Affin Bank jalin kerjasama dengan HCL Technologies dan Google Cloud perkasa pengurusan data | DagangNews Skip to main content

Affin Bank jalin kerjasama dengan HCL Technologies dan Google Cloud perkasa pengurusan data

Pelaburan ini adalah sebahagian daripada RM316 juta melibatkan Teknologi Maklumat bagi 2022.

KUALA LUMPUR 5 April – Affin Bank Berhad melantik HCL Technologies Malaysia Sdn. Bhd dan akan memanfaatkan Google Cloud bagi memperkasakan rangka kerja pengurusan data serta melaksanakan proses pembuatan keputusan berdasarkan data di segenap aspek operasi mereka, sekaligus memacu pelaksanaan pelan metamorfosis bank tersebut serta membuka lembaran baharu untuk pertumbuhan di masa hadapan.

 

Menerusi pelaburan ini – yang merupakan sebahagian daripada RM316 juta yang telah diperuntukkan oleh bank ini untuk tahun 2022 bagi tujuan perbelanjaan modal melibatkan Teknologi Maklumat – platform data yang digunakan mereka akan diintegrasikan dengan platform awan awam Google Cloud yang selamat dan berskala, serta dilengkapi dengan keupayaan Kecerdasan Buatan (AI) dan Pembelajaran Mesin.

 

Pengintegrasian ini akan menambahbaik proses pemarkahan kredit dan pemprofilan pelanggan AFFIN BANK, di samping membolehkan aliran kerja dilaksanakan secara automatik sekaligus mengurangkan jurang masa bagi menilai serta memproses pembukaan akaun bank atau permohonan pinjaman daripada para pelanggan.

 

Ini dilaksanakan dengan menyatukan sumber data sedia ada bank tersebut, di samping turut menggunakan proses penyulitan terbaik yang dibangunkan Google Cloud, bagi tujuan perlindungan data dan kawalan akses.

 

Presiden & CEO Kumpulan Affin Bank Berhad, Datuk Wan Razly Abdullah Wan Ali berkata, pihaknya sedang mempersiapkan Affin Bank bagi masa hadapan dengan memanfaatkan teknologi berasaskan awan yang maju serta strategi yang dipacu oleh data bagi menambahbaik proses pembuatan keputusan dan meningkatkan sinergi merentasi operasi bank.

Datuk Wan Razly Abdullah Wan Ali
                     Datuk Wan Razly Abdullah Wan Ali

 


''Kolaborasi bersama HCL Technologies dan Google Cloud ini merupakan manifestasi pendekatan progresif dan inovatif kami yang akan meletakkan AFFIN BANK dalam kedudukan yang lebih kukuh untuk menjadi lebih berdaya tahan tatkala menerokai era digital yang pesat berkembang, terus beroperasi secara mampan dan sentiasa memberikan usaha terbaik kepada para pelanggan,” kata Wan Razly dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Beliau berkata, proses pengintegrasian data ini akan dilaksanakan dalam beberapa fasa pembangunan dan dijangka akan disiapkan serta beroperasi sepenuhnya menjelang akhir tahun 2023.

 

''Ini merupakan komponen penting dalam usaha pemodenan infrastruktur data kami di bawah Pelan A25 bagi menjadikan Affin Bank kalis masa hadapan dalam mendepani lanskap industri yang berubah dengan pantas, selari dengan misi kami untuk menyediakan kepimpinan digital dan perkhidmatan pelanggan yang tidak dapat disaingi,” ujar beliau.

 

Pelan A25 Affin Bank merupakan kesinambungan kepada Program Transformasi “Affinity in Motion (AIM22)” yang akan berakhir pada 2022. Antara objektif utama Pelan A25 bank tersebut adalah meningkatkan keuntungan dan merancakkan pertumbuhan, menyediakan perbankan berasaskan nilai kepada pelanggan serta melonjak ke arah menyediakan perkhidmatan pelanggan yang tidak dapat disaingi menjelang 2025.


 

sherie Ng
                                          Sherie Ng

 


Pengarah Google Cloud bagi Singapura dan Malaysia, Sherie Ng berkata, dengan memanfaatkan keupayaan Google Cloud dalam data, keselamatan, infrastruktur, Kecerdasan Buatan dan Pembelanjaran Mesin, Affin Bank akan dapat mempercepatkan penyampaian produk, perkhidmatan serta pengalaman pelanggan yang menarik, dan paling penting, mengukuhkan kesejahteraan dan rangkuman kewangan rakyat serta syarikat perniagaan. – DagangNews.com