Agong nasihat Ahli-ahli Parlimen sokong Bajet 2021 | DagangNews Skip to main content

Agong nasihat Ahli-ahli Parlimen sokong Bajet 2021

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Okt. – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihati Ahli-­ahli Parlimen untuk memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021 demi kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat serta pemulihan ekonomi negara yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19.

Baginda menegaskan Belanjawan 2021 amat penting buat kerajaan dan pihak-pihak berkuasa, khususnya para petugas barisan hadapan untuk meneruskan dan melancarkan dasar serta usaha-usaha membendung dan menangani ancaman wabak itu daripada terus merebak.

Sehubungan itu, Sultan Abdullah menyeru Ahli-ahli Parlimen menghormati titah nasihat baginda supaya menghentikan segera perbalahan politik dan sebaliknya mengutamakan kebajikan rakyat serta kesejahteraan negara agar Belanjawan 2021 diluluskan tanpa sebarang gangguan.

“Seri Paduka Baginda mengingatkan Ahli-ahli Dewan Rakyat bahawa sengketa politik untuk kepentingan peribadi masing-masing akan merugikan negara dan seluruh rakyat akan menjadi mangsa ketika negara masih lagi bergelut menghadapi ancaman wabak COVID-19 ini.

“Sultan Abdullah bertitah demikian selepas menerima menghadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mesyuarat Pra Kabinet di Istana Negara, hari ini,” kata kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin.

Mesyuarat Pra Kabinet merupakan aktiviti mingguan atau rutin utama Sultan Abdullah untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama Perdana Menteri berkenaan urusan dan isu-isu berkaitan kerajaan.

Dalam sesi menghadap yang berlangsung lebih satu jam sejak 8.00 pagi tadi, Sultan Abdullah telah berkenan menerima taklimat ringkas berkenaan Belanjawan 2021 yang akan dibentang di Parlimen pada 6 November 2020.

Baginda menzahirkan harapan agar Belanjawan 2021 itu memberi penekanan kepada pemulihan ekonomi negara dan kesejahteraan serta kelangsungan hidup rakyat yang terkesan akibat penularan COVID-19.

“Sultan Abdullah turut menzahirkan keyakinan penuh kemampuan Muhyiddin untuk menerajui kepimpinan negara pada saat negara sedang diuji dengan pelbagai krisis ini,” tambah kenyataan itu. – DagangNews.com