Skip to main content
Kolum Industri Kreatif - 19 February 2021

ADAKAH PELUANG UNTUK PLATFORM OTT TEMPATAN BERKEMBANG?

 

 

MELALUI pembacaan mengenai platform strim kandungan atau  OTT (over-the-top) sejak beberapa bulan yang lepas, terdapat beberapa fakta atau trivia yang menarik perhatian saya.

 

Satu majalah bisnes antarabangsa menjelaskan bahawa pada tahun 2018, Netflix membelanja sejumlah USD$2.4 bilion hanya bagi tujuan pemasaran - yang mana jumlah tersebut hampir menyamai bajet keseluruhan pembelian kandungan oleh HBO pada tahun sebelumnya.

 

Selain itu, dalam satu majalah bisnes tempatan pula melaporkan bahawa platform OTT dari China yang kini memasuki pasaran Malaysia iaitu iQIYI mencatatkan jumlah 104 juta pelanggan berbayar pada bulan Jun tahun lalu.

 

 

volatiliti

 

 

Ini memperlihatkan betapa besarnya pasaran platform OTT global – sekaligus betapa besarnya nilai pelaburan – dalam industri yang dikuasai para pemain besar industri global kini.

 

Dengan jumlah langganan yang besar serta perbelanjaan tinggi – pastinya mereka dapat menawarkan pilihan kandungan yang lebih menarik dan pelbagai kapada pelanggan dan penonton.

 

Melihat kepada angka-angka tersebut membuatkan saya terfikir, masih adakah ruang dan peluang untuk platform-platform OTT yang dibangunkan syarikat tempatan untuk turut sama bersaing dalam pasaran?

 

Meskipun tanpa pengumuman rasmi, telah tersebar luas bahawa satu lagi platform OTT gergasi dunia iaitu Disney+ dalam fasa akhir untuk melancarkan perkhidmatannya di Malaysia.

 

 

kreatif

 

 

Kemasukan para gergasi ini ke pasaran Asia Tenggara, termasuklah Malaysia pastinya memberikan impak dan persaingan hebat kepada beberapa penyedia khidmat OTT serantau.

 

Platform seperti iFlix antara yang terpaksa mengalah, sebelum diambil alih oleh Tencent dan dijenamakan semula sebagai WeTV.

 

Hooq dari Singapura yang pada mulanya dilabel sebagai `dibina dari Asia untuk Asia` memfailkan pembubaran syarikat di Singapura pada awal tahun 2020, meskipun penubuhannya ditunjangi oleh organisasi besar seperti Singtel, Sony Picture Television dan Warner Bros Entertainment.

 

Media Prima Berhad selaku antara organisasi media tempatan di Malaysia yang paling awal menceburi bidang OTT melalui platform Tonton - yang pada awalnya direncana mampu menjadi penyumbang kepada penjanaan pendapatan kepada syarikat - dilihat mula beralih arah dengan lebih menumpukan penjanaan melalui platform Youtube, yang dilihat lebih menguntungkan.  

 

Penjanaan pendapatan dari pengiklanan di Youtube dengan tanpa kos penyelenggaraan yang besar dilihat lebih efektif berbanding perlu bersaing dengan platform OTT berbayar gergasi yang lain.

 

Gergasi antarabangsa dengan pelaburan yang besar inilah antara cabaran yang perlu diatasi oleh platform tempatan untuk kekal dalam pasaran.

 

Namun, dalam situasi pandemik kini, kita tetap melihat optimis para pemain tempatan dalam skala yang lebih kecil untuk meneroka potensi platform ini. Maka, dari itu kita dapat menyaksikan lahir platform seperti EWayang, MyWayang, dan beberapa lagi muncul kebelakangan ini.

 

Namun, salah satu platform tempatan yang menarik perhatian saya adalah SIAR.

 

 

merrepak

 

 

SIAR adalah sebuah platform OTT yang dibangunkan sebuah syarikat pemula (start-up) tempatan yang menumpukan kepada pasaran niche; iaitu mengkhususkan kandungannya kepada filem-filem Melayu dari tahun 1970-an hingga 2000-an.

 

Malah, setelah 3 bulan beroperasi, SIAR dilaporkan telah mencapai angka 8,000 langganan; suatu pencapaian besar bagi sebuah syarikat pemula dengan pelaburan dan kos operasi yang minimum. Ini pastinya menjadi daya tarik tersendiri kepada para potensi pelabur kepada platform ini. Malah, jika kena caranya, jika trend sambutan ini konsisten, SIAR mungkin berpotensi untuk menjadi antara unicorn yang lahir dari Malaysia.

 

Banyak faktor antara yang dilihat menyumbang kepada jumlah langganan yang mereka miliki ini. Salah satunya adalah kekuatan jenama SIAR dan `pool of followers` yang telah dahulu dibangunkan melalui halaman Facebook - yang mana `pengikut yang setia` ini berpotensi untuk ditukar menjadi pelanggan.

 

Namun, saya suka melihat aspek niche yang dibawa oleh platform ini sebagai salah satu faktor keberkesanan usaha mereka sejak dari awal. Ia selari dengan kenyataan yang seringkali saya dengar  tentang hala tuju dunia media dan penyiaran masa depan iaitu; “niche is in, mass is out’.

 

Malah, strategi platform ini juga dilihat berkesan apabila ia mampu menjadi penyelesaian kepada permasalahan yang sedang dihadapi oleh pasaran.

 

 

kreatif

 

 

Sememangnya industri filem Malaysia menghadapi isu ketiadaan pusat atau platform yang mampu menjadi rujukan sehenti sekiranya mahu menonton filem-filem tempatan pada era 1960-an hingga 2000-an.

 

Ketiadaan arkib filem, serta kurangnya kesedaran kepada syarikat persendirian tempatan yang menerbitkan filem dalam fasa tersebut membuatkan kebanyakan salinan filem tempatan pada tempoh tersebut telah hilang atau rosak.

 

Keberadaan SIAR untuk mengumpul (boleh dibaca sebagai menyelamatkan) dan menjadi platform sehenti kepada filem-filem yang masih ada ini pastinya akan mendapat perhatian dan sokongan para peminat filem tempatan bagi mendapat akses menonton kembali filem-filem tersebut.

 

Kejayaan SIAR mencapai angka tersebut, dalam skala pelaburan dan operasi yang minimum membuktikan SIAR telah berjaya melepasi fasa pengesahan kepada model bisnes yang dibawa – serta peringkat pra-pengkomersialan bagi platform tersebut.

 

Kejayaan platform ini seterusnya sekarang bergantung kepada bagaimana terajunya membawa ke peringkat pengkomersialan sepenuhnya.

 

 

kreatif

 

 

Sebuah lagi platform yang menarik perhatian saya adalah MUBI – iaitu sebuah platform antarabangsa yang ditubuhkan pada tahun 2007 dengan nama The Auteurs. Berbanding syarikat platform antarabangsa yang lain lebih gah dari segi promosi – MUBI dilihat lebih bersederhana.  Namun, kejayaannya bertahan untuk tempoh yang lama ini dilihat dari aspek niche yang dibawanya – yang menumpukan kepada kandungan klasik & filem-filem seni (art house cinema). MUBI mula memasuki pasaran Malaysia pada Jun 2019.

 

Berbalik ke platform tempatan, potensi OTT di Malaysia untuk syarikat pemula seperti SIAR masih luas, memandangkan jumlah platform OTT di Malaysia masih kecil bilangannya jika dibandingkan dengan negara jiran yang lain seperti Indonesia dan Singapura. Singapura membuktikan bahawa jumlah pasaran yang kecil bukannya isu untuk platform OTT berkembang di negara mereka; memandangkannya sifat perniagaan ini yang melangkaui sempadan negara.

 

Ruang itu masih terbuka luas untuk menjadi pemain di gelanggang tempatan dan serantau (malah mungkin global). Namun, berasaskan situasi terkini, mungkin faktor niche antara yang perhatian diberikan perhatian oleh syarikat pemula tempatan dalam menarik perhatian potensi pelabur – dan pastinya potensi pelanggan untuk terus berkembang. - DagangNews.com

 

 

Ts Azharul Azmir Kamarulzaman merupakan Pengarah Urusan/ Penerbit bagi syarikat Kristal Azmir Sdn Bhd dan Pengarah Pengasas Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF).

 

 

 

 

 

 

 

 

Portfolio Tags