AEON diiktiraf jenama terbaik World Branding Awards dua tahun berturut-turut | DagangNews Skip to main content

AEON diiktiraf jenama terbaik World Branding Awards dua tahun berturut-turut

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 20 Jan - AEON CO. (M) BHD. (AEON) dinobatkan pemenang Anugerah Jenama Terbaik 2021/2022 untuk Kategori Peruncit-Pusat Beli Belah daripada World Branding Awards untuk dua tahun berturut-turut.

 

AEON dicalonkan bersama-sama lebih 500 jenama lain daripada lebih 60 buah negara di seluruh dunia, termasuk para pemenang di peringkat kebangsaan untuk pelbagai kategori dari Australia, Perancis, Hong Kong, Itali, Thailand, Indonesia, Filipina dan Singapura.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif AEON, Shafie Shamsuddin berkata, pelanggan sentiasa menjadi keutamaan dan menerima setiap cabaran dengan penuh rasa semangat dan tabah bersama sokongan penuh pihak pemegang taruh. 

 

Jelasnya, pihaknya terus berusaha memberikan terbaik bagi memenuhi keperluan pelanggan bagi pengalaman membeli-belah yang menceriakan secara dalam talian dan luar talian dalam persekitaran selamat sambil menyesuaikan diri dengan norma baharu.

 

“AEON mendedikasikan pencapaian ini kepada pekerja yang dikenali sebagai AEON Warriors atas segala kerja keras dan komitmen mereka, serta rakan perniagaan dan pelanggan menerusi sokongan dan kesetiaan mereka yang berterusan. 

 

 

aeon

 

 

"Pengiktirafan ini sudah pasti mendorong kami untuk terus mencabar keupayaan serta mempertingkatkan ekosistem runcit dengan mengintegrasikan elemen teknologi, kemampanan dan tenaga kerja,” tambahnya," katanya dalam kenyataan.

 

Lebih 1.3 juta undian pengguna diterima sejak bermula program anugerah itu dan untuk edisi ke-14, lebih 345,000 pengguna menyertai proses pencalonan di seluruh dunia. 

 

Secara purata, hanya terdapat tujuh jenama sebagai pemenang di setiap negara, membuktikan bahawa memenangi World Branding Awards sememangnya satu pencapaian yang gemilang. 

 

Pemenang dinilai secara unik melalui tiga aliran, termasuk penilaian jenama, penyelidikan pasaran pengguna dan pengundian dalam talian awam.

 

Pengumuman semua pemenang anugerah World Branding Awards 2021/2022 dibuat pada penghujung tahun lalu secara dalam talian pertamanya dari Istana Kensington, London di United Kingdom.  - DagangNews.com