ACCCIM meterai MoU tingkat kerjasama ekonomi bersama MIDF, MTDC | DagangNews Skip to main content

ACCCIM meterai MoU tingkat kerjasama ekonomi bersama MIDF, MTDC

.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 8 April - Associated Chinese Chambers of Commerce and Industry of Malaysia (ACCCIM) menandatangani dua memorandum persefahaman (MoU) bersama Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) dan Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) hari ini.

 

Melalui MoU berkenaan, semua pihak bersetuju membangunkan jalinan kerjasama komersial dan perindustrian dengan mengguna pakai kelebihan dan kekuatan masing-masing.

 

Kolaborasi tersebut bertujuan untuk mempromosi dan mempertingkat kerjasama dalam sektor perniagaan, perdagangan dan pelaburan.

 

Sehubungan itu, kerjasama berkenaan akan menjadi platform kepada pihak terlibat untuk bertukar maklumat dan pandangan, membangunkan perhubungan dalam ruang lingkup pertumbuhan ekonomi masing-masing serta membantu satu sama lain dalam pertemuan perniagaan, penganjuran dan penyertaan dalam pameran perdagangan.

 

Kedua-dua MoU berkenaan ditandatangani oleh Setiausaha Agung ACCCIM, Datuk Tan Tian Meng, bersama Pengarah Urusan Kumpulan MIDF, Datuk Charon Wardini Mokhzani.

 

Bagi kerjasama bersama MTDC, MoU tersebut ditandatangani oleh Ketua Eksekutif MTDC, Datuk Norhalim Yunus.

 

Majlis tersebut turut disaksikan Senator Datuk Lim Ban Hong dan Timbalan Menteri di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tan Sri Abdul Rahman Mamat.

 

Mengulas berkaitan MoU berkenaan, Pengarah Urusan Kumpulan MIDF, Datuk Charon Wardini Mokhzani memberitahu, pihaknya berbesar hati bekerjasama dengan MITI dan MTDC untuk membantu perniagaan di Malaysia. 

 

"Dengan termeterai perjanjian bersama Associated Chinese Chambers of Commerce and Industry of Malaysia (ACCCIM), kami menjangkakan peningkatan kesedaran dalam kalangan ahli gabungan berhubung kemudahan pembiayaan yang ditawarkan MIDF serta penyediaan khidmat nasihat dalam membantu mengembangkan perniagaan menerusi automasi, pendigitalan dan pemodenan," katanya.

 

Sementara itu, Pengerusi MTDC, Tan Sri Abdul Rahman Mamat berkata, menjadi harapannya MoU antara MTDC dan ACCCIM ini bakal menjadi salah satu penyumbang utama kejayaan di samping inisiatif-inisiatif lain di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) khususnya menerusi Industry 4WRD.

 

"MTDC turut komited membantu ahli ACCCIM mengguna pakai teknologi i4.0 yang dibangunkan syarikat-syarikat tempatan. 

 

"Dengan kerjasama ini, kami boleh memaklumkan kepada syarikat-syarikat tempatan bahawa kami telah bersedia mengorak langkah dalam tranformasi perindustrian baharu dengan menggunakan sumber dan bakat-bakat tempatan," tambahnya. - DagangNews.com