RUU Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024: Redakah masalah?
Rang Undang-Undang Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024 (CMA) telah dibentangkan di Dewan Rakyat dan kerajaan Persekutuan dilihat yakin dapat memastikan dewan agung meluluskannya.
Rang undang-undang itu, telah menyebabkan kontroversi besar dalam kalangan industri digital dan pengamal media. Telah kedengaran bahawa rang undang-undang itu akan membawa kepada penapisan internet dan kawalan yang meningkat.
Kejahilan tentang sesuatu perkara itu terubat dengan mengetahui kebenaran tentang perkara itu. “The cure for ignorance is education”.
Pendidikan boleh merangkumi kebenaran yang telah ditemukan. Pendidikan boleh mengajar kita bagaimana untuk belajar lebih lanjut.
Suatu rang undang undang yang digubal selalunya adalah merupakan satu jalan singkat untuk menyelesaikan suatu masalah yang sudah membarah. Sedangkan pendidikan merupakan salah satu perkara yang sangat penting untuk mencapai masyarakat yang ideal dan makmur untuk jangka masa panjang.
Dalam hal ini, pendidikan bukan sahaja bermakna memberikan pengetahuan dan kemahiran, tetapi juga membantu rakyat membentuk keperibadian secara berkesan dan turut serta dalam proses pembangunan negara.
Kita dapat melihat bagaimana pendidikan dapat memberikan asas yang kukuh untuk mewujudkan masyarakat yang beradab, adil dan makmur di atas kaedah pendidikan yang sesuai.
Penekanan kepada kepentingan memberi tumpuan kepada usaha mewujudkan masyarakat beradab, adil dan makmur merupakan impian semua pihak.
Bagaimanapun, kebelakangan ini kita merasakan hal ehwal politik sering mengalih perhatian daripada usaha tersebut menyebabkan ramai rakyat terkeliru dengan keadaan yang semakin bercelaru.
Mungkin menekankan kepentingan membangunkan undang-undang yang selaras dengan visi masyarakat adil dan makmur itu merupakan langkah jangka masa singkat, tetapi sejauh manakah masalah dialam digital itu dapat dikawal tanpa diikuti dengan sistem pendidikan yang memanusiakan manusia.
Ya, mungkin satu reformasi undang-undang dalam tempoh terdekat diperlukan tapi apa tindakan lanjut sesudah itu?
Kita juga harus melihat peranan mahkamah sebagai mahkamah perlembagaan moden yang menggunakan teknologi untuk meningkatkan akses rakyat kepada keadilan.
Mewujudkan masyarakat adil dan makmur bukanlah tugas yang mudah, tetapi dengan kerja sama dan komitmen dari semua pihak, sasaran ini dapat tercapai.
Penting bagi pihak kerajaan, masyarakat, dan dunia akademik untuk bekerja sama dalam mengimplementasikan langkah-langkah yang diperlukan bagi menciptakan masyarakat adil dan makmur bagi seluruh warga negara.
Kehidupan yang damai, harmonis, dan penuh tolak ansur antara satu dengan yang lain adalah impian majoriti masyarakat Malaysia.
Sementara itu, masyarakat yang makmur adalah masyarakat yang memberikan kualiti hidup yang baik bagi seluruh rakyatnya, meliputi aspek ekonomi,pendidikan, sosial, dan kesihatan.
Walaupun persekitaran media sosial hari ini benar-benar bermasalah dan memerlukan suatu undang-undang peraturan untuk mengatur, mengawasi namun dalam memperbaiki segala kekurangan, kita juga perlu melihat beberapa pindaan yang dianggap terlalu luas pentafsirannya.
Mewujudkan masyarakat makmur di zaman digital memerlukan satu sistem pendidikan yang sistematik dari pra sekolah sehinggalah ke peringkat universiti.
Pengubalan rang undang-undang baru perlu diikuti dengan kekuatan dalam bidang pendidikan yang bersifat mencegah dari mengubati. Dalam konteks ini, bagaimana pelajar generasi digital ini dapat mengamalkan adab yang baik di tengah dunia yang semakin digital?
Generasi digital dibesarkan dalam persekitaran yang sangat berbeza berbanding generasi sebelum ini kerana kehidupan mereka dipengaruhi oleh pelbagai peranti digital dan aplikasi dalam talian yang mencabar penerapan adab dalam diri mereka.
Dalam konteks pendidikan, generasi ini turut terdedah kepada pendekatan yang lebih berfokus pada digital dan visual. Banyak pembelajaran mereka terima didasarkan dengan kendiri tanpa kawalan kepada kandungan multimedia, animasi, dan visual interaktif.
Selain meningkatkan daya tarikan pembelajaran, ini juga mengurangkan penekanan pada pemikiran kritis dan perbincangan mendalam. Pembelajaran melalui skrin di universiti pula jarang memberi ruang untuk pelajar berbincang secara langsung dengan rakan sebaya atau pensyarah, dalam membentuk perbincangan yang merentasi pelbagai sudut pandangan.
Adab dalam dunia digital bermula dengan komunikasi yang berhemah dan bertanggungjawab. Kita perlu menyedari bahawa di sebalik skrin, terdapat individu sebenar yang harus dihormati.
Ini termasuk mengelak penggunaan kata-kata kesat, sindiran, atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih. Contohnya, menulis e-mel atau mesej dengan bahasa yang sopan, serta mengawal emosi ketika memberikan komen atau pendapat di platform media sosial.
Generasi ini bukan sahaja perlukan pengubalan rang undang-undang tetapi perlu pendidikan tentang pentingnya menyemak kesahihan maklumat sebelum menyebarkannya.
Pengubalan undang-undang tanpa sokongan pendidikan awal ibarat mengubat dari mencegah. Kita harus ingat undang-undang akan diikuti dengan kos penguatkuasaan dan pelaksanaan. Maka cegah sebelum mengubat. - DagangNews.com
Afizan Amer adalah Pensyarah Kanan Pemasaran Digital, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Kampus Rembau , Universiti Teknologi Mara N.Sembilan.
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL INFINITI