada pelanggan. Ini mencerminkan kelemahan dalam proses kawalan dalaman dan pemantauan teknologi, di mana maklumat yang sensitif dan penting tidak diselaraskan dengan tepat antara pelbagai platform (seperti ATM, resit, laman web, dsb.).
Kelalaian pihak yang bertanggungjawab dalam memastikan maklumat yang tepat dan terkini tersedia kepada pelanggan juga menyumbang kepada risiko operasi. Setiap kesilapan ini, walaupun nampak kecil, boleh mengakibatkan impak besar terhadap integriti institusi dan keyakinan pelanggan. Prosedur standard (SOP) mungkin tidak dipatuhi dengan teliti, atau mungkin ada kurangnya pemantauan dan semakan berkala terhadap data yang disampaikan kepada pelanggan, termasuk penyelarasan dengan terma produk.
Kesilapan seperti ini, jika tidak ditangani dengan cepat, boleh menjejaskan imej institusi kewangan. Pelanggan mungkin berasa tertipu atau terkeliru, dan ini boleh membawa kepada penarikan balik deposit, atau lebih buruk, boleh menyebabkan institusi tersebut dipandang sebagai tidak telus atau tidak profesional. Dalam industri kewangan yang sangat bergantung pada kepercayaan dan keyakinan pelanggan, sebarang ketidakjelasan atau kekeliruan dalam maklumat adalah amat berbahaya.
Dalam konteks perbankan Islam, kesilapan mewartakan kadar perkongsian keuntungan (70:30 berbanding 80:20) boleh menimbulkan persoalan serius mengenai kapatuhan syariah. Urus niaga berlandaskan prinsip syariah perlu dilakukan dengan ketelusan yang tinggi dan semua pihak perlu mengetahui dengan jelas syarat-syarat perjanjian. Ketidakpatuhan terhadap terma yang tepat boleh membawa kepada invalidity akad (perjanjian) dan menjadikan transaksi tersebut tidak sah di sisi syariah.
Oleh yang demikian, jika berlaku kes sedemikian rupa, institusi kewangan perlu menjalankan audit dalaman yang menyeluruh ke atas sistem yang terlibat, termasuk ATM, platform digital, dan resit yang dikeluarkan. Semua maklumat perlu disemak untuk memastikan keseragaman dengan terma produk yang telah ditetapkan.
Sistem pemantauan yang lebih kukuh perlu diwujudkan, di mana kemas kini data secara automatik atau manual disemak secara berkala untuk memastikan tiada kesilapan. Ini termasuk penyelarasan antara platform digital dan fizikal (seperti ATM dan resit). Langkah ini akan memastikan maklumat yang diberikan kepada pelanggan adalah tepat dan terkini.
Pihak kakitangan yang bertanggungjawab terhadap pengurusan produk dan penyelarasan maklumat perlu diberikan latihan intensif untuk meningkatkan kesedaran mengenai impak risiko operasi dan kepatuhan syariah. Dengan latihan ini, kakitangan akan lebih memahami kepentingan ketepatan maklumat dan kepatuhan kepada prosedur operasi standard.
Kesedaran terhadap SOP dan prosedur pemantauan harus dipertingkatkan untuk memastikan semua pihak memahami dan mengikuti garis panduan yang telah ditetapkan. Ini penting untuk meminimumkan risiko kesilapan operasi dan memastikan kepatuhan penuh terhadap undang-undang dan syariah.
Kesimpulannya isu operational risk seperti ini tidak boleh dipandang ringan kerana kesannya terhadap reputasi, kepatuhan, dan hubungan dengan pelanggan adalah besar. Tindakan segera perlu diambil bagi memastikan kelalaian operasi dan kegagalan sistem tidak berulang, di samping mewujudkan sistem kawalan yang lebih berkesan dan telus. - DagangNews.com
Dr Razli Ramli adalah Ketua Strategi dan Pengurusan Risiko yang juga Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) UTM dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di UIAM
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IKTISAD