Skip to main content

Acara kerajaan pinggirkan Bahasa Melayu, kata ABIM

abim

KUALA LUMPUR 19 Julai - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menegur program rasmi kerajaan yang meminggirkan penggunaan Bahasa Melayu yang merupakan Bahasa Kebangsaan.

Presiden ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, Bahasa Melayu belum betul-betul diangkat sebagai bahasa cerminan jati diri negara dalam majlis rasmi, mesyuarat dan pelbagai acara lain.

``Sehingga ke hari ini, masih terdapat program rasmi dijalankan oleh pihak kerajaan yang meminggirkan bahasa kebangsaan.

``Atas faktor ini, ABIM menyambut positif usaha meminda Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 (Semakan 1978, Pindaan dan Peluasan 1995) untuk memperkasa penggunaan bahasa Melayu di negara ini,’’ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Seperti yang semua sedia maklum ujar beliau, Bahasa Melayu adalah medium penting memperkukuhkan peranan institusi seterusnya mampu memartabat bahasa, sastera dan ilmu dalam kalangan rakyat.
 

abim2
Muhammad Faisal Abdul Aziz

Beliau mengulas draf pindaan terhadap Seksyen 2 Akta Bahasa Kebangsaan (ABK) 1963/67 (dikenali juga sebagai Akta 32) yang memberi kuasa kepada DBP dalam penguatkuasaan undang-undang berkaitan penggunaan Bahasa Melayu telah pun diusahakan semenjak awal 2019.

Seksyen 2 Akta 32 tersebut menetapkan bahawa segala urusan rasmi kerajaan harus menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantara.

Muhammad Faisal berkata, ABIM menyokong sebarang usaha bagi menyatukan undang-undang berhubungan dengan penggunaan bahasa kebangsaan, dalam hal memastikan penggunaan bahasa yang betul.

``Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 152, Akta 32, Akta DBP dan Akta Pendidikan (1961, Pindaan 1996) seharusnya menjadi lunas undang-undang negara dalam mengangkat martabat bahasa kebangsaan ke landasan yang sewajarnya.

``Dalam sektor pendidikan, Program Dwibahasa (Dual Language Program – DLP), pengajaran mata pelajaran berasaskan sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), dan arahan penggunaan bahasa Inggeris dalam sesi kuliah di universiti bagi jurusan sains dan teknologi, perubatan, undang-undang serta kejuruteraan nyata merencatkan agenda menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam bidang ilmu dan pendidikan,’’ ujarnya.

Beliau berkata, ABIM menekankan perlunya fokus diberikan bagi memastikan DBP selaku pemegang amanah mempunyai lebih tanggungjawab serta peranan penguatkuasaan, dan bukan hanya ‘menegur dan menasihat’, bagi menjamin kelangsungan serta kewibawaan badan berkanun ditubuh pada 22 Jun 1956 itu. – DagangNews.com