Ageson meterai perjanjian dengan konglomerat China bagi pembelian tanah di Perak bernilai RM278 juta | DagangNews Skip to main content

Ageson meterai perjanjian dengan konglomerat China bagi pembelian tanah di Perak bernilai RM278 juta

Pengarah Eksekutif Ageson Bhd., Datuk Seri Chin Kok Foon (kiri) bersama Pengarah Eksekutif Ageson, Datuk Seri Liew Kok Leon di ibu pejabat Ageson.
 

 

 

KUALA LUMPUR 21 Okt. - Ageson Holdings Sdn. Bhd., (AHSB) anak syarikat 75% pegangan Ageson Bhd. memeterai perjanjian jual dan pembangunan dengan ZheJiang GuoRong Digital Economy Group Ltd. bagi pembelian sebidang tanah di Batang Padang, Perak bernilai hampir RM278 juta. 

 

ZheJiang adalah konglomerat yang berpangkalan di Hangzhou, Zhejiang di China.

 

Tanah berkeluasan 168 ekar itu adalah sebahagian daripada pembangunan bercampur seluas 475 ekar yang mana AHSB memiliki hak pembangunan eksklusif dengan Menteri Besar Incorporated (Perak) (MBI Perak), menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini. 

 

Pembangunan bercampur itu terdiri daripada agensi kerajaan dan unit pentadbiran, pembangunan perindustrian, komersial dan kediaman yang mempunyai nilai pembangunan kasar sebanyak RM1.24 bilion.

 

Di bawah perjanjian itu, AHSB akan menjalankan dan menyiapkan kerja-kerja infrastruktur dan pembinaan selaras dengan spesifikasi dan keperluan yang ditetapkan ZheJiang. 

 

Sementara itu, ZheJiang pula akan memberi AHSB hak pertama untuk melantik AHSB sebagai pemaju untuk membangunkan lot perindustrian beserta bangunan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Ageson, Datuk Seri Chin Kok Foong berkata, perjanjian itu akan mewujudkan peluang sinergi dan memberi kelebihan kepada kedua-dua pihak bagi memanfaatkan kekuatan, pengalaman dan kepakaran masing-masing dalam pembinaan termasuk operasi dan lot perindustrian.

 

"Dengan mengambil kira rekod ZheJiang yang baik menerusi projek perindustrian di China seperti Ocean Science City of ZhouShan, Feng Xian Nan Qiao Economic Park, Huang Shan Shuang Ling Digital Economic Park dan Wen Cheng Da Xue Economic Park, ia adalah sejajar dengan misi Ageson untuk memperkenalkan model baharu Taman Perindustrian," katanya dalam kenyataan.

 

Setelah perjanjian jual beli (SPA) ini dilaksanakan, perjanjian jual dan pembangunan akan menyediakan dana diperlukan kepada AHSB untuk membiayai kos bagi kerja-kerja pembinaan menerusi pembayaran kemajuan daripada jualan lot perindustrian kepada ZheJiang. 

 

Ini membolehkan AHSB memulakan kerja-kerja pembinaan apabila ia memperoleh kelulusan dengan segera.

 

Perjanjian jual tanah dan hak pembangunan itu menyediakan kumpulan dengan hak pembangunan melibatkan kawasan seluas 475 ekar selain membolehkan Ageson memelihara tunai dan menyalurkannya kepada operasi harian dan meneroka pelbagai peluang perniagaan.

 

Cadangan pembangunan hampir RM278 juta ini dijangka bermula apabila syarikat memperoleh kelulusan pembangunan, justerum mampu meningkatkan keseluruhan nilai hartanah dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat. - DagangNews.com