AirAsia Allstars 'turun padang' bantu program vaksin | DagangNews Skip to main content

AirAsia Allstars 'turun padang' bantu program vaksin

 

 

KUALA LUMPUR 11 Jun - Jangan terkejut jika selepas ini, anda yang akan mengambil vaksin akan disambut dengan kru kabin AirAsia berpakaian seragam merah. 

 

Malah, mereka juga akan membantu membuat pengumuman di pusat vaksinasi, mungkin seperti di dalam penerbangan AirAsia.

 

Selain terbang di awan biru, kini lebih daripada 1,000 AirAsia Allstars bakal mengambil bahagian sebagai sukarelawan untuk menjayakan program vaksinasi negara dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

 

Sebelum ini, kira-kira 300 AirAsia Allstars menyertai petugas barisan hadapan sebagai sukarelawan di dua pusat vaksinasi COVID-19 iaitu Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan Pusat Konvensyen Setia City.

 

Untuk memastikan pengalaman yang lancar kepada semua penerima vaksin, AirAsia Allstars yang terdiri daripada kru kabin, jurutera, kakitangan darat dan pegawai pejabat, serta pihak pengurusan akan menjalankan tugas bukan perubatan termasuklah mengalu-alukan kedatangan penerima vaksin, pemeriksaan dokumen dan membantu mereka dalam proses pendaftaran. 

 

Selain itu, sukarelawan AirAsia Allstars juga ditugaskan untuk membuat pengumuman dan memberi taklimat mengenai gejala yang mungkin dialami.

 

AirAsia juga menawarkan air mineral Pendang secara percuma kepada penerima vaksin di lokasi terlibat.

 

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group, Tan Sri Tony Fernandes merakamkan perasaan bangganya terhadap penyertaan kru kabin ini yang sememangnya terlatih dan berkelayakan untuk membantu dan menangani situasi perubatan, selain menjalankan tugas kawalan orang ramai di pusat vaksinasi. 

 

"Saya percaya mereka teruja untuk kembali menyarung pakaian seragam dan melakukan tugas dengan sebaiknya untuk membantu orang ramai. 

 

"Selain itu, ramai juga kakitangan pejabat termasuklah Ketua Pegawai Eksekutif daripada pelbagai perniagaan kami seperti airasia farm, airasia money, Teleport dan e-dagang meluangkan masa mereka untuk membantu rakyat Malaysia mendapatkan vaksin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Beliau berkata, AirAsia juga komited untuk terus membantu masyarakat dalam apa jua cara dalam tempoh mencabar ini, dan mendorong lebih ramai orang turut sama membantu mencapai sasaran vaksinasi negara.

 

AirAsia juga terlibat dalam proses pengangkutan vaksin dari Kuala Lumpur ke Kuching di Malaysia dan ke Vientiane di Laos.

 

“Mengambil vaksin adalah cara utama untuk menjadikan Malaysia kembali seperti sedia kala dan saya ingin mengucapkan tahniah kepada Allstars yang telah mendaftar dan menerima vaksin secepat mungkin. 

 

"Semua kru penerbangan kami yang beroperasi di Indonesia telah divaksin dan kami menjangka sebahagian besar Allstars kami di rantau ini akan menerima vaksin dalam beberapa bulan akan datang," tambahnya lagi.

 

Menurut Tony, sektor pelancongan dan perjalanan udara amat penting untuk pemulihan ekonomi negara. 

 

“Secara kasarnya, kita memerlukan sekitar 50% populasi yang telah divaksin untuk memulakan perjalanan antarabangsa. 

 

"Saya yakin bahawa kita dapat melakukannya dalam masa terdekat dengan kerja keras dan komitmen kerajaan serta pihak berkuasa kesihatan dalam menangani wabak ini," jelas beliau. - DagangNews.com