Skip to main content

Agong perkenan Malaysia isytihar darurat hingga 1 Ogos

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 12 Jan. - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin AI-Mustafa Billah Shah lbni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustaln Billah perkenan untuk negara melaksanakan Pengisytiharan Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

 

Baginda perkenan untuk tempoh darurat itu dilaksanakan sehingga 1 Ogos 2021 atau suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

 

Baginda berpandangan bahawa penularan wabak COVID-19 di negara ini berada di tahap yang amat kritikal dan pengisytiharan Proklamasi Darurat itu sebagai langkah proaktif untuk membendung dan melandaikan kes positif COVID-19 harian yang telah mencecah empat angka secara berterusan sejak bulan Disember lalu.

 

Dalam sebuah kenyataan oleh Istana Negara, perkenan itu dibuat selepas rnemperhalusi penjelasan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan sembah takIlmat daripada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali; Peguam Negara, Tan Sri ldrus Harun; Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang; Ketua Polls Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Abdul Ghani Salleh.

 

Perlu dimaklumkan bahawa perkenan ini juga telah mengambil kira rundingan Seri Paduka Baginda dengan Raja-Raja Melayu.

 

“Perkenan ini turut mengambil kira keselamatan diri rakyat dan kepentingan negara. lanya juga berdasarkan statistik semasa COVID-19, khususnya kekangan kemudahan-kemudahan logistik mengikut negeri-negeri yang telah dipersembahkan semasa sesi taklimat tersebut,” jelas kenyataan itu.

 

Semalam, Yang di-Pertuan Agong perkenan menerima menghadap Muhyiddin di Istana Negara, di mana pada sesi menghadap yang berlangsung selama 45 minit bermula pada jam 5.30 petang semalam, beliau telah menyembah maklum keputusan Mesyuarat Jemaah Kabinet berkenaan cadangan pelaksanaan Pengisytiharan Proklamasi Darurat.

 

Susulan itu, Muhyiddin dijangka membuat pengumuman khas darurat pada 11 pagi ini.

 

Dalam pada itu, Sultan Abdullah turut berkenan terhadap cadangan kerajaan bagi pembentukan satu Jawatankuasa Bebas yang akan dianggtai oleh Ahli-Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkaitan.

 

“Jawatankuasa Bebas ini akan mengesyorkan kepada Seri Paduka Baginda sekiranya pelaksanaan darurat ini dapat ditamatkan lebih awal. Perlu ditegaskan di sini bahawa Seri Paduka Baginda amat prihatin terhadap keselamatan diri rakyat jelata, khususnya pada ketika ini rakyat di beberapa negeri masih mengharungi bencana banjir.

 

“Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa kegusaran terhadap kesan bencana banjir dan kenaikan mendadak angka jangkitan COVID-19 di negara ini. Sekiranya tidak dibendung dan dikawal dengan berkesan, maka ia akan memudaratkan kesihatan rakyat dan kesejahteraan negara.

 

“Sehubungan dengan itu, Sultan Abdullah menasihati rakyat supaya bertenang, tabah dan cekal menghadapi pelaksanaan darurat ini dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) demi keselamatan dan kepentingan bersama,” tambah kenyataan itu.

 

Baginda menzahirkan keyakinan bahawa dengan semangat jitu dan kerjasama rakyat jelata seperti yang telah dipamerkan semasa pelaksanaan PKP pada tahun lalu, negara mampu sekali lagi membendung penularan wabak COVID-19 dengan berkesan.

 

Pada Oktober 2020, Muhyiddin pernah mengadap Sultan Abdullah bagi mendapatkan perkenan baginda untuk mengisytiharkan 'darurat pentadbiran’ selama enam bulan sebelum diadakan pilihan raya. 

 

Pengisytiharan darurat itu dikatakan bertujuan menyekat sebarang usaha untuk mengganggu gugat pentadbiran ketika itu setelah Muhyiddin menerima desakan dari luar dan dalam.

 

Bagaimanapun, dua hari selepas itu, Yang di-Pertuan Agong bertitah tiada keperluan untuk darurat diisytiharkan di negara ini.

 

Baginda merasakan kerajaan sekarang telah berjaya menangani wabak COVID-19 ini dengan baik dan berkesan serta amat mempercayai keupayaan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung gejala wabak COVID-19 ini daripada merebak. – DagangNews.com