Ahmad Fuaad Kenali dilantik Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW | DagangNews Skip to main content

Ahmad Fuaad Kenali dilantik Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW

Ahmad Fuaad Kenali

Ahmad Fuaad Kenali

 

KUALA LUMPUR 9 Okt. - Datuk Ahmad Fuaad Kenali dilantik sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (PGCEO) UMW Holdings Bhd. berkuat kuasa pada 1 November 2020.

Pengerusi Kumpulan UMW, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, pelantikan Ahmad Fuaad akan menggantikan tugas dan peranan Allahyarham Badrul Feisal Abdul Rahim yang meningggal dunia pada 31 Mei 2020.

"Kami sangat berbesar hati untuk mengalu-alukan Ahmad Fuaad ke UMW, sebuah konglomerat terkemuka di Malaysia dengan sejarah yang merangkumi lebih dari satu abad.

"Pengalaman profesional dan korporat beliau akan dapat memberikan sumbangan yang besar kepada kumpulan.

"Saya dan Lembaga Pengarah teruja untuk bekerjasama dengannya. Kami yakin beliau akan dapat menggerakkan UMW ke tahap yang lebih tinggi, sementara terus memberikan nilai yang lebih baik kepada para pemegang saham kami," katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Fuaad memulakan kerjayanya bersama Arthur Andersen & Co pada tahun 1994 sebelum memegang jawatan Pengarah Eksekutif Kewangan di Petaling Garden Bhd pada tahun 2001.

Pada tahun 2008 pula, beliau memegang jawatan sebagai rakan niaga dan Pengarah Eksekutif di Ernst & Young, Kuala Lumpur hingga 2010.

Kemudiannya, beliau melangkah menjawat jawatan Ketua Pegawai Kewangan di Astro Malaysia Holdings Bhd. bermula Ogos 2010 sehingga Julai 2013.

Sebulan selepas itu iaitu pada Ogos 2013, beliau telah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Kewangan di DRB-HICOM Bhd. dan seterusnya menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pegawai Operasi - Kewangan dan Korporat di syarikat berkenaan sehingga Mac 2016.

Bermula April 2016 hingga 30 September 2017, beliau dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif bagi Proton Holdings Bhd (PROTON).

Pada 1 Oktober tahun yang sama, Ahmad Fuaad menyertai Malakoff Corporation Bhd. sebagai Ketua Pegawai Eksekutif.

Tambah beliau, dengan pelantikan Ahmad Fuaad sebagai PGCEO yang baharu akan menghentikan peranan Azmin Che Yusoff sebagai Pemangku PGCEO UMW dan kembali memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Operasi Korporat. - DagangNews.com