Aerodyne ambil alih pegangan Synapse, kukuhkan penguasaan dalam AI & analisis data  | DagangNews Skip to main content

Aerodyne ambil alih pegangan Synapse, kukuhkan penguasaan dalam AI & analisis data 

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
nabila@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 5 Jan -  Aerodyne Group (Aerodyne) memeterai perjanjian pengambilalihan pegangan penting dalam Synapse Innovation Sdn Bhd (Synapse) untuk mengukuhkan lagi penguasaannya dalam kecerdasan buatan (AI), analisis data serta sokongan teknologi bagi operasi antarabangsa di 35 negara.

 

Penyedia penyelesaian teknologi dron, data dan transformasi digital (DT3) berpangkalan di Malaysia itu berkata, kedua-dua syarikat akan membangunkan platform data dron generasi akan datang yang turut disertakan dengan penyelesaian dron autonomi pintar. 

 

"Ketua Pegawai Eksekutif Synapse, Afnizanfaizal Abdullah yang juga saintis AI dikenali di Malaysia, akan terus menerajui syarikat itu dan kekal sebagai pemegang saham dalam perniagaan terbabit," kata kedua-dua syarikat terbabit dalam kenyataan bersama.

 

Synapse merupakan sebuah syarikat AI dan analisis data yang menumpukan aspek reka bentuk dan pembangunan algoritma pembelajaran mesin bagi perkhidmatan analisis unjuran berteraskan pengkomputeran awan untuk pelbagai sektor termasuk pertanian, infrastruktur serta minyak dan gas. 

 

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Aerodyne, Kamarul Muhamed pula menyifatkan pelaburan dalam Synapse sebagai yang pertama daripada beberapa siri penggabungan dan pengambilalihan masa akan datang yang menjadi tumpuan syarikat untuk memantapkan lagi teras kedua teknologi data. 

 

"Synapse amat bertepatan dengan visi itu dan mempunyai kepakaran yang dapat menyumbang ke arah agenda ini. Aerodyne Group juga menyasarkan untuk mempercepat rancangan pertumbuhan Synapse secara meluas di bawah agenda pembinaan ekosistem teknologi bagi memacu teknologi Malaysia," katanya.

 

Aerodyne merupakan penyedia penyelesaian perusahaan berasaskan dron DT3 dan perintis dalam penggunaan kecerdasan buatan sebagai pemboleh teknologi bagi data berskala besar operasi, analitik dan pengoptimuman proses.

 

Syarikat itu menggaji lebih 400 profesional dron untuk beroperasi pada tahap yang tidak pernah berlaku sebelum ini dalam sektor perkhidmatan UAS,  menguruskan lebih daripada 350,000 aset infrastruktur dengan 110,000 operasi penerbangan dan meninjau lebih 120,000 km infrastruktur kuasa merentasi 35 negara di seluruh dunia.

 

Aerodyne menduduki tempat kedua di dunia Drone Industry Insights (DII) dalam 'Penyedia Perkhidmatan Drone Ranking 2020'; dinamakan 'Syarikat Perkhidmatan UAV Asia Pasifik 2019' Frost & Sullivan.

 

Syarikat itu juga merupakan penerima 'Anugerah Emas Kecemerlangan Industri 2019' Institut Kejuruteraan dan Teknologi (IET) Malaysia. -DagangNews.com