AEON Malaysia-Malakoff Radiance muktamad perjanjian tenaga | DagangNews Skip to main content

AEON Malaysia-Malakoff Radiance muktamad perjanjian tenaga

Majlis memeterai Perjanjian Pembelian Tenaga Solar antara AEON Co. (M) Bhd. (AEON Malaysia) dan Malakoff Radiance Sdn. Bhd. yang diadakan 14 April lalu.

 

 

KUALA LUMPUR 5 Mei - AEON Co. (M) Bhd. (AEON Malaysia) dan Malakoff Radiance Sdn. Bhd. memeterai Perjanjian Pembelian Tenaga Solar (SPPA) bagi membangunkan dan menggunakan sistem tenaga solar di AEON Taman Maluri. 

 

Menerusi perjanjian itu, Malakoff Radiance akan membangunkan, mengendalikan dan menyelenggara kemudahan solar photovoltaic (PV) di pusat beli-belah tersebut. 

 

Panel solar itu akan menjana hampir 2,797 MWh, dan menyumbang antara 13% hingga 15% penggunaan tenaga. 

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif AEON Malaysia, Shafie Shamsuddin berkata, sebagai antara pengendali pusat beli-belah terbesar di Malaysia, mereka mempunyai lebih 40 hartanah di seluruh negara yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai hab tenaga solar bagi komuniti setempat. 

 

"Ini adalah peranan kami untuk mencipta semula pelaburan ke arah kelestarian dan menyumbang kembali kepada planet dan masyarakat," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Majlis memeterai perjanjian itu diadakan 14 April lalu di AEON Taman Maluri yang menyaksikan Shafie bertukar-tukar dokomen dengan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Malakoff Corporation Bhd., Anwar Syahrin Abdul Ajib.

 

Malakoff Radiance, diperbadankan sebagai entiti tujuan khas untuk menjalankan perniagaan mengembangkan, membiayai, membangun, mengendalikan dan menyelenggara projek solar PV di atas bumbung untuk Malakoff Corporation.

 

Kemudahan solar itu akan dipasang di bawah kontrak Build-Operate-Transfer (BOT) bagi tempoh 20 tahun.

 

Selain AEON Taman Maluri, ia dijangka dipasang tahun ini di AEON Alpha Angle dan AEON Melaka.

 

Sementara itu, Anwar Syahrin yakin usaha kerjasama ini dapat membantu kedua-dua pihak meneroka peluang baharu dalam pertumbuhan tenaga diperbaharui (RE).

 

Katanya, RE dijangka menyumbang 31% daripada campuran penjanaan elektrik negara pada 2025. 

 

"Dengan perubahan drastik landskap ekonomi dan industri akibat pandemik COVID-19 dan impak perubahan cuaca, kami komited untuk menangani cabaran ini dan beralih ke arah tenaga bersih masa depan dengan membangunkan aset RE sebagai solar di atas bumbung bagi menggalakkan persekitaran yang lestari dan memacu kecekapan tenaga," katanya. - DagangNews.com