Agong berkenan kurnia kediaman kepada golongan B40 | DagangNews Skip to main content

Agong berkenan kurnia kediaman kepada golongan B40

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (paling kanan) berkenan mengurniakan kediaman kepada Mak Kum Khuan, seorang daripada 54 penerima Projek Baiti Jannati (PBJ) dan Projek Mesra Rakyat (PMR) peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

 

Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com

 

SHAH ALAM 14 Sept. - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan kediaman kepada 54 penerima Projek Baiti Jannati (PBJ) dan Projek Mesra Rakyat (PMR) anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 10 September lalu.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan mencemar duli berangkat ke majlis yang diadakan di PPR Kampung Muhibbah, di sini.

Di sebalik persekitaran ekonomi dan perniagaan yang agak mencabar ekoran penularan COVID-19, TNB komited untuk meringankan beban 50 penerima PBJ dan empat penerima PMR di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Menurut kenyataan media TNB, kesemua mereka dipilih untuk program tersebut melalui kerjasama strategik TNB dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Sejak dimulakan pada 2013, PMR memberi manfaat kediaman kepada 30 keluarga di Wilayah Persekutuan dengan kos RM1.26 juta manakala PBJ membantu 228 keluarga memiliki kediaman selesa sejak dimulakan pada 2014 dengan kos lebih RM8.96 juta.

Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kedua-dua projek ini adalah komponen penting dalam program Tanggungjawab Korporat TNB sebagai Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang prihatin dan peka terhadap masyarakat setempat.

“Ia juga sejajar dengan usaha kerajaan untuk menyediakan dan membaiki kediaman golongan yang memerlukan agar mereka dapat menjalani kehidupan yang lebih selesa,” katanya.

Pelaksanaan PBJ merangkumi usaha membaiki, membeli atau membina kediaman penerima beragama Islam yang terdiri daripada golongan B40 dan asnaf terpilih meliputi ibu tunggal, warga emas dan golongan miskin dengan nilai sumbangan RM50,000 setiap penerima.

Dana projek diperoleh daripada wang zakat perniagaan tahunan TNB yang dikembalikan MAIWP.

Program PMR pula dilaksanakan dengan sasaran penerima B40 yang merangkumi golongan miskin, orang kurang upaya, ibu tunggal dan warga emas yang bukan beragama Islam. Mereka turut menerima bantuan bernilai RM50,000 hasil sumbangan TNB.

“Kerjasama strategik dengan DBKL dan MAIWP bagi program PBJ bermula sejak 2016 dan ia unik kerana usaha ini membantu membiayai pembelian unit-unit rumah yang disewa oleh penerima di Projek Perumahan Rakyat (PPR) milik DBKL,” jelas Mahdzir.

“Diharapkan para penerima gembira dengan kediaman masing-masing dan dapat menjalani kehidupan yang lebih selesa bersama-sama keluarga, sesuai dengan hasrat TNB untuk menyinari kehidupan rakyat.” - DagangNews.com
 

tnb
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (paling kanan) berkenan mengurniakan kediaman kepada Jumat Aris, seorang daripada 54 penerima Projek Baiti Jannati (PBJ) dan Projek Mesra Rakyat (PMR) peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. 
 
TNB
Sebahagian daripada 54 penerima Projek Baiti Jannati (PBJ) dan Projek Mesra Rakyat (PMR) peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bergambar kenangan bersama Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid (barisan belakang, tengah, berbaju batik ungu); Presiden dan CEO TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (tiga kanan); CEO Yayasan Wilayah Persekutuan, Zaizalnizam Zainun (barisan belakang, tiga kiri); Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman (paling kanan) dan Ketua Komunikasi Korporat TNB, Datuk Baderul Sham Saad (paling kiri).