AirAsia berhasrat lancar perkhidmatan mesra muslim termasuk pakej haji, umrah | DagangNews Skip to main content

AirAsia berhasrat lancar perkhidmatan mesra muslim termasuk pakej haji, umrah

AirAsia

KUALA LUMPUR 30 Julai - Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia Group Bhd. (AirAsia) berhasrat melancarkan perkhidmatan terbaharu yang berkonsepkan mesra muslim termasuk pakej untuk menunaikan gaji dan umrah.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, pihak kini dalam fasa penilaian terhadap beberapa produk yang memenuhi keperluan perjalanan.

"Sebagai contoh, kami berhasrat untuk melancarkan perkhidmatan mesra Muslim termasuk pakej menunaikan haji dan umrah.

"Kami juga ingin terlibat dalam pelancongan perubatan. Segmen ini berkembang pesat dan membolehkan kami menyediakan kesemua keperluan termasuk visa, perjalanan, penginapan dan insurans," katanya dalam perbincangan dan analisis pengurusan syarikat berkaitan Laporan Tahunan dan Tadbir Urus Korporat 2019 yang dikeluarkan semalam seperti dipetik TheEDGE Markets.

TAN SRI TONY FERNANDES
TONY FERNANDES

 

Jelas Fernandes, idea tersebut bertujuan untuk memberikan perkhidmatan dan pengalaman menyeluruh kepada pelancong.

Pelancong hanya perlu membuat pilihan mudah melalui carian di aplikasi telefon pintar dan komputer riba.

Tambah Fernandes lagi, meskipun AirAsia menawarkan model kos rendahnya untuk mengembangkan rangkaian ke destinasi menarik kepada pelanggan, namun perkara tersebut tidak dapat menampung perubahan persekitaran operasinya.

"Bencana alam, penularan wabak, kemerosotan ekonomi, dan pergolakan geopolitik, semua ini boleh dan memang mempungaruhi aktiviti perjalanan," jelasnya lagi.

Terdahulu, syarikat tersebut juga telah menaik taraf saluran sokongan perkhidmatan pelanggan melalui AirAsia Virtual Allstar (AVA) yang boleh dihubungi melalui aplikasi sembang popular, WhatsApp.

Langkah tersebut bertepatan dengan situasi terkini selepas syarikat penerbangan itu menerima jumlah permohonan yang tinggi berikutan COVID-19. - DagangNews.com