Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Volatiliti - 11 August 2021

Adakah rakyat perlu tunggu angka pengangguran terus meningkat?

 

 

RAKYAT Malaysia terus dihantui kerisauan yang melanda. Adakah kita akan selamat? Adakah kita akan dijangkiti COVID-19? Bila nak boleh bekerja semula? Semua ini hampir menjadi trauma kebanyakan rakyat Malaysia.

 

Ini adalah berikut kes COVID-19 yang masih gagal diratakan, bilangan kematian yang semakin meningkat dan proses pemulihan ekonomi yang seakan-akan terencat.

 

Bukan untuk menidakkan usaha dan komitmen kerajaan dalam mengimbangi komponen kesihatan dan ekonomi, namun “pelangi yang dinantikan rakyat selepas hujan masih belum muncul-muncul”.

 

Perangkaan terkini Statistik Tenaga Buruh oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah pengangguran di Malaysia meningkat kepada 768,700 orang atau pada kadar 1.8%.

 

Keadaan ini didorong oleh PKP 3.0 yang menyebab lebih banyak sektor ekonomi terjejas dan membawa kesan kepada pengangguran yang semakin meningkat. 

 

Menurut Ketua Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzair Mahidin, bilangan penduduk pekerja yang tidak bekerja buat sementara waktu juga meningkat daripada 661,400 kepada 801,100.

 

Kesan pengangguran kepada ekonomi Malaysia

Keadaan ini merupakan satu petanda yang yang buruk kepada masa depan ekonomi negara.

 

Ia akan menjadi self-fullfiling prophecy kerana apabila rakyat merasakan prospek kekal kabur, mereka akan berhati-hati untuk berbelanja sekaligus membawa kepada kelembapan ekonomi yang berpanjangan.

 

 

volatiliti
PUSAT beli-belah kosong tanpa penjual dan pelanggan berikutan PKP akibat pandemik COVID-19 yang melanda negara.

 

Akibat COVID-19, banyak pernigaan yang “gulung tikar” dan situasi ini sebenarnya memberi impak kepada proses pemulihan ekonomi kelak.

 

Jika mana COVID-19 dapat dikawal sekali pun kelak (harapnya berjaya), ia akan mengambil masa yang lama untuk merancakkan semula aktiviti ekonomi kerana perniagaan yang telah “gulung tikar” ini perlu bermula dari “kosong” semula dan memakan masa untuk menyokong pasaran pekerjaaan secara optimum.

 

Hal ini yang mungkin kerajaan hari ini terlepas pandang. Ia bukan satu”magik”, hari ini COVID-19 turun, esok sektor ekonomi dibuka seperti biasa, pasaran buruh kembali normal. Tidak! Ia bukan begitu dan ia pasti memakan masa untuk memulihkan pasaran pekerjaan di Malaysia.

 

Belajar dari sejarah

Kita lihat apa yang berlaku kepada Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2008/2009 semasa Kegawatan Ekonomi Global, yang menyaksikan kadar pengangguran melonjak tinggi.

 

 

volatiliti
SEORANG pedagang mengurut mata semasa Wall Street merudum ketika krisis ekonomi Amerika Syarikat pada 2008.

 

Walaupun pemulihan ekonomi telah lama berlaku selepas itu,  kes pemulihan tanpa pekerjaan berlaku dalam pasaran pekerja di AS iaitu pemulihan ketara dalam pengeluaran di AS berikutan krisis itu diiringi dengan pemulihan guna tenaga yang lemah.

 

Pemulihan tanpa pekerjaan merupakan sesuatu situasi pemulihan ekonomi yang berlaku tanpa peningkatan yang setara dalam guna tenaga.

 

Keadaan ini berlaku apabila pertumbuhan guna tenaga nyata ketinggalan jauh di belakang pengeluaran, selepas ekonomi mengalami kemelesetan

 

Bagi Malaysia pula semasa Krisis Kewangan Asia kadar pengangguran naik sedikit kepada 3.2% pada 1998 yang mana tahun sebelumnya 1997 sebanyak 2.4%s tetapi paras guna tenaga tidak mengalami penurunan yang ketara.

 

  • 1997 : 8.57 juta
  • 1998 : 8.60 juta
  • 1999 : 8.84 juta

 

Sejarah lalu menunjukkan pasaran pekerja di Malaysia mencatatkan perkembangan yang sama iaitu jumlah pekerjaan tidak merosot dengan ketara berbanding paras sebelum krisis, manakala kadar pengangguran secara relatif pulih dengan cepat apabila keadaan pasaran pekerja meningkat dengan pantas seiring pertumbuhan yang kukuh.

 

Kini, krisis kesihatan semasa telah menimbulkan kebimbangan mengenai prospek pemulihan pengangguran di Malaysia kerana Malaysia tidak pernah mengalami fonemena seperti hari ini sebelum ini.

 

Adakah masih ada jalan keluar?

Setelah lebih 10 minggu PKP 3.0 kita laksanakan, hanya beberapa negeri sahaja di Malaysia telah beralih ke Fasa 2 melalui Pelan Pemulihan Negara. Negeri-negeri utama di Malaysia masih kekal berada pada Fasa 1 dengan jumlah kes jangkitan COVID-19 dan kematian masih berada pada tahap yang tinggi.

 

Melihat kepada situasi semasa, adakah Malaysia masih ada jalan keluar? Walaupun ramai yang tidak yakin bahawa Malaysia mampu keluar dari kemelut ini dalam jangka masa terdekat kerana Pelan Pemulihan Negara hanya memfokuskan tentang apa yang hendak dicapai daripada bagaiama ia hendak dicapai.

 

PPN

 

Persoalan apa dan bagaimana adalah dua persoalan yang berbeza. Persoalan bagaimana Pelan Pemulihan Negara ini hendak dicapai tidak diperincikan oleh kerajaan yang menjadi kegusaran rakyat ketika ini.

 

Kerajaan meletakkan vaksinasi sebagai satu laluan Malaysia untuk keluar dari kemelut ini. Namun persoalannya, proses vaksinasi ini mengambil tempoh masa untuk dilaksanakan dan juga bagi Malaysia mencapai tahap imunisasi berkelompok.

 

Dalam masa yang sama, kemunculan varian Delta yang dikatakan lebih ganas dan cepat merebak ini sedikit sebanyak akan melambatkan proses imunisasi berkelompok yang diharapkan oleh kerajaan dan ianya sekali gus akan  merencatkan proses pemulihan ekonomi.

 

Lihat sahaja Singapura, yang mana telah merangka pelbagai pelan pemulihan untuk hidup bersama virus ini.  Kehidupan dan model perniagaan juga telah diubah dengan menjangkakan krisis ini akan berlarutan.

 

Kaki terpijak paku diberi paracetamol

Kerajaan pentadbiran Tan Sri Muhyiddin hari ini terus komited untuk membantu rakyat yang terjejas terutamanya yang hilang sumber pendapatan ini.

 

Tiga bantuan utama yang melibatkan implikasi kewangan daripada pihak kerajaan adalah Bantuan Khas COVID-19, Program Subsidi Upah 4.0 dan juga Geran Khas Prihatin 4.0 melalui pelbagai pakej rangsangan ekonomi seperti PRIHATIN, PENJANA, PERMAI, PEMERKASA dan PEMULIH telah diberikan kepada rakyat.

 

Ketiga-tiga bantuan ini meliputi hampir keseluruhan suntikan fiskal kerajaan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM9.4 bilion.

 

Sokongan dasar yang berterusan adalah penting untuk mengelakkan kerosakan yang berpanjangan kepada ekonomi dan pasaran pekerja di Malaysia.

 

Namun persoalannya, semua bantuan ini adalah bersifat sementara sahaja. Ia ibarat kaki yang terkena paku, tapi doktor memberi paracetamol sahaja. Masalah utama, luka terkena paku dan kesan jangkitan masih tidak dirawat. Antibiotik tidak diberikan. Adakah luka itu akan sembuh? Adakah jangkitan kuman dapat dikawal?

 

volatiliti

Skim pendapatan tersasar

Malaysia terdapat dua skim bantuan pengangguran di Malaysia.

 

  1. Peraturan Kerja (Faedah- faedah Penamatan dan Rentikerja Sentara) 1980 di bawah Akta Kerja (1955). Skim ini mempertanggungjawabkan majikan untuk membayar pampasan kepada pekerjanya yang dibuang kerja berdasarkan jangka masa perkhidmatan mereka  bagi pekerja yang berkhidmat lebih daripada 5 tahun harus diberi pampasan bersamaan dengan upah 20 hari untuk setiap tahun perkhidmatan, sementara pekerja yang berkhidmat kurang daripada 2 tahun hanya layak mendapat gaji 10 hari setara setiap tahun perkhidmatan mengikut undang-undang ini.
     
  2. Skim bantuan pengangguran; Sistem Insurans Pekerjaan yang diuruskan oleh PERKESO. Skim ini memberikan 80%  upah untuk bulan pertama setelah pemberhentian kerja, dikurangkan sehingga 30% upah untuk bulan ke-5 dan ke-6 dan kemudiannya diberhentikan.

 

Adalah kedua-dua skim ini mampu melindungi rakyat yang diberhentikan kerja?

Hakikatnya, kedua-dua skim ini tidak mencukupi untuk melindungi pekerja yang menghadapi prospek pengangguran selama 12 hingga 24 bulan ini.

 

Skim ini juga hanya melindungi pekerja dalam sektor formal sahaja. Bagaimana nasib pekerja dalam sektor tidak formal yang dibayar gaji harian seperti mereka yang bekerja di restoran, tapak pembinaan, sebagai pekerja kontrak yang memunggah barang, penoreh getah kontrak, pembantu dalam perniagaan kecil dan juga gerai-gerai.

 

Bagaimana golongan ini mampu bertahan hatta untuk memperoleh keperluan asas seperti makanan dan minuman pun mereka tidak mampu. Kerana inilah  adanya Kempen Kibar Bendera Putih, Kempen Bakul Makanan, Food Bank dan lain-lain lagi bagi membantu golongan ini untuk mendapatkan keperluan asas.

 

Kerajaan seharusnya bertindak segera bagi melihat semula skim sedia ada dan boleh melaksanakan Skim Pendapatan Tersasar yang mana skim ini dengan memastikan semua rakyat Malaysia mendapat pendapatan yang mencukupi untuk mendapatkan keperluan asas seperti makanan dan minuman. 

 

Skim Pendapatan Tersasar ini juga perlu mengambil kira sehingga golongan ini boleh mendapatkan pekerjaan baharu semula atau pun memulakan perniagaan semula dan hasil dari gaji atau untung perniagaan yang dijalankan cukup bagi mereka untuk mendapatkan keperluan asas mereka.

 

 

volatiliti

 

 

Kerajaan perlu bertindak dan memberi jaminan

Keperluan asas adalah sesuatu yang sangat asas yang sebagai manusia kita memerlukan untuk hidup.

 

Tindakan segera dan sokongan dasar yang berterusan adalah penting untuk mengelakkan kerosakan yang berpanjangan kepada ekonomi dan pasaran di Malaysia. Menilai kepada situasi semasa adakah ia boleh atau mustahil untuk dilaksanakan? - DagangNews.com

 

 

SYAMSYUL SAMSUDIN adalah pensyarah kanan dan pelabur tegar di Bursa Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam menganalisis kewangan syarikat dan juga banyak menulis di akhbar-akhbar utama di Malaysia berkaitan pelaburan, kewangan dan ekonomi. Kini merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI

 

 

 

Portfolio Tags