AirAsia antara 4 syarikat terpilih masuk indeks FTSE4GOOD | DagangNews Skip to main content

AirAsia antara 4 syarikat terpilih masuk indeks FTSE4GOOD

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 16 Dis. - Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia) mengumumkan empat tambahan syarikat kepada konstituen Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia (F4GBM).

 

Keempat-empat syarikat itu termasuk AirAsia Group, Eco World Development Group, Hibiscus Petroleum Berhad dan KLCC PROP & REITS – Stapled Sec (KLCCP). 

 

Bagaimanapun, Bursa Malaysia dalam sebuah kenyataan turut mengumumkan dua buah syarikat yang disingkirkan daripada indeks itu iaitu Bumi Armada dan Sunway Construction Group.

 

“Indeks F4GBM mengukur prestasi syarikat-syarikat tersenarai awam (PLC) yang menunjukkan amalan Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan telah dilancarkan pada Disember 2014 dengan jumlah 24 konstituen. 

 

“Jumlah konstituen itu berkembang sehingga 73 (+204%) setakat kajian semula indeks terakhir pada Jun 2020,” kata Bursa Malaysia.

 

Bagi tempoh kajian semula Disember 2020 yang terkini, dengan empat penambahan konstituen dan dua disingkirkan, menjadikan keseluruhan jumlah mencecah 75 (+213%). 

 

Semua perubahan itu akan berkuatkuasa pada permulaan perniagaan Isnin depan, 21 Disember 2020.

 

“Bursa Malaysia dan FTSE Russell terus melaksanakan program capaian kepada syarikat-syarikat untuk menggalakkan dan menyokong mereka dalam menambah baik pendedahan dan amalan ESG. 

 

“Peningkatan jumlah konstituen ini menggambarkan PLC menerima manfaat daripada program-program ini dan memangkin usaha mereka ke arah amalan ESG terbaik. 

 

Konstituen Indeks F4GBM dipilih daripada syarikat-syarikat dalam Indeks EMAS FTSE Bursa Malaysia, yang terdiri daripada PLC dari segmen kecil, sederhana dan besar pasaran,” tambah Bursa Malaysia. 

 

Indeks itu dikaji semula pada Jun dan Disember berbanding penanda aras antarabangsa. - DagangNews.com