Skip to main content

Aaron, Wooi Yik melonjak ke kedudukan keenam ranking BWF

 

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Nov - Pasangan beregu lelaki No.1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menerima motivasi terbaik dalam usaha memburu kejuaraan antarabangsa pertama selepas berjaya menduduki tangga keenam senarai ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

 

Walaupun gagal meraih sebarang kejuaraan dalam beberapa siri kejohanan sebelum ini, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu berjaya menaiki satu anak anak tangga berbanding kedudukan ketujuh sebelum ini.

 

Aaron bagaimanapun mengakui, kedudukan itu adalah yang terbaik pernah dicapai mereka namun mereka masih perlu bekerja keras kerana sehingga kini masih belum berjaya merangkul sebarang kejuaraan dalam Kejohanan Siri Jelajah Dunia.

 

"Memang sesuatu yang baik untuk memperbaiki kedudukan ranking dunia tetapi kami tetap kena kerja kuat lagi untuk dapatkan apa yang kami mahu iaitu menjadi juara.

 

"Buat masa sekarang kami tidak mahu terlalu memikirkannya sebab ia akan menjadi tekanan buat kami, tetapi kami tahu apa yang perlu dilakukan," katanya.

 

Sejak mula bergandingan pada 2017, pasangan Aaron-Wooi Yik masih belum pernah meraih sebarang kejuaraan melainkan pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyp 2020.

 

Mereka bagaimanapun masih berpeluang untuk merangkul kejuaraan Terbuka Indonesia apabila bakal membuat perhitungan di pusingan kedua esok dengan pasangan profesional negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin untuk ke suku akhir.

 

Pasangan itu juga perlu sekurang-kurangnya berada di suku akhir untuk menghidupkan peluang ke kejohanan Ahir Jelajah Dunia pada 1 Disember ini yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah AS$1.5 juta (RM6.23 juta).-Dagangnews.com